ALEGORI GUA DAN PERANG PERSEPSI UMAT

Alegori gua yang diutarakan oleh Plato merupakan perbincangan falsafah tentang perbezaan ‘ilusi’ dan ‘realiti’. Bunyinya seperti bahasa dari langit, tetapi secara simplistiknya cerita ini tentang beberapa orang tawanan di gua. Cuba bayangkan situasi ini; sekumpulan tawanan yang dirantai tangan dan kaki, dan dipaksa menghadap ke dinding gua sejak kecil lagi. Di belakang mereka pula ada unggun api yang menghasilkan bayang-bayang, manakala bunyi orang dan binatang bergema menjadi suara bayang-bayang tersebut. Jadi mereka yang ‘menonton’ bayang-bayang ini seperti skrin di dinding gua, mulai percaya bayang-bayang itu sebagai satu benda yang nyata, benar dan realiti.
Inilah sebenarnya tasawwur (gambaran, persepsi) yang akhirnya membentuk satu kepercayaan dan paradigma yang sukar untuk diubah, tidak kiralah samada persepsi itu benar atau salah. Apa yang saya cuba kaitkan di sini pula, perang persepsi melalui tayangan skrin yang digambarkan pada zaman kini, kita adalah tawanannya. Contoh mudah yang saya ambil, cara mempromosi rokok yang memudaratkan tapi dianggap baik ditonjolkan dalam filem-filem Barat yang digayakan oleh orang kaya, bijak, kacak memakai sut, duit berkepul-kepul dalam poket, perempuan cantik keliling pinggang, dan pokoknya, model ini sempurna seperti James Bond, Smoking like a Gentleman, kononnya.
Perang persepsi ini membentuk satu kepercayaan kepada penonton bahawa merokok itu ‘cool’, macho lagi bergaya, dan jika berterusan lalu menjadi satu paradigma yang membuat penonton bertindak mencontohi model tersebut dan akhirnya turut merokok juga. Banyak lagi contoh yang kita boleh ambil seperti filem pasangan kekasih yang bahagia, orang kita mulai lihat sebagai ‘sweet, and not sin’. Dan terbaru pula, Walt Disney yang ‘target group’ utamanya ialah kanak-kanak mula mencuci minda mereka dengan agenda LGBT dalam filem Beauty and The Beast.
Fenomena normalisasi berlaku sehingga apa yang bertentangan dengan Islam itu menjadi satu perkara yang biasa, haram sudah menjadi halal, buruk dilihat baik, bahkan turut menganggu-gugat akidah umat Islam. Seperti yang tercatat di dalam al-Quran, perkara ini sudah lama menjadi agenda musuh utama kita, yakni syaitan berikrar;
‘ Iblis berkata: “Ya Tuhanku! Oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya.’ (Surah al-Hijr 15:39)
Berbalik pada Alegori Gua tadi, ceritanya belum habis di situ. Dikatakan salah satu tawanan lelaki berjaya melarikan diri dari gua tersebut dan melihat dunia luar bahawa realiti ini jauh lebih luas bukan sekadar ilusi bayang-bayang di dinding gua. Namun apabila dia kembali ke gua untuk melepaskan tawanan lain, mereka tidak percaya malah mengancam bunuh lelaki tersebut kerana sudah terlalu selesa dan percaya dengan apa yang mereka cuma ketahui.
Maka, wajarlah kita renung kembali sama ada kita mahu menjadi tawanan yang sudah bebas, atau tawanan yang terikat itu. Kita akan termakan tipu daya jahiliah dan tetap masih lapar, jika tidak disuap dengan ilmu (kebenaran). Sememangnya untuk keluar dari persepsi yang melawan norma sekeliling itu sakit, seperti tawanan yang sekian lama duduk dalam gelap akan pedih matanya apabila melihat cahaya di luar gua, dan sakit bila bergerak kerana telah lama duduk statik terikat. Tapi, kebenaran tetap benar, walau seluruh tawanan lain mengatakannya salah. Dan prinsip Islam itu tetap benar berwahyu quran dan sunnah, walau ada pihak cuba menutup kebenarannya. Sebagai muslim, kita haruslah beriman cuma inilah jalan keluar ‘dari gua’ ke realiti untuk kebebasan yang sebenar dan hakiki.
Penulis:
Nurul Emyra Bt Joseph Chan @ Muin
Beliawanis PEMBINA UMS
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s