MARUAHKU DI MANA?

Bismillahirrahmanirrahim…
 
“Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami: sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
(Al- Baqarah:32)
Moga Allah dapat menambah ilmu kita, Aamiin.
Baiklah, seperti yang tertera di atas. Apakah yang kita faham berkenaan dengan maruah diri?
Menjaga maruah diri merupakan satu peribadi yang seharusnya diterapkan dalam diri setiap insan, begitu juga kepada para wanita yang mana Islam sendiri telah meninggikan martabat seorang wanita.
Jika kita terdengar atau terbaca mengenai maruah diri, apakah yang terlintas di benak fikiran kita? Berpakaian sopan menutup aurat? Bahasa dan pergerakan yang halus tulus serta beradab? Tegas dalam mempertahankan diri ketika dizalimi? Ya, anda salah.
Tidak, saya bergurau sahaja. Apa yang difikirkan anda tidak salah sama sekali. Namun, sejauh manakah kita cakna tentang perkara ini?
Wahai beliawanis yang kusayangi sekalian. Teramatlah penting bagi kita untuk menjaga maruah kita. Kita sedia maklum dengan tatacara pemakaian bagi seorang muslimah, longgar dan tidak jarang. Kita sedia maklum bagaimana bahasa yang sepatutnya kita tuturkan. Menjauhi perkataan yang keji seperti mencarut, menjauhi fitnah, mengumpat, hanya mengucapkan perkara yang perlu dengan sopan, ketawanya juga tidak terbahak-bahak. Ketegasan kita dalam menghadapi situasi bila mana terpaksa berurusan dengan ajnabi juga menggambarkan etika kita dalam menjaga maruah diri. Berkata apa yang patut dan menjaga ikhtilat.
Jika kita berbicara tentang media sosial, apakah perkara yang kita boleh ‘post’, ‘share’, mahupun status yang boleh dinaikkan? Bagaimana juga perhubungan kita sebagai muslimah dalam laman sosial antara lelaki dan perempuan. Adakah begini?
“Hmm rindunya pakwe, oh bakal imamku…”
Atau begini?
“Alhamdulillah, hujan hari ini. Marilah kita panjatkan doa agar Allah memurahkan rezeki kita.”
 Wah, pendeknya status. Sebagai beliawanis, kita perlu menjaga maruah di mana sekalipun kita berada. Saya yakin kalian semua bijak dalam menggunakan media sosial, demi menjaga maruah diri. Beringat juga, maruah keluarga, bangsa dan agama turut kita bawa bersama kita! Sebagai beliawanis juga, bagaimanakah sikap kita bersama dengan rakan serumah, rakan tugasan sekumpulan mahupun rakan satu jurusan? Kita perlu mempamerkan akhlak yang baik kepada semua, kerana akhlak yang baik datang daripada insan yang bermaruah tinggi.
Bayangkan sekiranya kita bersikap kasar dengan rakan setugas. Bercakap perkara yang tidak menggambarkan seperti pakaian yang disarungkan. Cepat memberontak apabila berlaku perselisihan faham. Adakah kita benar-benar mengamalkan budaya menjaga maruah diri yang baik? Apa yang paling dirisaukan apabila mereka sudah mula bertanggapan buruk terhadap kita. Sebagai contohnya,
“Aku tak sangka perempuan tudung labuh ni sama saja, marah tak bertempat!”
“Dahlah lambat buat tugasan, pastu nak marah orang lain.”
“Pakai saja tudung labuh, berjubah, tapi mulut tak jaga. Itulah bukti orang bertudung tak semua baik.”
 
Beliawanis sekalian, sedarlah segala tindak-tanduk kita memainkan peranan walau hanya sekecil zarah. Contohnya, malas basuh pinggan. Ya, saya tahu pinggan itu masih lagi besar daripada zarah. Daripada sifat malas kita, sifat bertangguh, perucapan yang buruk, kita akan mula dinilai oleh masyarakat. Penilaian bermula dari orang yang paling dekat, contohnya ahli keluarga kita.
“Hang ni kata join usrah, ni mak mintak tolong sikit dah merungut, macam tak dak perubahan pun.”
Oleh itu, cubalah untuk kita istiqamah dalam memperbaiki pertuturan dan juga tingkah laku apabila berhadapan dengan manusia di sekeliling kita. Kawal nafsu amarah dan sentiasa bertutur dengan baik dan berhemah. Ingat, apa yang dituturkan di lidah melambangkan kondisi hati kita. Baik hatinya, indahlah tutur katanya.
Beliawanis yang bermaruah tinggi seharusnya punya jiwa yang kental. Tidak termakan dek pujuk rayu syaitan yang ingin menjerumuskan kita ke kancah penzinaan. Usah berasa cemburu dengan masyarakat yang selalu pergi ke mall dan ‘dating’, berpegangan tangan, kononnya ‘sweet’. Kentalkan hati dan jiwamu wahai beliawanis sekalian, jangan terpedaya dengan cinta palsu syaitan. Jangan biarkan ajnabi menyentuh sesuka hati. Sekiranya hendak berurusan dengan bukan mahram, hendaklah kita mematuhi tiga syarat iaitu hanya untuk urusan dakwah, muamalat dan darurat bagi mengelakkan fitnah.
Terdapat banyak dalil Al-Quran yang sememangnya berkait rapat dengan situasi sebegini, adakah cukup kita meneladani dan bermuhasabah atas kata-kata mutiara yang di turunkan Allah kepada hamba-Nya ? Baca, dan hadamlah sebaik mungkin. Kebiasaannya kita akan turut menemui ayat-ayat ini ketika membaca buku tarbiah dan ilmiah.
 “Dan janganlah kalian mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk.”
(Al-Israa’: 32)
Mari kita lihat hadis pula.
Masih diriwayatkan darinya dari Nabi saw. beliau bersabda, “Jika seorang hamba berzina maka keluarlah darinya keimanan dan jadilah ia seperti awan mendung. Jika ia meninggalkan zina maka kembalilah keimanan itu kepadanya,”
 (Shahih, HR Abu Dawud [4690]).
Ya! Tepat sekali apa yang kalian teka. Allah berkata “Janganlah kalian mendekati zina”, bukannya “Janganlah kalian melakukan zina”. Perlu juga beringat, zina tidak semestinya seseorang itu melakukan zina, malah sekiranya kita memikirkan ajnabi sehingga merindui, itu juga adalah zina. Lebih tepat lagi, zina hati!
Berwaspadalah kalian, tipu daya syaitan amatlah licik dan janganlah kita terjerat dengan cinta syaitan yang meracuni hati dan fikiran kita. Jauhi couple, berusaha menjaga ikhtilat, anda bijak untuk memilih yang manakah haluan yang terbaik buat diri anda. Berkorbanlah untuk kita meninggalkan perkara yang kita suka, apa yang kita suka tidak semestinya baik buat diri kita.
 
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”
(Al-Baqarah: 216)
Ingatlah perjuangan Sumayyah yang syahid, Khaulah Al-Azwar yang hebat di medan perang dan juga perjuangan para isteri dan puteri-puteri Nabi kecintaan kita. Harga diri kita jauh lebih tinggi dari itu untuk kita lepaskan begitu sahaja untuk dipertontonkan pada umum. Bertabahlah wahai wanita, lawanlah nafsumu. Teruskan misi kita untuk menyelamatkan ummah yang semakin tenat, kitalah yang perlu menyelamatkan anak-anak muda yang tertipu. Moga kalianlah srikandi Islam!
Para wanita juga digalakkan untuk melibatkan diri dalam seni mempertahankan diri demi menjaga maruah diri. Kita sudah sedia maklum akan keadaan disekeliling kita di mana jenayah rogol, samun dan sebagainya semakin bermaharajalela di Malaysia, mahupun di dunia. Ilmu mempertahankan diri dapat melindungi kita daripada situasi yang merbahaya sejurus menjadi perisai buat diri kita dalam pemeliharaan maruah diri, In Shaa Allah.
Akhir kata daripada insan yang kekurangan ilmu ini, saya menyeru semua untuk lebih menititikberatkan amalan praktikal yang patuh pada agama, kerana maruah diri yang di bawa beriringan dengan maruah agama. Ayuh gilapkan kembali syariat Islam. Moga kita semua sentiasa menjadi qudwah terbaik demi menaikkan martabat Islam di muka bumi ini. Usah berlengah, mari lakukan perubahan bersama, demi membina ummah yang cemerlang! Moga beliawanis kita akan menjadi cemerlang, sihat, berpekerti mulia dan beragenda.
Penulis:
Maisarah Rashid
Beliawanis PEMBINA Shah Alam
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s