AIR MATA AYAH

Nama aku Nana. Aku dibesarkan dalam keluarga yang sederhana kehidupannya. Ibu berkerja sebagai seorang guru. Ayah pula mengambil upah menghantar barang ke rumah-rumah. Walaupun begitu, segala perbelanjaan rumah ditanggung oleh ayah. Gaji ibu biasanya digunakan untuk kecemasan atau majlis tertentu sahaja.
Siang dan malam ayah bertungkus lumus mencari rezeki untuk kami sekeluarga. Kadang-kadang masa ayah banyak digunakan untuk bekerja dan jarang bersama kami adik-beradik. Pernah seminggu itu ayah outstation ke Kuala Lumpur menghantar stok barang ke kedai-kedai di sana. Apabila pulang, kadang-kadang ayah akan membawa balik mainan untuk kami. Senyuman ayah terukir apabila melihat kami gembira dengan pemberian tersebut.
“Kakak, abang, adik, ni sahaja yang ayah mampu bagi untuk kamu semua. Belajar rajin-rajin, jadi orang yang berguna dan jadi anak yang soleh dan solehah. Nanti boleh doakan ayah dan ibu selalu.”
Aku dan adik-adik hanya mengangguk sambil tersenyum mendengar nasihat ayah. Sejak dari itu, aku sentiasa belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam pelajaran. Aku dan adik-adik juga selalu membantu ibu dan menjadi anak yang baik.
**
Aku mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR dan mendapat tawaran ke asrama penuh di ibu kota. Di sekolah baharu, aku berkenalan dengan ramai kawan daripada pelbagai latar belakang. Prestasi akademik dan ketokohan kepimpinan semakin menyerlah selari dengan umurku. Aku gembira melihat ayah dan ibu tersenyum bangga setiap kali bertemu cikgu untuk mengambil rekod pelajaran di sekolah.
Pada suatu hari, aku dipanggil untuk berjumpa Guru Kanan HEM atau lebih dikenali sebagai Ustazah Pembangunan Sahsiah Murid. Ustazah Sofea yang baru sahaja bertukar ke sekolah ini dua bulan lepas.
“Assalamualaikum. Ustazah panggil saya?”
“Iya Syazana. Silakan duduk.”
“Ustazah dapat tahu Syazana ini ketua batch Puteri Tingkatan 4 kan?”
“Ya saya, Ustazah. Ada yang boleh saya bantu?”
“Begini, insya-Allah 14 haribulan Februari ini, Unit Pembangunan Sahsiah Murid akan mengadakan satu ceramah umum untuk semua pelajar puteri tingkatan 4. Ustazah ingat nak minta Syazana tolong ustazah untuk beritahu pelajar-pelajar dan carikan beberapa pelajar untuk bantu ustazah pada hari tersebut.”
“Boleh Ustazah, insya-Allah.”
**
Sudah 10 minit selesai ceramah umum dibawah kelolaan Ustazah Sofea. Terngiang-ngiang intipati ceramah bertajuk “Bermaruahkah Kita?” Aku masih di situ memikirkan sesuatu, seperti ada yang tidak kena dalam diri ini.
“Tujuan kita diutuskan ke dunia ini untuk beribadah kepada Allah, menjadi hamba dan khalifah.”
“Hidup kita di dunia ini bukannya sia-sia, tetapi ada tugas disamping mencari keredhaan Allah.”
“Ingat, apabila meninggalnya seorang hamba itu, maka terputuslah segala kenikmatan dunia yang dia miliki kecuali tiga perkara iaitu ilmu bermanfaat, sedekah, dan doa anak yang soleh.”
“Anak yang soleh bukan sahaja taat kepada ibu ayahnya, tetapi juga kepada pencipta seluruh alam. Apabila kita sentiasa melakukan segala suruhanNya dan jauhi segala laranganNya.”
“Menutuplah aurat dengan sempurna.”
“Sesungguhnya pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan adalah permulaan kepada zina. Allah berfirman dalam al-Quran agar kita tidak mendekati zina.”
Setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Ustazah seperti pisau yang menikam hati kecil ini. Ya, memang aku menutup aurat tetapi belum sempurna. Aku juga tidak menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan. Sering kali menggunakan alasan study group untuk belajar dengan berlainan jantina.
**
Seminggu kemudian, aku berjumpa dengan Ustazah Sofea.
“Ustazah, menjadi anak solehah bukan hanya mentaati kedua ibu bapa kan? Bukan hanya mendapat keputusan cemerlang, bukan hanya solat lima waktu, puasa, mengaji kan? Tapi perlu istiqamah dalam menjadi seorang hamba yang baik, individu muslim kan ustazah?”
“Ya betul. Menjadi hamba yang sentiasa melakukan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.”
“Tapi Ustazah, Saya ni belum cukup menutup aurat ke? Salahkah jika kita hendak berkawan baik dengan lelaki?”
“Syazana sudah menutup aurat tetapi kurang sempurna sahaja. Bukankah Allah menyukai yang sempurna sifatnya. Allah menyuruh wanita menutup aurat dengan sempurna hanyalah untuk mengangkat darjat seorang wanita dan memelihara diri mereka. Bukankah dengan menutup aurat, seseorang itu lebih dijaga daripada pandangan liar seorang lelaki dan menakutkan itu.
Herm, setiap sesuatu yang Allah jadikan pasti ada sebab tertentu. Begitu juga kenapa Allah mengharamkan hubungan lelaki perempuan tanpa ikatan yang halal atau sebab-sebab tertentu. Mula-mula memang kawan-kawan sahaja, selepas itu akan terdetik perasan, kemudian bercinta, pegang ringan-ringan dan na’uzubillah terlanjur. Tak kan lah kita nak tunggu sampai perkara macam tu barulah kita nak beringat. Islam datang adalah untuk mengangkat darjat seorang wanita, memuliakan wanita dan memelihara mereka. Sesungguhnya perhiasan dunia adalah wanita solehah. Betul tak ?”
“Em betul juga ustazah.”
“Baiklah ustazah. Tapi, bagaimana saya mahu istiqamah?”
“Senang sahaja Syazana. Mulakan dengan bertaubat dan berubah sedikit demi sedikit. Sentiasa berdoa kerana iman manusia sentiasa turun dan naik. Sebab itulah kita kena sentiasa bersama-sama dengan orang yang melakukan kebaikkan. Lihat kesungguhan ibu ayah kita menjaga kita, memberi kita makan dan memberi kita pelajaran. Balaslah jasa mereka dengan doa anak yang solehah. InsyaAllah berjaya dunia akhirat.”
“Terima Kasih Ustazah atas penjelasan.”
“Kita ni kan Syazana, biarlah maruah kita lagi tinggi dan mahal daripada mas kahwin kita. Baru berbaloi.”
“Uish Ustazah, Makan dalam tu. hihi”
**
Bermula saat itu, sedikit demi sedikit perubahan yang berlaku dalam diriku. Dan perubahan ini juga turut diikuti oleh ibu dan adik. Muka ayah nampak lebih ceria dan gembira melihat perubahan kami. Hubungan kekeluargaan kami makin erat dan gembira. Setiap malam, aku sentiasa berdoa untuk kesejahteraan ibu dan ayah. Kadangkala air mata menghiasi malam aku ketika aku teringat kepayahan ayah mencari rezeki untuk kami sekeluarga tetapi aku masih belum sempurna menjadi hambaNya yang baik.
Sering kali air mata aku menitis melihat kepayahan dan keperitan ayah mencari rezeki untuk kami makan, pakai, sekolah dan memenuhi kehendak kami. Kadang-kadang aku terfikir, Adakah aku tergolong sebagai anak solehah yang mampu menjadi penyelamat ibu ayah di akhirat kelak. Mengingatkan perihal tersebut membuatkan aku terus bermujahadah menjadi seorang hambaNya baik dan berbakti kepada keluarga serta masyarakat. Biarlah aku tak mampu memberi wang yang berjuta tapi cukuplah doa aku ini sampai dan dimakbulkan oleh Allah. Bukankah doa daripada anak yang solehah itu bekalan buat kedua ibu bapa kita di akhirat kelak. Sesungguhnya maruah diri kita adalah maruah ayah kita, maruah keluarga kita. Peliharalah ia sebaiknya.
Penulis:
Nadhrah Annuar
Beliawanis PEMBINA Kajang
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s