KERANA TAK SEMPAT

 
Sebentar tadi, dalam perjalanan pulang dari Port Dickson, saya terdengar satu ceramah dalam saluran IKIM FM tentang membaca al-Quran. Sampailah pada satu bahagian ini, apabila ustazah tersebut berkata:
“Kita selalu beralasan, kata tak sempat nak baca al-Quran. Busy kerjalah, penat buat kerja rumah lah, tak ada masa lah. Tetapi dalam tak sempat tu, ada saja masa kita nak scroll Facebook, bukak Wicet tengok Instagram. Bukankah bagus kalau masa itu kita curi sikit untuk baca al-Quran?”
Ayat ustazah ini membuat kan saya tersentap dan berfikir sejenak. Benarlah, antara tanda-tanda bermulanya kita futur dan jauh dari Allah adalah dengan kita meratib perkataan TAK SEMPAT dan TAK ADA MASA. Kita mulai berkira sini sana untuk menunaikan ibadah harian, walaupun sekadar solat sunat dua rakaat, atau membaca al-Quran walau sepotong ayat. Bermulalah hidup kita dengan alasan demi alasan.
“Tak sempatlah nak pergi usrah kak. Banyak kerja,” padahal masa lapang kita sibuk scroll Facebook.
“Tak sempatlah nak ngaji, ada meeting sat lagi,” dan al-Quran pun kita biarkan berhabuk disebabkan asyik tidak sempat untuk mengaji.
“Tak sempatlah nak solat awal kak,” sebab kita sibuk tengok movie.
Kita kian malas, dengar azan pun dah mengeluh. Bila di suruh solat, kita berkira-kira, oh sempat sahaja solat jam 6, sedangkan asar dah masuk kira-kira jam 4 (ikut waktu Sarawak). Bila dah rasa malas, kita mulai bertangguh. Bertangguh nak baca al-Quran, bertangguh dan solat awal. Akhirnya, hati kita jadi kosong dan layu, lantas kita mencari hiburan dan hubungan sebagai pengisi kekosongan jiwa kita yang dahagakan makanan rohani.
Nampak tidak betapa besarnya penangan alasan TAK SEMPAT in? Ia mampu menjadi asbab untuk kita semakin menjauh dari Ilahi. Kadangkala, di bawah sedar, kita gunakan alasan ini sebagai justifikasi untuk kita menangguh, melewatkan atau lari daripada membuat perkara-perkara ke arah kebaikan. Hasilnya… jadilah kita insan yang kefuturan.
Wahai sahabat, apabila hati kita sudah mulai meratib alasan Tak Sempat dan Tak Ada Masa, sedarlah janji Allah nan satu ini. Walaupun akan ada manusia yang kata ayat ni klise, tetapi ini adalah benar belaka!
Allah sudah berfirman dalam surah Muhammad ayat 7, “Jika Kamu menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolongmu dan mengukuhkan kedudukanmu.”
Percayalah, 2 minit yang kita luangkan untuk solat sunat, 2 jam yang kita gunakan untuk ke usrah, 20 minit yang kita gunakan untuk membaca al-Quran, mampu menjadi asbab untuk Allah membantu kita di suatu saat dan ketika yang kita tidak akan sangka. Maka, lawanlah nafsu malas dalam diri dengan janji Allah yang sangat pasti.
Benar, 24 jam  kadangkala memang tidak sempat untuk kita lakukan semua perkara, namun, masa yang ada jangan kita buang sia-sia. Susunlah sebaiknya agar sempat kita melaksanakan tugas kita disamping menjaga ibadah kita bersama-Nya. Ingatlah pesan ISHAB yang paling popular dan menusuk jiwa:
“Kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang kita ada.”
Akhir kalam…
“Allah mengetahui bahwa kamu tidak dapat menentukan batas-batas waktu-waktu itu, maka Dia memberi keringanan kepadamu, karena itu bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al Qur’an “ Muzzamil: 20
Wallahu’alam
Penulis:
Amalina Annuar
Beliawanis PEMBINA UNIMAS

Leave a comment