ALHAMDULILLAH

Hachum! Terbersin Rania sampai terdengar suaranya ke luar bilik. Juliana yang sedang khusyuk membaca surat khabar turut tersedar daripada keasyikannya membaca berita panas di dada akhbar tersebut. Masuk kali ini hampir empat kali sahabat baiknya itu terbersin. Juliana tidak senang duduk melihat ragam kawan serumahnya itu.

‘’Ran, kau okay tak?’’ soal Juliana sambil meninjau ke dalam bilik Rania. Rania pula masih kekal dengan posisinya menghadap komputer riba sambil menggosok-gosokkan hidungnya yang berair sejak pagi tadi.

‘’Tak. Aku demam.’’ jawab Rania sambil menaip lagi beberapa perkataan di komputer riba. Juliana terdiam sebentar.

‘’Jom pergi klinik,’’ pelawa Ju sambil mengerutkan dahi. Rania diam. Tiada balasan. ‘’Karang melarat pula kalau kau biarkan lama lagi. Tak pasal-pasal masuk ICU.’’ Rania berhenti menaip sambil memandang ke luar bilik tepat ke muka Juliana yang nampak sedikit kerisauan.

‘’ICU? Demam aku tak lah seteruk tu sampai nak masuk ICU, Ju.’’ Ujarnya dengan pandangan yang kelam. Ju tersengih senget.

‘’Tak kisahlah. Jom kita pergi sekarang. Kerja kau tu tolak ke tepi sekejaplah. Dalam sakit-sakit ni mana la boleh focus,’’ nasihat Ju. Punggungnya mula diangkat dari sofa di ruang tamu tersebut. Rania berpaling ke komputer ribanya. Terhenti sebentar. Neuron otaknya mula berhubung. Berkira-kira mahu ke klinik atau tidak. Kalau pergi ke klinik mesti kerjanya akan tergendala. Tapi kalau tak pergi dia sendiri pun tak boleh fokus bekerja dalam keadaan sakit.

‘’Okaylah. Kejap aku bersiap,’’ ujarnya lemah sambil berlalu ke almari baju. Langkah Juliana termati di pintu bilik Rania.

‘’Ha, cantik! Okay aku pun tukar baju jap,’’ ujar Juliana sambil berpatah ke biliknya yang terletak di sebelah bilik Rania. ‘Alhamdulillah, nak juga dia dengar cakap orang,’ ujar hati Juliana sambil tersenyum puas.

———————————————————————————————————————————–

‘’Ramainya orang…,’’ ucap Juliana sebaik sahaja masuk ke klinik kerajaan yang terletak hanya lima kilometer dari rumah sewa mereka berdua. Rania tersenyum senget.

‘’See? Sebab tu aku berkira-kira nak pergi ke klinik. Ramai sangat yang sakit,’’ ujar Rania dengan senyuman sengetnya yang masih melekat di wajahnya.

‘’Ha ah, sakit macam kau!’’ ujar Ju sambil ketawa kecil. Rania menjeling ke arah Juliana. Juliana yang tersedar pandangan maut rakannya tu terus menekup mulutnya dengan tangan kanan.

‘’Ha, kang ada yang kene masuk ICU pulak lepas ni,’’ ugut Rania sambil menunjukkan buku limanya kepada Juliana. Juliana menyengih sekejap.

‘’Alah, rilek la sis. Itu pun nak touching. Dahlah jom duduk sana,’’ pujuk Juliana sambil memuncungkan bibirnya ke arah kerusi yang kosong di barisan kerusi yang paling belakang. Rania yang tidak mahu ambil pusing terus menuju ke arah kerusi yang ditunjukkan itu.

Sebaik melabuhkan punggung, Rania terbersin sekali lagi. ‘’Alhamdulillah…,’’ ucap Juliana sambil menghulurkan sehelai tisu kepada Rania. Tisu beralih tempat dari tangan Juliana ke hidung Rania. Rania memandang Juliana pelik.

‘’Kenapa kau cakap ‘Alhamdulillah’? Kan aku sakit?’’ soal Rania. Juliana pula yang rasa pelik.

‘’Aik, kau memang tak pernah dengar eh kalau orang terbersin kita kena ucapkan ‘Alhamdulillah’?’’ soal Juliana semula.

‘’Yelah, aku tahu. Tapi kan aku terbersin sebab aku sakit. Kalau terbersin bukan sebab sakit tu kira biasalah jugak aku buat,’’ jawab Rania. Masih tidak berpuas hati. Juliana ketawa kecil lagi.

‘’Kau fikir sakit pun tak patut disyukuri?’’ soal Juliana. Rania yang sememangnya sakit kepala bertambah sakit mendengar soalan daripada Juliana yang bertudung merah jambu itu.

‘’Aku tak fahamlah apa yang kau cakap ni. Bertambah pening kepala aku dengar jawapan kau. Cer terangkan sikit,’’ pinta Rania sambil mengerutkan dahinya. Juliana memandang rakannya.

‘’Yalah, sakit itu kan datangnya daripada Allah. Allah turunkan sakit sebab nak gugurkan dosa-dosa kecil kita. Jadi kita mestilah bersyukur Allah jatuhkan sakit ke atas diri kita. Sakit itulah yang menyebabkan kita bersih dari dosa. Jadi nampak tak kenapa kita kena bersyukur bila sakit tu menjengah kita?’’ terang Juliana dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.

Rania terdiam sebentar. Direnungnya lantai klinik yang putih itu. Dihadamnya kata-kata Juliana sebentar tadi, kemudian terbit rasa insaf dalam hatinya. “Masha Allah, bodohnya aku. Aku tak sedar akan kasih sayang-Mu terhadap aku selama aku sakit ni. Astaghfirullahalazim….” ujar Rania dalam hatinya. Kemudian, dia berpaling pada Juliana. Tersenyum sedikit.

‘’Terima kasih Ju. Aku tak pernah pula terfikir sampai ke situ. Butanya aku tak nampak kasih sayang Allah kat aku’’, ujar Rania. Matanya pula seakan mahu merembeskan cecair panas tapi ditahan. Bimbang pula jadi sinetron di klinik yang sesak dengan manusia itu. Juliana tersenyum lebar. Rasa puas dalam hati kerana dapat menyentuh hati rakannya itu.

‘’Alhamdulillah. Sebab tu kita kena selalu bersyukur,’’ pesan Juliana. Tidak lama selepas itu, nama Rania dipanggil oleh pegawai klinik yang berseragam putih di kaunter klinik. Rania bangun perlahan sambil menuju ke kaunter dan berlalu ke bilik doktor yang diarahkan oleh pegawai yang bertugas. Rania hanya mengangkat tangan kirinya ke arah Juliana. Isyarat daripadanya bergerak untuk berjumpa doktor sebentar. Juliana hanya mengangguk sekali sambil memandangnya dari jauh.

Sebaik sahaja bayang Rania menghilang daripada pandangan, Juliana mengucapkan kata syukur sekali lagi. Bersyukur dapat menjalankan perintah amal makruf nahi mungkar yang diturunkan oleh Allah SWT. Biarlah ia sekecil-kecil perkara pun. Janji dapat sentuh hati orang lain untuk berubah. Ingat senang ke nak sentuh hati orang lain? Tambah lagi kalau hati kawannya yang seorang ini.

Sewaktu di awal perkenalan Juliana dengan Rania, memang sakit kepala Juliana dibuatnya. Keras kepala. Degil. Asyik nak menang sahaja bila bercakap. Tapi itu dahulu. Setelah Rania di’sembelih’ dengan pedang tarbiah oleh Juliana setiap hari, lama-kelamaan hati Rania mulai lembut. Mula terima pandangan orang lain dan berfikir sebelum mengeluarkan kata-kata.

‘Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah, Kau berikan aku kekuatan untuk berdakwah. Kau pimpinlah kami ke syurga-Mu dan semoga hati-hati ini Kau tetapkan di jalan yang Engkau redha, ya Allah. Amin.” Doa Juliana dalam diam.

photo_2016-11-19_09-51-47

Oleh : Nurul Farisya

Beliawanis UPM

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s