Beliawanis Yang Merdeka.

 

Saban tahun, tanggal 31 Ogos menjadi detik yang paling saya nantikan, terutamanya jika tarikh itu jatuh pada hari bekerja. Sebab? Sebab tarikh ini adalah tarikh cuti umum bagi rakyat Malaysia, dan ini bermakna kuranglah satu hari kelas untuk diri saya!

Sungguh, kurang benar kesedaran saya tentang kemerdekaan negara. Zaman-zaman saya mempelajari subjek Sejarah, saya hanya menghafal segala peristiwa sepenuh hati semata-mata untuk mendapat markah yang cemerlang dalam peperiksaan. Tetapi, yang merugikan diri saya adalah saya tidak pernah terfikir pun untuk menghayati bait-bait perjuangan pahlawan negara dalam menegakkan kemerdekaan di tanah air kita.

Saya alpa dan leka, masih dijajah dengan nafsu ingin berhibur, masih leka dengan kebebasan yang ada, leka hingga terlupa nilai harga kemerdekaan, terlupa akan pengorbanan dan titisan darah pahlawan yang tumpah, terlupa akan pengorbanan rakyat Persekutuan Tanah Melayu untuk menggapai sebuah impian: Kemerdekaan Negara!

Apabila saya diperkenalkan dengan agensi Persatuan Belia Islam Nasional, agenda-agenda serta program yang dianjurkan sangat mengubah perspektif saya terhadap erti kemerdekaan sebenar. Bergerak dalam jentera Beliawanis PEMBINA, saya terpanggil untuk menulis artikel ini untuk tatapan Beliawanis sekalian agar berjuang dengan jiwa yang Merdeka.

Saya punya kisah silam yang tidak saya banggakan, maka tulisan ini saya nukilkan agar dapat membakar semangat juang dalam jiwa kalian, terus teguh  meneraju arus mahasiswa!

Menjadi Beliawanis (Belia Wanita Islam) dalam era globalisasi ini penuh dengan cabaran, onak dan ranjau berliku. Pelbagai serangan-serangan terhadap wanita Islam khususnya golongan belia yang mampu menghanyutkan diri kita ke lembah kemaksiatan.

Beliawanis hari ini dipengaruhi dengan propaganda-propaganda hiburan, budaya selfie,  fesyen hipster, hijabista lilitan tudung yang berbelit-belit, ‘make up’ yang beratus ringgit,…. Sudahnya, wang, masa dan tenaga si Beliawanis hanya terluang pada perkara-perkara ini sahaja. Adakah itu sebenarnya jiwa sang Beliawanis yang merdeka atau masih dijajah dengan propaganda media?

Jadi, apakah yang dikatakan dengan Beliawanis yang merdeka?

  1. Beliawanis yang merdeka memanfaatkan diri dan masanya untuk berbakti kepada keluarga dan umat.

Pada pandangan saya, jiwa seorang Beliawanis yang merdeka, dirinya disibukkan dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Hidupnya beragenda, dirinya bermatlamat. Dia tahu kewajipannya terhadap ibu dan bapanya. Dia mahu bersungguh-sungguh dalam pelajaran agar dapat membantu umat, mengukir senyuman kebanggan di wajah kedua ibu bapanya. Waktu yang ada, dia tidak mensia-siakannya dengan berlibur ke kompleks-kompleks membeli belah, namun, masanya di infakkan untuk umat—melalui dakwah dan tarbiyah.

Dulu, sewaktu saya berada dalam zaman kegelapan, masa pernah saya bazirkan, emak dan abah pernah saya abaikan. Sungguh saya menyesal. Namun, syukur Allah telah memberikan peluang saya berubah pada usia akhir remaja.

Saya bertemu dakwah dan tarbiah yang menggariskan semula agenda hidup saya. Masa saya dluangkan untuk aktvisme dakwah bersama PEMBINA, saya dikelilingi insan-insan yang hebat lantas mendorong diri saya untuk berubah menjadi lebih baik. Emak dan abah, setiap hari saya telefon bertanya khabar. Ya, itulah kuasa tarbiah, mampu memerdekakan jiwa sang Beliawans!

  1. Beliawanis yang merdeka bebas pemikirannya daripada jajahan Feminisme.

Gelombang ideologi feminisme telah menjadi satu barah dalam masyarakat kita hari ini. Perjuangan kesamarataan gender bagi wanita dan lelaki hebat dilaung oleh puak-puak liberalis dan feminis.

Mereka kata, menutup aurat itu hak individu, bukan kewajipan, walhal telah terang-terang Allah firmankan dalam Quran! Mereka kata Islam ini melebihkan golongan lelaki, tapi mereka lupa bagaimana Allah mengangkat darjat seorang wanita dalam Islam, sehinggakan ada satu surah khusus yang di namakan An-Nisa’, khas untuk wanita. Jika wanita tidak boleh menjadi pemimpin, bagaimana Saidatina Aisyah R.A diangkat menjadi Ummul Mukminin?

Racun ideologi feminisme ini nampak sahaja macam logik, hakikatnya, serangan-serangan pemikiran sebeginilah yang sebenarnya meracuni akidah seorang beliawanis. Sedarlah, Islam itu tidak pernah bias kepada sesuatu gender, tetapi adil dan saksama. Islam telah menggariskan peranan wanita dan lelaki, tidak sama peranan bukan bermakna tiada keadilan, tetapi itulah yang membuatkan wanita dan lelaki saling melengkapi. Nah, kenapa perlu kita hidup bertuhankan pemikiran bawaan Barat lagi?

  1. Beliawanis yang merdeka bebas dari pengaruh ‘cantik’ media.

Bila saya menonton televisyen atau ‘scroll’ timeline, newsfeed di laman-laman media sosial, saya lihat lambakkan produk-produk kecantikkan dijual ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Kolagen, krim pemutih muka, pil pelangsing dan sebagainya! Saya pelik, saya khuatir, apakah yang mendorong lambakkan jualan produk-produk sebegini? Kini, baru saya faham.

Umumnya, media massa seringkali menjajah pemikiran kita dengan definisi cantik yang telah mereka propagandakan. Melihat apa sahaja iklan kecantikan, pasti dikaitkan dengan kulit yang putih gebu, wajah yang licin, badan yang langsing dan sebagainya. Paling jelek, syarikat-syarikat produk kecantikkan ini menggunakan wanita untuk mempromosikan produk mereka kepada wanita lain. Lantas, sang beliawanis yang tidak ‘live up to the expectation’ merasakan dirinya tidak berharga.

Muncul pula golongan hijabista, memperkenalkan fesyen-fesyen tudung belit sini sana, fesyen hipster, fesyen Lolita muslimah yang berpakaian seperti anime. Jangan terkejut, ada wanita yang sanggup berbelanja beribu ringgit setiap bulan untuk memastikan dirinya mengikut trend zaman sekarang!

Hakikatnya wahai Beliawanis, itulah strategi-strategi sang kapitalis meraih untung, menggunakan media menyebarkan propaganda. Pemikiran kita dijajah, pandangan kita diubah. Tapi kita terlupa, kecantikan itu bukan pada fizikal sahaja, tetapi dalamannya juga. Bak kata pepatah Inggeris ‘Beauty lies in the eyes of the beholder’.

Islam itu adalah agama fitrah. Islam tidak pernah menghalang wanita untuk berhias, tetapi, jauhkanlah diri anda dari berhias sehingga tabaruj—menghias diri secara berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian orang sekeliling. Cukuplah sang Beliawanis tampil anggun dan profesional dengan pakaian yang kemas dan elegen sesuai dengan kerangka syarak. Hakikatnya, jika peribadi kita cantik, pakailah apa pun, pasti akan terserlah cantiknya. Cukuplah wahai Beliawanis, membuang masa dengan pengaruh fesysn dan produk kecantikkan. Sedarlah wahai Beliawanis, kerana dirimu begitu berharga!

Benarlah, Beliawanis hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran yang bukan sahaja mampu meruntunkan prinsip, tetapi mampu juga menggugat keimanan. Namun begitu, apabila jiwa sang Beliawanis kuat untuk berubah, kuat untuk mengenal tarbiah dan kembali kepada Allah, Quran dan Sunnah, tiada apa yang mampu menggoyahkan imannya.

“Barang siapa ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang (teguh) kepada buhul tali yang sangat kuat yang tidak akan putus…..” Surah Al-Baqarah, 256

Bersempena dengan bulan kemerdekaana ini, ayuhlah kita hayati erti kemerdekaan dari sudut pandang yang berbeza agar kita menjadi beliawanis yang lebih baik dari semalam, beliawanis yang berusaha membebaskan diri dari jajahan pemikiran, menjadi seorang beliawanis yang merdeka

Wallahu’alam!

Amalina Annuar
Pemenang Anugerah Tokoh Mahasiswi MATK 9
Beliawanis PEMBINA

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s