KASUT BURUK

Suasana petang itu sangat sunyi seakan-akan memahami perasaan Afiq di kala ini. Dia termenung di tepi tangga melihat sepasang kasut yang telah lusuh. Mengenang ejekkan rakan-rakannya, air matanya menitis tanpa disedari.

“Kasut koyak! Aku tengok kasut kau ni dah macam bulan dah. Dasar budak miskin!”

Kata-kata itu bersisa dengan gelak-tawa yang bagaikan jarum halus yang menusuk jauh di sudut hati Afiq. Afiq berasal daripada keluarga yang susah. Menjadi yatim piatu ketika umurnya 17 tahun. Tiada harta yang ditinggalkan ayahnya. Cuma sebidang tanah yang menempatkan rumah usang tempat berlindung dia dan ibunya. Tertutup daripada pandangan oleh dinding-dinding kayu yang semakin reput namun titis hujan masih memasuki rumahnya tanpa segan silu.

Ibunya, Puan Nadhirah mengambil upah mengupas bawang. Direndam bawang semalaman agar esoknya mudah untuk dipisahkan isi dan kulitnya. Upah yang diterima hasil kerjanya tidak melebihi RM30. Namun begitu, dia tetap bersyukur kerana masih mampu menyekolahkan anaknya hasil daripada titik peluhnya sendiri.

Melihat ibunya bekerja, Afiq merasa bertanggungjawab untuk membantu ibunya. Anak muda bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini tidak diberi keizinan untuk bekerja membantu ibunya.

“Assalamualaikum.”

Afiq tersedar dari lamunan panjang. Terus tangannya menyeka manik jernih yang membasahi pipinya.

“Waalaikummussalam.”

Afiq cuba untuk mengukir senyuman melindungi kesedihan di hatinya. Dipimpin tangan ibunya masuk ke dalam rumah. Jelas terpancar kepenatan pada wajah tua itu.

Puan Nadhirah duduk di sudut rumah sambil ekor matanya mengikut gerak langkah anaknya yang semakin jauh dari pandangan. Setelah beberapa minit berlalu, Afiq datang bersama segelas air kosong untuk ibunya.

“Terima kasih anak ibu. Duduk dulu nak, ibu mahu bertanya.” Afiq duduk bertentangan dengan ibunya.

Dipicit kaki ibunya dengan penuh kasih sayang sambil menanti bicara ibunya. “Ibu nak tanya apa tadi?” Soal Afiq pada ibunya setelah suasana sunyi seketika.

“Afiq ada masalah apa nak? Ibu tengok tadi termenung panjang. Ada masalah di sekolah ke? Duit belanja ibu bagi tidak cukup ya?” Bertalu-talu soalan diajukan kepadanya. Afiq cuma mampu tersenyum sambil kepalanya digeleng-geleng. Tidak mampu rasanya berkongsi sedihnya dan menambah beban buat ibunya yang telah banyak bersusah payah menyekolahkannya. Baginya, cukuplah kesusahan yang telah ibunya tempuhi. Namun, tidak mampu juga lidah mengucapkan satu penipuan iaitu tidak.

“Kalau begitu pergilah mandi.” Afiq bangun dan mencapai tualanya.

Keesokan pagi, Afiq ke sekolah seperti biasa. Puan Nadhirah yang sibuk di dapur hanya mampu menghantar Afiq dengan ekor matanya. Doa buat anaknya yang bakal menduduki SPM pada tahun ini tidak pernah ditinggalkan. Kemiskinan bukan satu penghalang untuk Afiq berjaya dalam pelajaran. Meski hatinya kadang-kala terluka dengan ejekan rakan-rakannya. Namun, dia masih ada guru-guru yang setia memberi semangat dan menyayanginya sebagai pelajar yang pintar.

Puan Nadhirah berpakaian cantik. Berbaju kurung berwarna biru dan bertudung hitam. Pagi itu dia ingin ke kedai untuk membeli sedikit barang dapur yang telah seminggu kehabisan. Ketika kaki ingin menyarung sepasang selipar Jepun, matanya terlihat sepasang kasut sekolah yang telah koyak di hadapan dan berlubang di tapaknya. Di ambil kasut itu dan dibelek-belek.

“Mungkin inilah sebab kenapa Afiq bersedih semalam.” Puan Nadhirah menghela nafas panjang.

Afiq pulang ke rumah dengan wajah yang sedih. Di sekolah tadi, dia telah ditegur oleh guru disiplin kerana berselipar di sekolah. Kebetulan hari itu guru disiplin dan pengawas mengadakan ‘SPOT CHECK’.

Terasa ingin menitis air matanya apabila Cikgu Azman mula menaikkan suara. “Afiq! Ke mari kamu.” Afiq berjalan pantas. “Mana kasut sekolah?” Cikgu Azman bertanya sambil keningnya dinaikkan. “Di rumah cikgu.” Afiq tunduk memandang lantai. “Kenapa tak pakai?” Afiq terdiam kaku. “Ingat Afiq, kamu adalah pelajar terbaik. Jangan nak buat perangai. Jadi contoh yang baik. Apa nak jadi dengan kamu ni? Esok saya nak tengok kamu pakai kasut sekolah. Ini amaran Afiq. Ingat tu!”

Afiq melepaskan keluhan panjang. Bagaimana dia harus mendapatkan kasut yang baharu? Keliru rasa fikirannya. Lalu dipandang kasut lamanya. Terpaksalah dia memakai kasut itu pada esok hari.

Di dalam rumah, Puan Nadhirah sedang sibuk membuat kuih. Afiq yang melihat kesibukan ibunya terus meletakkan beg dan terus membantu ibunya. Pagi tadi Puan Nadhirah telah membeli barang keperluan menggunakan wang yang dimilikinya dan sedikit wang yang dipinjam dari abangnya untuk membeli bahan membuat kuih. Pagi esok dia ingin menggoreng kuih itu dan akan dijual di gerai Pak Aslam. Hasil jualan itu, dia mendapat wang sebanyak RM40. Sepuluh ringgit digunakan untuk membayar wang yang dipinjam daripada abangnya. Tiga puluh ringgit lagi cukuplah untuk dia membeli kasut sekolah baharu buat anak kesayangannya.

Selepas bertemu abangnya, Puan Nadhirah terus ke pekan dengan menaiki bas. Setibanya di perhentian bas, dia terus turun dan melangkah laju menuju ke sebuah kedai kasut. Setelah kakinya melangkah masuk ke dalam kedai, matanya terpaku sepasang kasut putih seputih awan. Puan Nadhirah menuju ke arah kasut itu dan melihatnya. Lalu dibawanya kasut ke kaunter pembayaran untuk membuat bayaran. Sebelum keluar dari kedai, Puan Nadhirah sempat meminta pekerja kedai melekatkan sekeping kad di atas kotak kasut itu.

Puan Nadhirah keluar dari kedai dengan hati berbunga. Dalam fikirannya terbayang wajah anak lelakinya tersenyum gembira apabila dapat melangkah ke dalam dewan peperiksaan dengan berkasut baharu. Dalam asyik dia membelek plastik yang dipegangnya, “Pon!Pon!” Terdengar hon berbunyi kuat. Plastik yang dipegangnya tercampak ke sisi jalan dan dirinya terbaring lemah di tengah jalan. Terasa darah mengalir keluar dari kepalanya. Dunianya tiba-tiba terasa gelap. Sebelum dia menutup mata, dia sempat teringatkan kasut buruk yang dijumpai di bawah tangga semalam.

Afiq sedang asyik meminum air di kantin. Tiba-tiba gelas yang dipegangnya terlepas dari gengggaman. Terlayar wajah ibunya di mata. “Ya Allah, selamatkanlah ibuku.” Hatinya cukup risau sama rasanya ketika ayahnya pergi meninggalkannya buat selamnya. Namun, doanya tidak putus-putus buat insan tersayang. Di dalam hatinya gelisah memikirkan keselamatan ibunya. Moga ibunya dalam keadaan baik.

Afiq puas memanggil ibunya. Sejak pulang dari sekolah tadi, dia belum berjumpa ibunya. Makin gelisah di hati memikirkan ibunya.

“Assalamualaikum.”

Afiq membuka pintu rumahnya. Kelihatan jirannya, Pak Cik Aiman sedang berdiri sambil memegang satu beg plastik yang berisi kotak berwarna putih. Dipandang Pak Cik Aiman lama. “Afiq, ini untuk kamu.”

Afiq tersedar dari renungannya.

“Waalaikummussalam. Eh, maafkan saya pakcik. Jemputlah masuk ke rumah. Pakcik ada nampak ibu saya?” Tanya Afiq penuh ramah.

“Afiq, sebenarnya tujuan pakcik ke sini untuk sampaikan berita tentang ibu kamu. Ibu kamu sekarang ada di hospital. Mari siap-siap pakcik bawakan kamu ke sana.”

Mendengar khabar itu hati Afiq bagaikan ingin jatuh dari tempatnya. Pak cik Aiman menghulurkan plastik yang dipegangnya lalu disambut Afiq lemah.

Perlahan-lahan kotak putih itu dibuka dalam perjalanan ke hospital. Kad yang terletak cantik di atas kotak dibukanya.

Buat anak ibu yang ibu sayangi, Satu-satunya anak ibu.

Ibu hadiahkan kasut ini supaya Afiq dapat memakainya ketika melangkah ke dalam dewan peperiksaan nanti. Maafkan ibu tidak dapat memberi kesenangan dalam hidupmu nak. Berilah ibu satu kejayaan yang ibu harapkan selama ini. Ibu yakin, Afiq boleh lakukannya. Jadilah anak yang soleh. Ibu sayang Afiq.

Setitis demi setitis air matanya jatuh. Terkenangkan pengorbanan ibunya, membuatkan dia sangat terharu. “Afiq, kita dah sampai. Mari turun.” Afiq turun dengan langkah yang lemah mengikut di belakang pakcik Aiman. Mungkinkah Afiq akan menjadi yatim piatu? Bagaimana Afiq harus menjalani kehidupannya selepas ini?

Empat bulan kemudian, selepas pulang dari mengambil keputusan peperiksaan, Afiq singgah ke kubur. Terpancar kerinduan di wajah muda itu. Pastinya merindui insan yang sangat disayangi. Tikar yang dibawanya, dihamparkan berdekatan kubur insan yang disayanginya. Ditanggalkan kasut baharunya dan diletakkan di tepi tikar. Lama dipandang kasut itu. Terlayar wajah insan yang murni hatinya membesarkan penuh kesabaran. Ditemani terik mentari Afiq membacakan ayat suci al-Qur’an dalam surah Yasin. Selepas membaca surah yasin, Afiq mengungkapkan kekesalannya. “Afiq nak minta maaf. Dulu Afiq pernah berjanji untuk menjaga ibu. Tapi sebab nak belikan kasut baharu untuk Afiq, ibu kemalangan sehingga terlantar di hospital. Hanya kerana ingin menggantikan kasut buruk Afiq, ibu sanggup menjual kuih dan menaiki bas ke pekan. Maafkanlah Afiq tidak dapat menunaikan janji dengan sempurna.”

Berkali-kali diseka air matanya. Selesai sahaja dia meluahkan kekesalannya, dia terus melangkah pulang.

Afiq berdiri di halaman rumah. Sayu hatinya melihat rumah usang itu. Keputusan cemerlang di tangannya dipegang kemas. Dia bertekad untuk mengubah nasibnya. Matanya melihat kasut buruk di bawah tangga. Walaupun ketika melangkah ke dewan peperiksaan, Afiq telah memakai kasut baharu tetapi dia tidak pernah membuang kasut buruknya. Dipandang lama kasut yang banyak meninggalkan kenangan buat dirinya. Menitis air matanya mengenangkan nasib diri.

Afiq duduk seketika di atas tangga. Terkenang saat dia naik ke atas pentas bersendirian ketika diumumkan sebagai pelajar terbaik. Ramai guru yang mengucapkan tahniah di atas kejayaannya. Afiq gembira seolah-olah ibu dan ayahnya ada di sisinya. Wajahnya kembali sayu merindui insan tersayang itu.

“Afiq, sudahlah tu nak, yang lepas biarlah lepas. Ibu pun sudah sihat. Afiq pun sudah berjaya. Jangan bersedih lagi ya nak.” Afiq memegang tangan tangan insan yang tersayang di bahunya. Dia memandang wajah tua itu. Afiq mengangguk sambil tersenyum manis. Itulah senyuman yang terukir di bibir saat doktor memberitahu bahawa ibunya selamat. Afiq sangat bersyukur ke hadrat ilahi. “Sudah ke kubur ayah nak?” Afiq tersedar dari lamunan. “Sudah ibu, mari masuk ke dalam rumah.”

Afiq masuk ke dalam rumah bersama Puan Nadhirah. Dia membawa kasut buruknya ke dalam rumah. Kasut itu ingin dibasuh dan disimpannya. Moga kebahagiaan dan kejayaan milik mereka selamanya. Bagi Afiq ibunya bukan sekadar ibu tetapi juga seorang guru kehidupannya.

[Penulis: Annur Dalilah]

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s