FEMINISME PEMUSNAH WANITA!

13123100_1226088990742392_853703755427944013_o

Duhai wanita, ingatkah suatu ketika dahulu? Bagaimana dirimu dicaci dihina? Lahirmu ke dunia, bagai membawa malang ke pelusuk alam. Kau dibunuh, ditanam hidup-hidup di dalam lubang. Jikalau pun kau hidup, kau hanya sekadar menjadi hiburan. Kau dikeji kerana lemah, dihargai kerana kecantikan.

Sudahkah kau lupa sejarah hidupmu wahai wanita?

Dan hadirnya Islam, ibarat membawa cahaya baharu buat dirimu ke seantero alam. Darjatmu diangkat, hak mu dipelihara.

Tiba-tiba, pada suatu hari, wujud pula suara-suara sumbang yang berkumandang, menuntut hak sama rata walhal Islam itu sudah adil dan saksama.

“Kami menuntut hak sama rata!”

“Eh, kalau lelaki boleh buat, wanita pun boleh buatlah!”

“Apa pula aku kena tutup aurat, Islam ni kan tak ada paksaan!”

Berikut merupakan hujah-hujah klise puak feminis pada hari ini. Selalu sangat artikel-artikel tulisan feminis berkisar tentang ini. Aurat itu pilihan, bukan paksaan. Tak kena rogol pun kalau tidak memakai tudung… Pelik bukan?

Menurut The New Encyclopedia Britannica, “Feminisme ditakrifkan sebagai Kepercayaan yang bersumberkan dari Barat, tentang kesamarataan gender dalam aspek sosial, ekonomi dan juga politik. Dan kepercayaan ini diwakili oleh pelbagai institusi yang komited ke arah memperjuangkan hak wanita dan kepentingan mereka.”

Hakikat di atas kertas, bunyinya enak sekali, namun begitu, tahukah anda bahawa ideologi ini pada asalnya terbentuk daripada pemikiran liberalisme. Suatu fahaman yang ditakrifkan sebagai bebas secara literalnya.

Konklusinya, fahaman feminisme ini merupakan salah satu cabang fahaman liberalisme yang mempromosikan kebebasan tanpa had, tidak terkongkong dengan agama. Fahaman ini gah didokong oleh golongan orientalis yang mempelajari Islam tetapi hakikatnya, mereka datangkan ideologi-ideologi sebegini untuk menghanyutkan para muslimah khususnya dari landasan Islam yang sebenar.

Kebobrokkan ideologi ini jelas diperlihatkan apabila mereka mengimani ayat-ayat Al-Qur’an yang bersesuaian dengan ideologi mereka. Yang tak sesuai ditolak ke tepi. Contohnya ini:

Hakikatnya, telah Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 120:

Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani elama-lamanya tidak akan rela kepada kamu sehinggalah kamu mengikuti agama mereka”

Pastinya terdetik di ufuk minda kita, kenapa harus dibanteras golongan feminis ini. Mereka hanya memperjuangkan keadialan belaka? Namun, sedarkah kita perjuangan golongan ini hanya mahu memesongkan kita daripada agama? Apa buktinya?

Satu persoalan yang ingin saya timbulkan. Benarkah Feminis memperjuangkan hak wanita atau kebiasan gender?

Golongan feminis mengatakan mereka memperjuangkan hak sama rata gender antara lelaki dan perempuan, namun pada hakikatnya mereka hanyalah memperjuangkan hak wanita lalu menindas kaum Adam bersama.

Hakikat ini boleh kita lihat dalam menyelusuri sejarah bermulanya gelombang feminisme. Pada suatu ketika dahulu, golongan feminis bangkit di tengah-tengah zaman 1920an untuk menuntut hak mengundi. Ketika itu mereka merupakan golongan yang terhina, ditindas, tidak boleh mempunyai harta, apatah lagi suara untuk memperjuangkan hak. Oleh itu, era ini bermulalah gelombang feminisme yang pertama, menuntut hak bagi wanita mengundi.

Namun, apabila dimurnikan semula sejarah ini, menurut Saudari Zara Faris, Pendebat dari Muslim Debate Initiative, beliau menyatakan bahawa pada zaman itu juga, golongan lelaki kelas rendah tidak dibenarkan untuk keluar mengundi. Namun begitu, saat tercetusnya gelombang pertama ini, para pendokong feminis bukan sahaja telah mencetuskan huru-hara, tetapi tidak sedikit pun membela kaum lelaki kelas rendah untuk sama mendapat hak mengundi.

Apakah itu sebenarnya perjuangan untuk menegakkan hak wanita atau kebiasan gender semata? Tepuk dada tanya selera.

Berbeza situasinya dengan Islam, kehadiran Islam telah mengubah tasawwur atau world view untuk wanita. Wanita diangkat tinggi, suaranya didengari, haknya sentiasa terjaga. Hakikat ini jelas apabila kita menyelusuri sejarah Islam, tokoh-tokoh wanita Islam sentiasa diangkat, menjadi sumber inspirasi wanita hari ini.

Cuba kita lihat, suatu ketika dahulu, apabila Saidatina Khadijah memeluk Islam, tiada sekalipun Rasulullah SAW menghalang beliau untuk terus menjalankan perniagaannya. Malahan, Saidatina Khadijah juga bekerja lebih keras untuk membantu membangunkan Islam. Kita lihat pula, Khawlah Al-azwar, sewaktu pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, Khawlah lantang menyuarakan pandangannya terhadap keputusan-keputusan Khalifah itu, tidak sekalipun dia di tangkap atau dimarahi.

Bukankah itu bukti Islam juga mengangkat hak dan suara seorang wanita? Dalam Al-Qur’an juga termaktub satu surah khas buat wanita, darjat wanita diangkat, maruahnya dipelihara. Sungguh Islam itu sangat menjaga wanitanya.

Modenisasi juga tidak pernah mengenepikan hak-hak wanita dalam Islam. Wanita diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran, bekerjaya, berkeluarga. Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Sarawak, Prof Mohd Fadzil Abdul Rahman dalam ucapannya dalam sebuah majlis berkata, 65% daripada pelajar di UNIMAS terdiri daripada kaum wanita. Nah! Adakah wanita masih ditegah haknya?

 Konklusinya, benarlah ideologi feminis ini memperjuangkan kebiasan gender walhal Islam telah terlebih dahulu mengangkat hak-hak seorang wanita.

Satu persoalan telah berjaya kita rungkai, ayuh kita layari hujah feminis yang kedua, Tudung itu pilihan bukan paksaan.

Sering saya lihat di laman-laman sosial mahupun dada-dada akhbar, perdebatan isu tudung yang tiada sudahnya. Muncul pula puak-puak feminis seperti Sisters In Islam dengan gah mengatakan bahawa menutup aurat itu satu pilihan, bukan kewajipan. Hal ini telah mengundang persoalan kepada diri saya, puak feminis ini mengatakan dirinya Islam, tetapi mengapa mereka memperlekehkan antara hukum utama dalam Islam iaitu menutup aurat?

Telah Allah SWT berfirman dalam surah An-Nur ayat 31, dengan penuh teliti batas-batas aurat seorang wanita. Juga dalam surah al-Ahzab ayat 59:

Hai Nabi, Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak diganggu. dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

Pernahkah kita terfikir logik disebalik suruhan Allah SWT ini? Sebenarnya ia bukan hanya melindungi seorang wanita, tetapi menyebabkan seorang wanita itu lebih disegani kerana intelektualitinya daripada rupanya.

Saya bayangkan jika saya seorang lelaki, dihadapan saya ada dua wanita, seorang yang bertudung dan seorang lagi tidak. Kami sedang asyik bersembang tentang topik ilmiah, agak-agak yang mana satu saya akan lebih memandang, yang bertudung atau tidak? Sudah tentunya yang tidak bertudung kerana rambutnya itu bakal mengasyikkan diri saya, tetapi saya lebih mendengar apa wanita yang bertudung itu perkatakan kerana bukan sahaja saya tidak terganggu, malahan saya lebih menghargai intelektualitinya dari rupa zahirnya. Benarlah, menutup aurat itu sebenarnya melindungi seroang wanita dari diperlihatkan sebagai objek seks semata!

Jelas bukan? Hakikatnya yang terkeliru itu adalah golongan feminis, kata sahaja dirinya Islam, tetapi hukum asas pun tidak boleh mereka terima. Wajarkah kita mengikuti jejak langkah fahaman mereka? Tidak sama sekali!

Daripada dua hujah yang telah saya bentangkan tadi, jelaslah, ideologi feminisme ini yang gah diangkat barat hanya mampu menjadi pemusnah sang wanita. Islam itu turun lengkap, adil dan saksama, meletakkan sesuatu pada tempatnya, dan mengangkat darjat seorang wanita. Telah Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 208:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kalian kepada Islam secara kaffah (menyeluruh), dan janganlah kalian mengikuti jejak-jejak syaithan karena sesungguhnya syaithan adalah musuh besar bagi kalian.” [Al-Baqarah : 208]

Konklusinya jelas, feminisme hanya merobek jati diri seorang wanita. Dah lah puak mereka ni mengambil Islam ibarat bufet kenduri kahwin, yang mana suka diambil, yang mana tak suka dibuang dan dikritik.

Wanita ini golongan hebat, kerana kita diciptakan untuk melakukan perkara yang lelaki tidak boleh buat, bukan yang boleh lelaki buat. Hadirnya Islam itu mengangkat hak dan darjat seorang wanita maka jelaslah muliamu wanita kerana Islam. Hai beliawanis, warnailah kehidupanmu berlandaskan fitrah!

Amalina Annuar
Biro Kajian PEMBINA
Setiausaha 1 PEMBINA UNIMAS

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s