BEDTIME STORY?

mother-son-reading-bedtime-story-16455718
Kredit Google.com

Bila mendengar perkataan ‘bedtime story’, ramai akan teringatkan kisah-kisah dongeng yang mungkin pernah didengari sewaktu kecil. Ibu mahupun ayah akan menceritakan kisah-kisah ini kepada kita sebelum kita tidur. Namun ketahuilah ibu mahupun ayah, kisah-kisah dongeng ini sebenarnya membawa banyak keburukan berbanding kebaikannya.

 Kisah-kisah seperti Cinderella, Rapunzel, Snow white, Sleeping Beauty dan banyak lagi, sebenarnya telah mengajar anak-anak kita untuk berimaginasi dengan lebih tinggi. Malah mereka mungkin akan bercita-cita ataupun memasang angan-angan untuk menjadi seperti salah satu watak di antara kisah-kisah dongeng ini.

Kenapa kita tidak tukarkan penceritaan ‘bedtime story’ ini kepada kisah-kisah sejarah Islam? Banyak kisah sejarah wanita Islam mahupun para sahabat Baginda SAW yang boleh kita ceritakan kepada anak-anak kita. Contohnya, kisah Khaulah al-Azwar, Saidatina Fatimah puteri kesayangan Rasulullah SAW, Asma’ binti Abu Bakar dan banyak lagi para sahabiah yang boleh dijadikan teladan untuk anak-anak perempuan kita.

Malah, kita juga boleh menceritakan kisah Maryam binti Imran, ibu kepada Nabi Isa a.s dan juga kisah Siti Hajar, isteri kepada Nabi Ibrahim dan ibu kepada Nabi Ismail a.s. Wali Allah iaitu Rabiatul Adawiyah juga kita boleh mengambil pengajaran dan iktibar di sebalik kisahnya.

Selain itu, ia juga  mendidik dan mengajar anak-anak gadis kita untuk mengenali tokoh-tokoh mulia ini berbanding kisah-kisah dongeng yang makin hari makin lain kisahnya. Manakala, untuk anak-anak lelaki pula, banyak kisah yang boleh dijadikan teladan mahupun pengajaran, seperti kisah Rasulullah SAW sendiri, yang mana dapat mendidik anak-anak lelaki kita untuk memiliki sifat dan sikap seperti Rasulullah SAW. Bukankah Rasulullah SAW merupakan teladan yang patut dicontohi!

Tidak salah untuk menceritakan kisah dongeng ini, tetapi selitlah sedikit kisah tokoh-tokoh Islam untuk menjadi tatapan minda anak-anak kecil. Ini kerana, minda anak-anak kecil ini masih suci malah mereka lebih suka berimaginasi sendiri. Ibu bapa juga boleh selitkan kebaikan dan keburukan diantara kisah tokoh Islam dan juga kisah dongeng. Jadilah ibu bapa yang kreatif untuk anak-anak bukan ibu bapa yang ‘mengkreatifkan’ anak-anak untuk lebih berimaginasi. Ini kerana anak-anak kecil adalah masa hadapan negara, malah masa depan Islam sendiri. Ibu bapalah yang mencorakkan kehidupan si kain putih ini.

****

“Ustazah nak tanya. Siapa kenal Khaulah al-Azwar? Angkat tangan!”

“Tak kenal la, ustazah.”

Masing-masing menampakkan gigi yang bersih sambil menggarukan kepala yang tidak gatal.

“Ustazah, Khaulah al-Azwar tu bukan ke anak Diana Amir. Yang pelakon tu,” tanya salah seorang anak yang pintar dengan dunia teknologi.

“Yup. Betul tu. Tapi Khaulah al-Azwar ni tidak sama dengan anak pelakon tu. Dia seorang wanita yang sangat berani. Berperang melawan musuh,” balas Ustazah Humaira’ sambil tersenyum.

“Siapa tahu kisah Cinderella? Angkat tangan!” Tanya ustazah sekali lagi kepada anak didiknya di Tadika Murni untuk mengetahui tahap ‘kefahaman dan kekisahan’ mengenai tokoh Islam dan kisah dongeng.

“Saya tahu, ustazah.” Hampir kesemuanya mengetahui kisah dongeng Cinderella ini, tidak kira lelaki mahupun wanita. Dan masing-masing ‘sibuk’ bercerita sesama mereka.

Muhasabah seketika: Adakah kita ingin membiarkan anak-anak kecil yang umpama kain putih ini seperti ini? Lebih mengetahui kisah dongeng berbanding kisah tokoh sejarah sendiri.

****

Sedikit perbandingan dan pengajaran yang boleh saya tunjukkan antara kisah tokoh wanita Islam dan  kisah dongeng. Dan semoga dengan ini, kita semua dapat mengubah ‘bedtime story’  dengan kisah realiti bukan fantasi.

  1. Pergantungan kita kepada Allah SWT

Melalui kisah dongeng yang boleh kita ambil pengajaran seketika ialah kisah Cinderella, yang mana Cinderella ini lebih mengharapkan pergantungannya kepada ‘pari-pari’, sedangkan dalam Islam, kita diajar dan dididik untuk meletakkan pergantungan kita sepenuhnya kepada Allah SWT. Adakah kita ingin melihat anak-anak yang comel kita meletakkan pergantungan lain selain Allah? Semestinya tidak bukan!

Maka, titipkanlah kisah teladan seperti Maryam binti Imran mahupun Rabiatul Adawiyah. Kisah tokoh wanita ini sangat menarik untuk kita ceritakan kepada anak-anak kecil tentang kisah pergantungan yang tinggi kepada Allah SWT.

Seperti kisah Maryam binti Imran, ibu kepada Nabi Isa al-Masih putra Maryam, disaat Maryam ingin melahirkan anaknya ketika di padang pasir. Di saat itu, tiada rumah ataupun orang disekitarnya. Tetapi hanyalah pohon kurma untuk dijadikan tempat berteduh dan kurma untuk dijadikan makanan. Malah, ketika penduduk sekitarnya bertanyakan soalan kepada Maryam,

‘Siapakah anak kecil ini?’

 ‘Di manakah bapa anak kecil ini?’

 Persoalan demi persoalan yang ditanyakan kepada Maryam, namun Maryam hanya berdiam diri sahaja. Pergantungan Maryam binti Imran kepada Allah SWT untuk menjawab persoalan  kepada anak kecilnya ini, iaitu Nabi Isa al-Masih putera Maryam.

Manakala kisah Rabiatul Adawiyah seorang wali Allah yang sangat masyur kisahnya, seorang perindu yang abadi. Rabiatul Adawiyah, diculik dan dijual untuk dijadikan hamba abdi di sebuah keluarga kaya di pinggir kota. Siang hari, Rabiatul Adawiyah melunaskan kerjanya sebagai pembantu rumah. Malam harinya, Rabiatul Adawiyah melunaskan ibadatnya sebagai hamba Allah. Kebergantungan Rabiatul Adawiyah kepada Allah SWT sangat tinggi, mengharapkan kebebasan daripada tuannya kerana tidak sanggup mengabdikan diri kepada manusia yang zalim tetapi hanya untuk mengabdikan kepada Kekasih Hati yang sentiasa dirindui. Sehinggalah Rabiatul Adawiyah dibebaskan sebagai hamba kepada tuannya.

  1. Maruah

Setelah bergelar sebagai orang tua, mesti ramai ibu bapa yang menginginkan anak-anak mereka, terutamanya anak gadis mereka menjaga maruah diri. Ini kerana, pada zaman yang serba moden dan canggih ini, pelbagai kes rogol didengar dihalwa telinga ibu bapa, anak gadis lari dari rumah kerana mengikut teman lelaki, anak gadis yang berpakaian agak ketat dan macam-macam lagi.

Benarlah kata pepatah orang tua zaman dahulu berkata, ‘menjaga anak gadis lebih susah daripada menjaga lembu sekandang’. Bukan niat mereka untuk membandingkan anak gadis dengan lembu tetapi perumpamaannya memang begitu! Tiada seorang pun ibu bapa yang menginginkan anaknya melahirkan anak luar nikah. Bukan semua ibu bapa yang mengharapkan anak gadis mereka melarikan diri kerana mengikut lelaki lain. Oleh itu, pendidikan semasa kecil sangat perlu dipraktikkan lagi oleh ibu bapa dengan pendidikan Islam. Usah diceritakan kisah dongeng, kerana banyak keburukannya berbanding kebaikan.

Kisah yang boleh saya ceritakan tentang maruah di dalam kisah dongeng ini ialah kisah Cinderella, Snow white  dan juga Rapunzel.  Kita pergi dari satu kisah ke satu kisah. Kisah Cinderella,di mana kita semua tahu tentang kisah dongeng ini iaitu Cinderella keluar pada waktu malam semata-mata untuk menghadiri majlis tari menari yang diadakan di istana. Persoalannya disini, adakah sesuai seorang gadis remaja keluar pada waktu malam? Tepuk dada tanya iman. Kedua ialah kisah Snow white yang tinggal bersama 7 orang lelaki. Adakah kita sebagai ibu bapa, menginginkan anak gadis kita tinggal dengan seorang lelaki?

Dan kisah yang seterusnya ialah Rapunzel. Walaupun tidak pernah kelihatan berdua-duaan dengan lelaki lain, tidak pernah keluar pada waktu malam. Namun, kenapa saya katakan Rapunzel di dalam kisah ini. Jika semua maklum dengan kisah ini Rapunzel hidup seorang diri di menara yang tinggi, yang dibina oleh seorang ahli sihir yang dipercayai adalah ibu kandungnya. Namun satu kekurangan yang dihadapi oleh Rapunzel ini ialah dia tiada kebebasan untuk menikmati dunia luar, kerana tiada jalan keluar yang dapat dia tuju melalui tingkat ini. Tingkap yang dibina oleh ahli sihir itu sebagai jalan keluar dari menara dengan menggunakan rambut panjang Rapunzel. Inilah keburukan yang saya ingin jelaskan mengenai kisah ini.  Rapunzel walaupun tidak keluar berdua-duaan dengan lelaki lain, tidak keluar pada waktu malam mahupun tidak tinggal bersama lelaki, namun dia telah menunjukkan auratnya. Adakah kita sebagai ibu bapa ‘mengizinkan’ anak gadis kita membuka auratnya? Pakai tudung tetapi rambut kelihatan.

Untuk menceritakan kisah tokoh wanita tentang maruah, kebanyakan kisah yang kita semua tahu, semua tokoh wanita Islam sangat menjaga maruah diri setelah syiar Islam disebarkan dan ditegakkan, malah malu juga menjadi perisai diri mereka.

Tokoh yang boleh kita contohi atau teladani ialah kisah Saidatina Aisyah Humaira, isteri kepada Rasulullah SAW, juga merupakan seorang ilmuwan wanita. Saidatina Aisyah pernah mengajar sahabat-sahabat yang lain tentang ilmu al-Quran, hadis dan lain-lain lagi, akan tetapi tirai dikenakan untuk mengelakkan berlakunya fitnah dan juga untuk menjaga maruah sebagai seorang isteri dan anak daripada dipandang mahupun memandang.

  1. Keberanian

Bila berkisahkan keberanian, siapakah tokoh wanita Islam yang boleh kita perkatakan pada saat dan detik ini? Tidak mengambil masa yang lama hanya 5 saat sahaja kita boleh katakan, iaitu Khaulah al-Azwar. Bukan semua wanita Islam yang terdahulu tidak berani, mereka sebenarnya adalah tunggak keberanian seorang lelaki mahupun suami. Mereka bekerja di belakang ‘tabir’ semasa peperangan berlaku, kerana Nabi Muhammad SAW sangat menjaga keselamatan kaum wanita, kanak-kanak mahupun orang tua. Mereka dibenarkan bekerja untuk membantu pahlawan-pahlawan yang cedera terkena panahan anak panah mahupun pedang.

Namun, semua kita maklum dengan ketangkasan Khaulah al-Azwar dalam menghunus pedang di medan perang melawan musuh. Dikatakan oleh pemuda-pemuda Islam  yang lain semasa berperang, ketangkasannya seperti Khalid al-Walid, namun dia bukan Khalid al-Walid. Inilah dia contoh tokoh wanita Islam yang perlu kita contohi, beranilah seperti Khaulah al-Azwar. Dan ibu bapa, ajarlah anak-anak gadis kita menjadi seorang yang berani menegakkan kebenaran, bukan berani kerana menegakkan ‘benang yang basah’.

Ajari anak-anak sama ada lelaki mahupun perempuan menjadi seperti tokoh-tokoh Islam. Seorang lelaki mereka boleh mencontohi sikap mahupun keberanian seperti Rasulullah SAW, Saidina Umar al-Khattab, Sultan Al-Fateh, Solehuddin al-Ayubbi, dan ramai lagi.

Manakala, anak gadis boleh mencontohi sikap keberanian Saidatina Fatimah puteri kesayangan Baginda SAW mempertahankan ayahandanya, ketika kaum Quraisy melemparkan tahi unta semasa Baginda SAW sedang  solat.

“Apakah kesalahan ayahku sehingga kamu semua sanggup melakukan sedemikian,”ujar Saidatina Fatimah sambil membuang segala kekotoran di belakang Rasulullah SAW.

Tokoh yang boleh kita sebagai seorang perempuan yang berani ialah mencontohi sikap keberanian Asma’ binti Abu Bakar. Asma’ adalah anak kepada Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan juga merupakan kakak kepada Saidatina Aisyah isteri kepada Rasulullah SAW. Keberanian dan pengorbanan Asma’ ditunjukkan semasa menghantar bekalan makanan kepada bapanya, Saidina Abu Bakar dan Rasulullah SAW yang bersembunyi di Gua Hira semasa penghijrahan Baginda diketahui oleh kaum Quraisy. Malah dengan keberanian ini, Asma’ binti Abu Bakar diberi gelaran Dzatun Nithaqain oleh Rasulullah SAW yang membawa erti wanita yang mempunyai dua tali pinggang. Dimana, Asma’ terpaksa mengoyakkan ikatan pinggangnya kepada dua bahagian bagi menjadikan tali pengikat untuk meletakkan bekalan makanan dan minuman.

Malah kita juga boleh teladani keberanian kisah Siti Hajar, isteri kepada Nabi Ibrahim a.s dan juga ibu kepada Nabi Ismail a.s. Siti hajar ditinggalkan oleh suaminya, Nabi Ibrahim a.s bersama anak kecilnya, Nabi Ismail a.s di tengah-tengah padang pasir yang kering-kontang. Bagaimana keberanian Siti Hajar yang mempunyai jiwa kental dalam mematuhi perintah dari Allah SWT dan pada masa yang sama menjaga anaknya yang masih kecil.

Dan, adakah kita sebagai ibu bapa, masih ingin menceritakan kisah-kisah dogeng kepada anak-anak gadis kita? Kisah Cinderella yang sentiasa bersedih kerana didera oleh ibu tiri dan kakak tirinya. Menangis di dapur mengenangkan nasib diri. Adakah kita ingin menjadikan anak gadis sebagai seorang gadis yang lembik mahupun cengeng? Hanya menantikan ‘keajaiban’ yang berlaku, seperti munculnya ‘pari-pari’. Ataupun kisah Snow White yang kononnya dikatakan ‘dijaga’ oleh tujuh orang lelaki kerdil. Ataupun kisah Sleeping Beauty yang menantikan kehadiran putera idaman untuk menyelamatkannya.

Ayuh ibu bapa, ajarkan anak-anak gadis kita menjadi seorang wanita yang berani, bukan lembik dan menangis sahaja!

****

Sebenarnya banyak kisah dari tokoh wanita Islam yang boleh kita jadikan idola muslimah. Banyak kebaikan dan pengajaran yang boleh kita praktikkan untuk masa depan kita. Bukan dengan kisah-kisah dogeng semata-mata. Banyak keburukannya dari kebaikkan.

Untuk mengajar anak-anak gadis kita menjadi seorang yang dermawan, ibu bapa boleh menceritakan kisah wanita pertama yang memeluk Islam iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid, isteri kepada Rasulullah SAW. Saidatina Khadijah menginfakkan segala harta bendanya demi Islam tercinta, demi membantu suami dalam menegakkan syiar islam.

Untuk menjadikan anak-anak gadis sebagai seorang ilmuwan, seorang yang pencinta ilmu, dendangkan kisah Saidatina Aisyah isteri kepada Rasulullah SAW, seorang yang jelitawan ilmuwan. Siti Aisyah terkenal dan tergolong sebagai ahli ilmuan dalam al-Quran, hadis, fikah, sejarah dan bahasa Arab. Malah Siti Aisyah juga adalah penyumbang ilmu yang terbesar dalam hal-hal yang berkaitan dengan fiqah wanita. Bukan mengajar anak-anak gadis dengan mentaliti yang daif, dimana wanita belajar tinggi sekalipun akhirnya ke dapur juga.

 Ya, memang benar. Wanita dan dapur tidak dapat dipisahkan. Tetapi jadilah wanita yang berada didapur juga sebagai wanita yang berilmu. Bukan senang untuk menggoreng ikan, mahupun memasak nasi. Semua ini memerlukan ilmu. Bolehkan kita menggoreng ikan tanpa ilmu? Boleh! Tapi ikan itu mungkin akan hangus, ikan itu juga mungkin separuh masak Tetapi dengan adanya ilmu, ikan itu akan masak dengan sempurna, tanpa hangus dan hancur.

Ayuhlah kita semua, menjadi ibu bapa yang cintakan sejarah islam. Kakak mahupun abang yang sayangkan sejarah islam. Tanpa sejarah siapalah kita. Bukan hanya kisah dongeng sahaja.

 

[Ainul Adam]

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s