UWAIS AL-QARNIKAH AKU?

ffc31433c203eda5edfda0a8eeffbed9
Kredit Google.com

Jika anak adalah anugerah terindah daripada Allah SWT buat pasangan suami isteri mahupun ibu bapa, maka ibu bapa adalah nikmat kebahagian yang diberikan oleh Allah SWT untuk setiap insan yang bergelar anak. Bukan semua insan yang dapat merasai kebahagian kasih seorang ayah. Bukan semua orang dapat merasai nikmat belaian seorang ibu. Malah, bukan semua orang yang dapat merasai nikmat kebahagian dari kasih seorang ayah dan belaian dari seorang ibu. Mungkin, di saat mereka lahir, mereka sudah kehilangan seorang ayah. Disaat mereka ingin membesar dengan belaian seorang ibu, mereka sudah kehilangan belaian itu. Malah, ada dalam kalangan kita, di saat mata kecil mereka membuka mata untuk mengenal kasih seorang ayah dan belaian seorang ibu, namun hanya wajah datuk dan nenek yang kelihatan. Ibunya sudah syahid ketika bertarung untuk melahirkannya. Bapanya, mungkin kemalangan dalam perjalanan ketika menuju ke hospital.

Di saat umur sedang meningkat, kerjaya makin meningkat maju. Sibuk sana, sibuk sini. Ibu bapa ditinggalkan begitu saja. Terabai dengan sikap kita sebagai seorang anak. Bila berjaya dan sibuk dengan kerjaya, ibu dan ayah ditinggalkan di rumah kebajikan orang-orang tua. Kadang-kadang, mereka ditinggalkan di tepi kaki masjid, di tepi jalan ataupun di tepi kaki lima perhentian bas. Dengan alasan, ibu menyusahkan kita. Ayah membebankan kita. Hilang sudah sikap prihatin sebagai seorang anak.

Teringatku akan kisah Uwais al-Qarni yang hidup di zaman Rasulullah SAW. Seorang pemuda yang di sebut-sebut namanya oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat Baginda. Uwais al-Qarni, seorang pemuda yang tidak terkenal di bumi, namun terkenal di langit. Masha Allah, hebat sungguh wali Allah ini. Uwais al-Qarni, berpenyakit sopak (penyakit kulit) di seluruh tubuh badannya. Walaupun begitu, Uwais adalah seorang anak yang soleh, yang amat mengambil berat tentang ibunya yang telah uzur dan lumpuh.

Pada suatu hari, ibu Uwais al-Qarni menyatakan hajatnya untuk menunaikan ibadah haji. Namun begitu, Uwais al-Qarni tidak mampu untuk membeli seekor unta untuk menjadi tunggangan ibunya, kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji perlu menyediakan unta. Namun atas permintaan ibunya yang dikasihi, Uwais al-Qarni mendapat satu ilham dengan membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan habis menyusu. Rumah untuk lembu itu dibina di atas bukit. Semua orang tertanya-tanya, adakah Uwais al-Qarni sudah gila? Membina kandang lembu di atas bukit dan berulang alik mendukung anak lembu itu. Pada waktu pagi, Uwais akan mendukung anak lembu itu turun dari bukit untuk memberi makan kepada anak lembu tersebut. Petang harinya, Uwais akan mendukung sekali lagi lembu tersebut untuk naik ke atas bukit. Namun sebenarnya, Uwais sedang melatih dirinya dengan mengangkat anak lembu itu sehingga dewasa adalah sebagai persediaan untuk mengangkat ibunya menunaikan ibadat haji.

Masha Allah. Hebat sungguh wali Allah. Dan saat ini, aku tertanya-tanya, masih wujudkah ‘Uwais al-Qarni?’ yang sanggup bersusah payah untuk ibu bapa. Masihkan wujud Uwais al-Qarni di zaman ini.

Mari kita merenung sejenak, adakah kita mampu menjadi seperti Uwais al-Qarni? Sedangkan untuk menelefon ibu, sukar sekali untuk bertanya khabarnya di kampung. Sekadar telefon di waktu peperiksaan atau ketika duit sudah tiada.

“Assalamualaikum mak, esok orang ada final exam. Doakan orang ye!”

“Assalamualaikum umi, esok masukkan duit ye. Duit dah nak abis la. Ada lagi seratus.”

Sekadar itu sahaja. Saya malu dengan diri sendiri, di laman sosial, saya sibuk mengajak orang untuk berbakti kepada orang tua. Post sana, post sini. Share sana, share sini. Hanya untuk memberitahu kepada masyarakat tentang pengorbanan seorang ibu dan ayah. Tapi, saya sendiri tidak mempraktikannya. Adakah saya seorang ‘aktivis dakwah yang super duper buzy’ sehingga sanggup mengabaikan ibu sendiri.

*****

“Jauh termenung. Awak ada masalah ke Su?”

“Tiada apa. Saya sedang cuba untuk muhasabah diri.”

“Muhasabah diri? Wah, bagusnya. Boleh saya tahu, muhasabah diri pasal apa ye? Mungkin boleh saya muhasabah diri saya juga.”

“Saya muhasabah diri tentang hak seorang ibu daripada anaknya. Saya sibuk berdakwah sana sini, share sana sini. Tapi saya tak praktikkan pun. Saya sibuk suruh orang ramai menghormati ibu bapa, tapi saya sendiri melupakan ibu saya. Jarang bertanya khabar. Hanya telefon di saat duit tiada dan peperiksaan saja.”

Akhirnya tangisan yang dipendam keluar jua.

“Sabar Su. Saya dulu macam awak juga. Tapi satu hari, ada orang mencatat komen balas di post yang saya kongsikan di Facebook. ‘Adakah awak sudah telefon ibu awak?’. Dan saat itu juga, air mata saya mengalir. Saya baharu tersedar, selama ini saya sibuk mengajak orang, sehingga sanggup tidak menjawab panggilan ibu saya. Dan awak nak tahu, siapa yang komen tu?”

“Siapa? Jiran awak ke?”

“Bukan. Ibu saya sendiri. Selama ini, ibu saya belajar tentang dunia media sosial, dunia Facebook. Untuk mengetahui ‘kesibukan’ anaknya di sini. Dan sekarang ni, ibu dah ada akaun Facebook, dia sentiasa melihat perkembangan saya di sini. Aktiviti saya, apa yang saya post. Malu saya saat mengetahuinya.”

“Yeke! Lepas tu apa awak buat?”

“Hari-hari saya telefon dia. Tanya khabar. Dahulu saya macam awak juga. Hanya telefon disaat peperiksaan akhir tahun dan duit kering sahaja. Tetapi sekarang ini, setiap kali kuiz atau test, saya akan telefon ibu. Minta dia doakan buat saya. Kalau ada kuiz on the spot, selepas kuiz tu, saya akan telefon ibu, beritahu dia. Biar dia tidak faham dengan sistem universiti pun, tapi sudah cukup bagi saya untuk dia mengetahui tentang aktiviti saya,” katanya sambil senyum.

“Boleh ke saya nak buat macam tu? Malu la saya.”

“Boleh. Jangan malu. Ingat tak hadis Nabi SAW tentang ibu?”

“Ingat. Nabi SAW menyebut ibu sebanyak tiga kali, baharu disebut nama ayah. Betapa mulianya ibu.”

“Yup. Betul tu. Sedangkan kita dalam solat sunat pun, Allah SWT suruh kita berhenti solat dan sahut panggilan ibu kita, melainkan solat fardhu. Ingat kisah Uwais al-Qarni. Beliau sanggup menjaga ibunya yang telah uzur, walaupun hatinya teringin untuk berjumpa dengan Baginda SAW,” balas Siti dengan nada sayu.

“ Insya-Allah, kita sama-sama jadi seperti Uwais al-Qarni ye!”

*****

Antara perkara yang boleh kita lakukan terhadap ibu bapa kita walaupun ianya kecil dan biasa sahaja, tetapi ia cukup bermakna bagi seorang ayah dan ibu. Dan cukuplah mereka mengetahui setiap aktiviti dan perkara yang kita lakukan di dunia IPT.

  1. Telefon

Kalau boleh, setiap hari, kita telefon mak ayah kita, walaupun hanya 5 minit saja. Cukuplah sekadar untuk bertanya khabar mereka sahaja. Lakukan rutin harian ini selama seminggu, mesti mak ayah kita tak pelik dah. Kalau mula-mula, mesti mereka akan rasa terkejut sikit, kerana kita jarang lakukan rutin yang biasa ini.

“Dah ekau kenapo? Buang tabiat ko apa? Telepon omak ayah hari-hari ni.”

Biar buang tabiat, jangan buang adab sudah.

Contohnya, kita tanya khabar mereka, sama ada sihat ataupun tidak. Dan setiap kali ada kuiz, ujian ataupun peperiksaan akhir tahun sekali pun, telefonlah mereka. Beritahu mereka, walaupun kuiz itu sekadar 5% markah sahaja. Ini kerana, setiap doa mereka adalah berkat untuk kita. Kadang-kadang, sesetengah pensyarah suka mengadakan kuiz on the spot di dalam kelas untuk menguji ‘kefahaman’ pelajarnya, dan kita boleh menelefon ibu bapa kita selepas kelas. Jangan telefon waktu hendak jawab soalan kuiz, takut terganggu sahabat-sahabat kita yang lain untuk menjawabnya. Ataupun, kita boleh tinggalkan pesanan ringkas melalui sms ataupun WhatsApp kepada ibu bapa kita, untuk mereka mendoakan kita semasa menjawab kuiz.

  1. Minta Izin

Pernah tak, diantara kita telefon mak ayah, minta izin hendak keluar dengan kawan-kawan. Tak kisahlah mana pun kita nak pergi. Contoh, macam perempuan, mereka keluar untuk pergi membeli belah ataupun keluar makan. Yang lelaki mungkin keluar untuk bermain futsal atau pergi mandi di air terjun. Tak kisahlah. Janji minta izin, tidak kira dekat ataupun jauh kita pergi.

“Mak, kakak nak pergi bandar sekejap dengan kawan-kawan. Nak beli barang dapur. Banyak dah habis.”

Bukan susah pun. Telefon dan beritahu. Sekurang-kurangnya mereka tahu dekat mana kita berada, walaupun mereka tak tahu tempat yang kita tuju. Tapi jangan pulak kita telefon mak, beritahu kita nak pergi tandas (hehehe).

“Mak, kita nak gi tandas sekejap. Boleh tak?”

Mak kat kampung, ‘Bakpo jadi gini anak aku. Nak gi tandas tu, gi je la..minta-minta izin pulak!’

Kenapa perlu minta izin? Sedangkan nak pergi dekat sahaja. Supaya mereka tahu keberadaan kita di saat itu. Contoh macam Uwais al-Qarni, beliau meminta izin dari ibunya untuk berjumpa dengan Rasulullah SAW, tetapi ibunya tidak mengizinkan kerana saat itu ibunya sudah uzur. Dan beliau tidak pergi, walaupun di dalam hatinya, sangat-sangat ingin berjumpa dengan Baginda SAW.

Tetapi kita sekarang ni, mungkin ‘sudah lupa’ cara untuk meminta izin. Kadang-kadang, kita telefon mereka, bila kita sudah sampai ke tempat yang dituju.

“Mak, orang dah ada kat kolumpor dah ni.”

“Kau buat apo kat kolumpor?”

“Saje. Jalan-jalan.”

Ini bukan minta izin, tapi minta penampar ni. Hehehe.

*****

Jom kita sama-sama praktikkan yang tak biasa kepada biasa. Insya-Allah, semoga kita semua dapat menjadi seperti Uwais al-Qarni. Biar kita tidak terkenal di dunia serba canggih ini, asalkan kita terkenal di kalangan keluarga kita.

 

[Ainul Adam]

.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s