Ajarkan Aku Merindukan Ramadhan

image

 

Oleh Ummu Syarik

Asiah termenung panjang di tepi jendela, lalu ditegur rakan baiknya, Fatimah.

“Termenung jauh nampak. Ingat kekasih hati ke?”

“Oh, Fatimah. Mestilah, tengah ingat kat buah hati pengarang jantung.” Jawab Asiah sambil tersenyum simpul.

Asiah kehairanan. “Eh, sejak bila Asiah ada kekasih hati? Kenapa saya kawan baik awak tak tahu pun?”

“Hehe. Nak tahu ke? Sebenarnya kekasih saya tu adalah bulan Ramadhan. Saya rindu dan tak sabar nak berjumpa Ramadhan.”

“Err, bagusnya awak Asiah. Kenapa saya tak ada rasa apa-apa pun walaupun Ramadhan dah dekat? Ajarkan saya boleh? Ajarkan saya untuk merindukan Ramadhan.”

“Insya-Allah. Begini.”

*****

Seperti seorang itu merindukan kehadiran kekasihnya, begitulah pencinta Ramadhan yang menunggu-nunggu hadirnya memberi seribu satu kelebihan. Apabila bertemu, rasa tidak mahu berpisah walaupun sesaat. Tetapi sang perindu ini tidak ramai, akibat kealpaan dan kelekaan. Perlukah wujud rasa rindu ini? Mengapa?

Apabila hati tiada rasa bila dengar berita Ramadhan, maka takutlah andai kita termasuk dalam golongan kedua yang menyikapi kehadiran tetamu agung ini. Siapakah golongan kedua dan siapa pula golongan pertama?

Suatu hari Rasulullah saw berjalan menaiki mimbar. Ketika memijak tangga pertama, Rasulullah saw mengucapkan amin, begitu pula anak tangga kedua dan ketiga. Selesai solat, para sahabat bertanya, “Mengapa Rasulullah mengucapkan amin?”

Beliau menjawab, “Malaikat Jibril datang dan berkata: ‘Kecewa dan merugi seseorang yang yang bila namamu disebut ia tidak mengucapkan selawat ke atasmu.’ Lalu aku mengucapkan amin. Kemudian Malaikat Jibril berkata lagi: ‘Kecewa dan merugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi ia tidak sampai boleh memasuki syurga (iaitu dengan berbakti kepada mereka).’ Lalu aku mengucapkan amin. Kemudian katanya lagi, ‘Kecewa dan merugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan tetapi tidak sampai terampuni atas dosa-dosanya.’ Lalu aku mengucapkan amin.”(Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Orang-orang yang tidak terampuni dosa setelah melepasi bulan Ramadhan, itulah golongan kedua iaitu golongan yang rugi. Sebaliknya golongan yang pertama adalah yang sentiasa bersedia dan menanti kehadiran Ramadhan lalu bertambah amalnya bila memasukinya, dan bergraduasi dari madrasah Ramadhan dengan mendapatkan keampunan Allah swt.

Rasa rindu pada kehadiran Sang Kekasih Agung yang hadirnya setahun sekali akan membuatkan kita lebih bersedia menyambutnya di muka pintu. Jka ditanya adakah kita rindu akan Ramadhan, mungkin dengan lancar lidah membenarkan. Lidah boleh berkata-kata, tangan mampu menuliskan kalimat-kalimat indah, namun hati tidak mungkin menipu. Hanya Allah dan pemilik sementara diri mengetahui. Muhasabah.

*****

“Rindu.. Aku rindu..
Rindu pada kedatangan bulan yang padanya keberkatan..
Ya Allah tolong sampaikan hajat..
Ku untuk berpanjangan nafasku hingga pengakhiran..
Ramadhan ya Ramadhan..”

Nada dering nasyid Rindu Ramadhan oleh Devotees telefon Asiah berbunyi.

“Assalamualaikum. Ya, ayah.”

“Asiah tengah buat apa tu?”

“Tengah bersembang dengan Fatimah tentang Ramadhan.”

“Baguslah begitu. Ayah telefon sekadar nak bertanya khabar. Sihat ke? Macam mana persediaan Ramadhan?”

“Alhamdulillah sihat. Asiah dah mula sikit-sikit ayah. Tilawah, qiamullail, puasa sunat dan bersedekah.”

“Baguslah kalau macam tu. Sambunglah semula perbincangan dengan kawan kamu tu. Assalamualaikum.”

“Baik ayah. Wa’alaikummussalam”

“Maaf, Fatimah. Jom sambung semula.”

***
Mengapa tiada rindu? Kerana hati itu tidak mengingini. Tidak ingin merebut kelebihan yang Allah swt berikan pada bulan Ramadhan. Hatinya dipenuhi rasa cinta akan dunia lebih daripada akhirat. Lalu, bagaimana untuk menghadirkan rasa rindu itu?

Pertama, kenali, fahami dan hayati kelebihan bulan Ramadhan.
Rindu itu adalah perasaan yang hadir apabila terpisah jauh daripada sesuatu yang kita cintai dan kasihi. Perasaan cinta dan kasih itu pula tidak akan wujud tanpa mengenali dengan begitu mendalam tentang kekasihnya. Maka kenalilah, fahamilah apa adanya dengan Ramadhan yang bakal buat kita sering rindu dan tak sabar bertemu. Ambil tahu bonus terbesar dan teristimewa yang bakal kita perolehi dengan menambahkan ilmu tentang Ramadhan. Banyakkan bacaan melalui buku, artikel dan majalah, dengarkan ceramah dan tazkirah para asatizah dan ulama.
Cuba layangkan pandangan kepada rak-rak buku di rumah kita, ada tidak walau sebuah buku yang berbicara mengenai Ramadhan. Tiada? Lalu apalagi, bangkit dan dapatkan satu, dua atau beberapa buah di kedai buku berhampiran. Bila pengetahuannya sudah mengisi dada, mengapa masih beralasan?

Kedua, membersihkan hati dan jiwa.
Seperti mana cermin kereta yang dipasang lapisan gelap (tinted) bagi mengurangkan cahaya matahari menerjah, begitu pula apabila hati yang kelam, kurang cahaya hidayah menembusi. Hati yang gelap akibat kekotoran dari dosa dan maksiat terlebih dahulu perlu dicuci agar mudah dimasuki cahaya petunjuk dan keimanan, agar mudah menundukkan hawa nafsu dan kemudiannya meringkatkan anggota tubuh melakukan ibadah.

Masa yang ada harus diisikan dengan aktiviti dan ibadah yang bersifat tazkiyah an-nafs (penyucian jiwa) seperti muhasabah diri, berzikir dan beristighfar dengan banyak. Kenapa banyak?

“Dan tidaklah mereka (orang munafik) menyebut Allah kecuali sedikit.” ( An-Nisa’:24)

Hati yang keras tidak mudah dilembutkan dan perlukan sedikit mujahadah. Tentu kita pernah membaca Al-Quran tetapi tiada perasaan, itu tandanya hati kita gelap dan mati. Tetapi dengan sedikit mujahadah, Al-Quran dibaca tanpa berterusan sehinggalah air mata akan mengalir dengan sendirinya. Tak percaya? Cubalah.

Jika fizikal dan hati sibuk dalam berbuat kebaikan tidak mungkin kejahatan dan kesia-siaan dapat menempati ruang waktu yang kita ada. Tetapi perlu diingat harus lebih mujahadah ya…

Ketiga, tetapkan matlmat dan mulakan persiapan.
Tetapkan matlamat Ramadhan dari sekarang dan mulakan latihan peningkatan ibadah secara perlahan-lahan dan konsisten. Jika sasaran tilawah satu juzuk sehari di bulan Ramadhan, mulakan dengan satu muka surat sehari ditingkatkan kepada lima muka surat kemudian 10 dan seterusnya 20 muka surat bersamaan satu juzuk. Hah, kan sudah dapat satu juzuk tu. Bagi kita yang sering lalai dan jarang membuka Al-Quran langsung, maka mulakan seawal mungkin supaya mempunyai masa yang cukup untuk membuat peningkatan yang berkala. Jadi apalagi, selesai baca artikel ini terus mulakan!

Wujudkan rasa rindu hanyalah langkah pertama kita menanti tetamu istimewa Ramadhan. Namun ianya belum memadai hanya pada hadirnya rasa tanpa diikuti oleh amal perbuatan sebagai bukti kebenaran cinta. Seterusnya adalah persiapan lebih besar dan latihan-latihan ibadah agar hadir Ramadhan tidak dilalui dengn sia-sia.
Pernah dengar mengapa di bulan Ramadhan sekalipun syaitan dibelenggu, tetapi masih ada yang lalai dan melakukan maksiat? Lalu ramai yang berpendapat kerana mereka bukan lagi menuruti ajakan syaitan tetapi nafsu yang terdidik selama 11 bulan. Sungguh ianya benar. Dalam membangunkan ibadah semaksima mungkin, kita boleh terlepas daripada syaitan, namun adakah nafsu kita akan tunduk dan membiarkan sahaja?
Nafsu buruk yang kita turuti selama ini bukan mudah ditundukkan dalam masa sehari dua sebelum Ramadhan. Disinilah letaknya persiapan diri sebagai mukmin jauh sebelum tibanya hari yang dinanti. Marilah kita mencontohi para sahabat dan salafussoleh yang sudah mempersiapkan diri seawal enam bulan kehadiran kekasih dirindu, Ramadhan al-Mubarak.

Hakikatnya rindu kita kepada Ramadhan merupakan rindu kita akan pahala berganda serta keampunan Allah SWT. Semoga kita termasuk dalam golongan yang demikian.

*****

Fatimah tertunduk, terlihat ada yang titis yang menyentuh lantai.

“Kenapa Fatimah?” tanya Asiah.

“Terima kasih, Asiah. Baharu saya tersedar, rupanya saya masih lalai. Saya langsung tiada persiapan. Alhamdulillah lepas Asiah cerita, saya rasa lebih bersemangat untuk mulakan perubahan.”

“Insya-Allah. Sudah, jangan menangis. Nanti saya tak reti nak pujuk”.

Fatimah tersenyum dan kembali ceria dengan gurauan rakannya itu.

“Lepas ni terpaksalah kita berkongsi kekasih, jangan marah ya!”

“Pandainya awak bergurau. Kongsi pun kongsilah..”

Terburai gelak tawa mereka berdua.

“Dah, nak masuk maghrib ni jom kita bersiap. Selepas tu kita tadarus sekali.”

“Jom.”

Advertisements

One thought on “Ajarkan Aku Merindukan Ramadhan

  1. Allahu. sangat membekas tulisannya. antara persiapan juga ialah hafazan Quran dil tingkatkan supaya boleh menlaziminya semasa terawih.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s