Nani & Nana Bhg 2: Pengenalan Haid

image

“Kak Nani, Angah cakap akak pandai bab haid. Nak tanya boleh tak?” Noor memulakan bicara. Noor merupakan adik kedua bongsu kepada Nana. Kanak-kanak berbulu mata lentik itu baharu berumur 15 tahun dan akan menduduki PT3 pada tahun ini.

“Tiadalah pandai sangat, Noor. Insya-Allah, kalau akak tahu akak akan jawab. Kalau akak tak tahu, akak akan sampaikan soalan Noor pada ustaz akak di kolej.” Senyuman mereka saling berbalas.

Dengan kadar segera, Noor membuka beg sandang birunya dan mengeluarkan pensil 2B serta buku nota berwarna merah jambu. Tertulis di hadapan buku itu, ‘Ini Noor punya!”.

Nana tersenyum melihatkan kekalutan adiknya. Ada riak keterujaan di wajah Noor.  “Soalan Noor mungkin dalam buku nota itu kot.” Nana meneka dalam hati.

Pagi itu Nani singgah sebentar di rumah Nana. Rumah Nana berada dalam laluan joging Nani. Setiap hari Sabtu pagi, Nani akan berjoging sekitar kampung mereka, Kampung Paya Dalam. Dia gemar untuk mengeluarkan peluh. Sihat tubuh badan merupakan salah satu ciri Muslim sejati. Kalau badan sihat, otak cerdas, manusia akan sentiasa bersemangat untuk bekerja dan belajar.

“Semua orang akan datang haid ke kak Nani?”

Tergelak kecil Nani dan Nana. Sungguh naïf si comel, Noor.

“Orang lelaki tidak akan pernah datang haid, Noor. Hanya orang perempuan sahaja. Datang haid menunjukkan yang seseorang perempuan itu dah meningkat dewasa. Darah tu keluar bukan sebab kita ada penyakit atau apa. Tapi sebab Allah memang jadikan orang perempuan dalam dunia ini akan datang haid.” Nani cuba memberi penjelasan dengan ayat yang mudah. Remaja sekarang perlu dididik dengan sesuatu yang mudah difahami. Kalau tidak, bagai angin lalu sahaja.

“Ada ke orang perempuan yang tak datang haid, kak Nani?” Noor menggaru kening kirinya.

“Ada. Tapi seorang sahaja. Anak perempuan Rasulullah saw. Siapa anak perempuan Rasulullah saw yang Noor kenal?”

“Hmmm, Saidatina Fatimah?” Noor meneka sambil jari telunjuk kanan diangkat ke arah langit. Mengharap jawapannya betul.

“Pandai la Noor ni…” Nani menelan air liur lalu menyambung ayatnya. “Ada alim ulama mengatakan bahawa Saidatina Fatimah tidak didatangkan haid oleh Allah supaya Saidatina Fatimah sentiasa dapat beribadat kepada-Nya. Allah sayang dengan Saidatina Fatimah. Tapi ini kejadian yang luar biasa, Noor. The only one! Adat kebiasaan, orang perempuan mesti datang haid.”

Nana turut mencatatkan sesuatu dalam telefon pintarnya. Mungkin ada ilmu baharu yang Nana dapat.

“Ni, dalam kitab, ulama mendefinisikan haid itu sebagai apa? Nana mencelah perbualan Nani dan Noor.

“Kalau bab definisi ni, mudahnya kita ambil daripada definisi ulama Syafieyah la ya. Sebab kita pun memang mengamalkan mazhab Syafie.” Nani membetulkan muncung tudungnya yang ditiup angin. Suasana pagi itu sungguh mendamaikan. Tambahan pula, bihun goreng dihadapan mereka masih panas dan beraroma sungguh.

“Dari segi bahasa, haid membawa maksud mengalir. Darah mengalir kan, Noor?” Noor tergelak kecil. “Takkan darah berjalan pulak, kak Nani…” Noor sambung tawanya yang bersisa. Nana pun tergelak sama.

“Ada sahaja dua beradik ini,” getus Nani dalam hati sambil menguntum senyuman.

“Okay. Kalau dari segi istilah syarak pula, haid ialah darah semula jadi yang keluar daripada pangkal rahim perempuan ketika badannya dalam keadaan sihat dalam tempoh yang tertentu.”

“Hah, dok gelak-gelak ni, Noor, tahu tak rahim tu apa?” Nana menyakat adiknya.

“Rahim tu yang tempat baby duduklah. Darah akan berada di dinding rahim sebelum keluar. Hah, ingat Noor tak tahu ke.” Noor mencebik mulutnya lalu menumpahkan air coklat ke dalam mulutnya. “Tapi yang definisi tadi panjang sangat, Noor tak dapat hafal.”

“Takpe Noor. Tak perlu hafal pun. Tak masuk PT3 pun.” Nani pula mengambil alih menyakat Noor.

“Yang Nana dan Noor perlu ingat ialah darah haid ni darah yang memang semula jadi, maksudnya bukan darah yang kita paksa untuk keluar. Darah haid keluar waktu kita sihat, bukan waktu sakit atau selepas kemalangan teruk ke. Darah haid juga keluar daripada kemaluan orang perempuan, bukan keluar daripada lubang hidung tau.” Noor tergelak lagi. “Dan haid keluar dalam tempoh masa yang tertentu.”

“Ohhh…” Dua beradik itu sahut serentak.

“Nana dan Noor tahu tak ada haiwan pun datang haid?” Soalan Nani membuatkan mulut Noor terlopong sedikit sehingga gigi arnabnya kelihatan.

“Betul-betul ke main-main ni, kak Nani?” Noor memastikan sekali lagi. Pennya terjatuh ke atas tanah.

“Betullah. Antaranya anjing, arnab, cicak, unta, kuda, kelawar dan serigala. Comelkan arnab datang haid,” Nani menghabiskan kata-kata sambil tersenyum membayang rupa arnab yang comel dan gebu.

Nana menaip lagi. “Setiap bulankah haiwan-haiwan itu datang haid, Ni?”

“Oh, tidak. Tak sama pun haid haiwan dengan manusia. Tiada tempoh tertentu atau warna seperti kita. Yang sama hanya keluar darah sahaja.”

Nana dan Noor mengangguk lagi.

“Sebenarnya ada sebab Allah keluarkan darah haid daripada haiwan-haiwan itu. Salah satunya untuk menstabilkan tabiat badan haiwan tu. Macam manusia kalau tak haid juga, badan yang banyak darah kotor. Sakit nanti kan.”

“Amboi, rancak berborak!” mak cik Jura tiba-tiba muncul di muka pintu. “Kalau ia pun, makanlah bihun tu, sejuk nanti tak sedap.”

“Okay! Kelas kita tamat di sini. Kita makan dulu!” Noor membuka selera dengan ajakan yang sungguh bersemangat.

{bersambung}

Ukhti Mawar (sabarmuberbunga.blogspot.my)

2 thoughts on “Nani & Nana Bhg 2: Pengenalan Haid

  1. Assalam. Ana baru tahu dalam ramai ramai wanita saidatina fatimah yang tak pernah datang haid. Terima kasih atas info. #comeldanbermanfaat😃

    Like

Leave a comment