MENYUBUR SAHARA

image

Aku mengusap buku usang berkulit tebal yang terselit di celah-celah batu bata yang bertaburan. Debu yang hilang sedikit demi sedikit itu makin menjelaskan tulisan emas di atasnya.

‘Wanita-wanita bijaksana..’, aku membaca perlahan tajuk yang tertera.

Berhati-hati aku menyelak halaman pertama yang ditulis dengan tulisan tangan yang kemas.

….

Catatan indah ini kutujukan khas buat wanita-wanita bijaksana dalam hidupku: Fatimah isteri tersayang, Sarah anak sulungku, Najlah, dan Maryam si comel yang aku sayangi. –Salman-

18 November 2000

Hari ini aku dan Fatimah mebuat satu perancangan yang besar buat anak-anak gadisku. Betapa kami terlalu menyayangi mereka. Biarpun harta melimpah ruah, kami tahu bukan itulah hadiah terbaik untuk kami tinggalkan buat mereka suatu hari nanti. Biarlah mereka menjadi orang yang berguna di dunia supaya berharga di akhirat.Biarlah mereka hidup di dunia dengan nilai akhirat. Begitulah ungkapan Fatimah isteri kesayanganku yang sememangnya bijak berkata-kata.

“My heart will go on.. and on..” Sarah menyanyi-nyanyi kecil sambil menuruni tangga rumah.

Masih terngiang-ngiang lagu yang amat enak didengari dalam filem Titanic yang baru ditontonnya dengan Najlah, adiknya tadi. Ditambah pula dengan ingatannya pada aksi romantik pasangan kekasih yang cukup sepadan bersama. Cerita yang tidak pernah bosan ditonton sampai bila-bila.

Salman dan Fatimah sedang sibuk berbual di meja makan. Maryam si adik kecil yang baru berumur setahun berdiri di atas kerusi di sisi sang ibu sambil menanti suapan seterusnya. Maryam tersenyum sesekali ketawa melihat Sarah yang baru turun berlari-lari anak ke arahnya. Pipinya yang tembam dicium-cium oleh Sarah, pastinya melepaskan geram atas kecomelannya.

Sarah mencapai gelas lalu mengisi air masak yang diharap dapat menghilangkan dahaganya setelah hampir dua jam berteleku khusyuk di hadapan komputer riba di bilik tadi.

“Ibu, tahun ni cuti sekolah kita melancong ke mana pula?”, soal Sarah pada Fatimah. Sarah mengambil tempat duduk di kerusi kosong bersebelahan bapanya.

“Itulah yang ibu dan ayah sedang bincangkan. Tahun ni kita akan ke tempat istmewa selama dua minggu,” Salman menjawab persoalan Sarah sambil mengangkat-angkat kening tebalnya.

Salman yang berketurunan arab memiliki hidung mancung dan kening tebal keturunannya. Sedikit sebanyak Sarah dan adik-adiknya turut mendapat tempias. Mereka sering dikatakan berdarah campuran walhal telah hampir dua puluh genarasi mereka telah digelar Melayu asli.

“Ke mana ayah?”, soal Sarah. Membara-bara rasa ingin tahunya. Dia tahu, selalunya perancangan ayah dan ibu bukan calang-calang. Tahun lepas mereka dibawa ke Eropah menziarahi Kota Andalus yang penuh dengan sejarah Islam yang membanggakan.

“Rahsia…”, jawab Salman pendek.

“Ala.. nak tau..”, Sarah memeluk bahu ayahnya, cuba memujuk.

“Nak ikut tak? Ayah kena buat passport, ambil visa.” Salman sengaja menyeksa Sarah dengan membiarkan pertanyaannya tidak terjawab. Dipancing-pancingnya pula dengan klu-klu yang membuatkan Sarah makin teruja.

“Pasport dan visa? Naik kapal terbanglah maknanya.. luar negara! Nak ikut…” sorak Sarah.

Maryam turut tertawa tatkala melihat kakaknya bersorak girang. Pasti sahaja si comel itu menyangka Sarah sedang mengagah dan bermain dengannya.

“Ha.. nak ikut ada syarat. Pergi panggil Najlah turun. Ibu dan ayah nak beritahu syarat-syaratnya,” ibu mengarah.

“Baik!” sepantas kilat Sarah berlari menaiki tangga rumah dua tingkat milik kerajaan itu. Najlah segera berlari mengekori apabila Sarah apabila diceritakan perihal perbincangan antara Sarah dan ibu bapa mereka tadi.

Sarah dan Najlah mengambil tempat duduk di ruang makan. Entah kenapa tiba-tiba jantung Sarah berdegup kencang. Belum pernah ayah dan ibu mereka memberi syarat kepadanya dan adiknya, Najlah sebelum menerima sesuatu daripada mereka. Nampaknya destinasi kali ini pasti sangat istimewa.

“Sebelum ibu setuju untuk bawa Sarah dan Najlah melancong, kita sekeluarga ada projek istimewa yang perlu diselesaikan. Selagi tak mencapai target, kita tidak akan ke mana-mana,” ujar si ibu.

“Projek istmewa?” serentak Sarah dan Najlah bersuara.

Ibu mengangguk-angguk.

“Projek apa tu, ibu?” Najlah bertanya.

“Hmm..” si ayah mengusap-usap dagunya yang berjanggut sejemput.

“Projek Raja Midas!” ayah tiba-tiba bersuara kuat.

Maryam yang sedang bermain-main dengan sudu kecilnya, tersentak terkejut. Berderai tawa semua melihat gelagat Maryam. Maryam juga akhirnya tertawa tanpa diketahuinya hujung pangkalnya.

“Raja Midas?” aku menyebut nama yang cukup tak asing bagiku. Kisah dongeng seorang raja yang mengimpikan kekayaan melebihi kekayaannya yang sedia ada. Kisah dongeng yang sering diperkatakan dalam buku-buku cerita kanak-kanak. Raja midas mengimpikan jarinya dianugerahi sentuhan emas. Akhirnya impiannya dimakbulkan. Apa sahaja yang disentuhnya benar-benar bertukar menjadi emas. Namun akhirya, impian tersebut hanya memakan dirinya. Tilamnya tidak lagi empuk tetapi menjadi keras kerana telah berubah menjadi emas setelah disentuh. Dia juga tidak dapat makan dan minum kerana segalanya bertukar menjadi emas. Akhirnya anaknya juga bertukar menjadi emas.

“Bukanlah abang. Projek menyubur sahara gersang,” ibu tertawa sendiri dengan nama yang diberinya.

“Kalau projek raja midas, takut memakan diri pula macam kes raja Midas tu”, sambung ibu lagi.

“Em.. projek apa tu ibu?”

Fatimah tersenyum. Dia berharap perancangan dia dan suaminya Salman akan membuahkan hasil. Mereka bercita-cita untuk membuka mata anak-anaknya tentang betapa bernilainya nilai khalifah yang Allah anugerahi pada manusia. Mereka risau apabila melihat sedikit sebanyak Najlah dan Sarah telah mula terpengaruh dengan aktiviti-aktiviti yang mereka kenali dari luar; menonton cerita-cerita cinta dan aksi yang kosong, menyanyikan lagu-lagu yang melalaikan dan berchating berjam-jam lamanya entah dengan siapa di hadapan computer. Itulah antara rutin yang telah berdikit-dikit meresapi budaya kehidupan anak-anak mereka. Tetapi mereka tahu, kehendak anak muda umpama lahar gunung berapi yang sedang membara menunggu masa untuk meletus. Bukan mampu ia diam dan dijinakkan kalau setakat membina pagar dikelilingnya, tetapi harus dicurah sedikit demi sedikit dengan air supaya turun suhunya sehingga sampai satu masa dia sendiri mampu mampu mengawal kepanasannya.

“Ada satu ungkapan dari Sheikh ‘Aidh Al-Qarni. Wanita yang bijaksana adalah wanita yang mampu mengubah sahara yang gersang menjadi tanah yang subur dan indah,” Fatimah tersenyum melihat anak-anak gadisnya khusyuk mendengar, menantinya meneruskan penerangan.

“Ungkapan yang indah ini membawa maksud, wanita yang bernilai tinggi adalah wanita yang mampu menjadikan sesuatu perkara atau suasana yang dihadapinya lebih baik dan bermakna bukan sahaja kepada dirinya, tetapi kepada masyarakat sekeliling,” ibu menerangkan. “Bukan sahaja bermakna di dunia, tetapi bermakna dengan nilaian akhirat,”sambungnya.

“Kalau kita berada di padang pasir, sehingga menjadi taman yang subur dan indahlah padang pasir tersebut,” ayah mencelah.

“Betul,”  ibu menyambung penerangannya. “Jadi, ibu nak tengok Najlah dan Sarah berusaha menjadi ajen perubah ke arah yang lebih baik. Ibu dan ayah tak kisah projek apa yang kalian dapat, tapi perlu ada perubahan yang lebih baik daripada sebelumnya”.

Sarah dan Najlah saling berpandangan. Terbayang habuan diakhrinya yang dijanjikan ibu dan ayah mereka, melancong keluar negara. Mereka tersenyum lalu mengagguk bersetuju.

“Ok, ibu. Boleh insya-Allah. Kami cuba sedaya upaya kami,” janji Najlah.

“Bukan satu tau, sebanyak yang mungkin. Ibu beri masa sebulan sebelum kita bertolak,” ibu mereka menghurai syarat yang harus dipatuhi.

“Tapi ibu, kenapa sekarang ye? Istimewa sangat ke pelancongan kita nanti?”Sarah bertanya.

Fatimah dan Salman berpandangan, tersenyum. Mereka yakin, hadiah pelancongan yang dijanjikan mereka bukanlah seberapa berbanding pengajaran yang bakal mereka dapat daripada projek tersebut.

“Sangat istimewa. Tak terkata,” jawab Salman.

Kata-kata ayah mereka membuatkan mereka lebih teruja. “Ayah akan jadi setiausaha. Ayah akan kumpul semua hasil laporan projek wanita-wanita bijaksana ayah,” sambung Salman.

“Baiklah ayah,” jawab Najlah “yang bijaksana..” sambung Sarah.

Mereka mengakhiri kata-kata dengan ketawa yang tak putus, samar-samar kedengaran saat mereka menaiki tangga menuju ke bilik masing-masing di atas. Salman dan Fatimah menggeleng-gelengkan kepala melihat telatah nakal anak-anak gadis mereka.

25 November 2000

Aku tidak menyangka secepat ini laporan projek pertama Raja Midas ini sampai kepadaku. Ya.. projek penyubur sahara gersang bak kata isteriku. Sudah tentunya yang terawal menghantar laporan adalah wanita bijaksana pertama dalam mahligai kasihku, isteriku Fatimah.

Abang,

Zulhan adalah salah seorang guru muda yang mengajar bersama Fatimah di SK Taman Jati. Zulhan sebaya adik abang, Hamid kira-kira baru mencecah 30-an. Apa yang menarik perhatian Fatimah adalah tentang kisah isterinya, Zainab. Zainab kini baru sahaja habis berpantang melahirkan anak yang pertama. Zainab bercita-cita tinggi, ingin menjadi doktor tetapi tidak kesampaian. Katanya, semuanya kerana bapanya dahulu menyuruhnya mengambil kursus diploma dalam bidang fesyen, memandangkan ayahnya seorang tukang jahit. Bagi menjaga hati bapanya, Zainab menuruti permintaannya. Tetapi, akhirnya saat waktu peperiksaan akhir semester, bapanya menyatakan bahawa dia tidak dapat menduduki peperiksaan memandangkan bapanya tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar kos peperiksaannya.

Pengajiannya terbengkalai begitu sahaja. Kini yang ada hanyalah kelulusan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM). Dengan sijil tersebut, amat sukar untuknya mencari pekerjaan bagi membantu suaminya menambah pendapatan keluarga.

Seperti yang telah Fatimah bincangkan dengan abang sebelum ini, Fatimah tidak merasakan bahawa wang adalah penyelesai segala-galanya. Jika diberi wang pasti akan habis. Jadi, Fatimah telah berhabisan memikirkan sentuhan emas yang mampu Fatimah beri pada keluarga ini. Akhirnya, setelah berbincang dengan Zainab dan Zulhan, Fatimah bersetuju untuk membiayai Zainab berkursus di Jah Fashion House, sebuah butik yang juga menawarkan kursus jahitan asas sehinggalah ke peringkat tinggi. Fatimah telah mengingatkan kepada Zainab supaya bersungguh-sungguh berusaha untuk membantu suaminya. Kursus ini mengambil masa selama setahun. Fatimah akan gunakan RM 300 dari gaji bulanan yang Fatimah terima untuk membiayainya.

Macam-macam janji yang diucapkan oleh Zainab kerana terlalu gembira mendengar Fatimah ingin membiayainya ke kursus menjahit, antara yang menarik adalah dia ingin menjadi tukang jahit peribadi keluarga kita suatu hari nanti. Fatimah tak mengharapkan apa-apa balasan. Cuma Fatimah berdoa semoga usaha ini sedikit sebanyak akan menyuburkan sahara yang gersang dalam mahligai mereka.Amin..

-Fatimah-

“Amin…” bibirku turut sama mengaminkan doa yang tertulis. Tak dapat disangkal lagi hebat sungguh pengorbanannya. Seharusnya kisah ini menjadi inspirasi kepada semua, fikirku. Aku tidak sabar untuk membaca catatan seterusnya. Kisah kehidupan keluarga hebat ini cukup membasahkan jiwa. Aku menyelak halaman-halaman seterusnya. Akhirnya kisah dari Sarah dan Najlah bertarikh 3 Disember pula menarik perhatianku.

Ayah..

Ingatkah ayah bilamana ayah menghantar Sarah ke Perpustakaan Shah Alam untuk berjumpa Hawa dan Saleha? Ketika itu ayah keluar dari kereta, lalu Sarah bersalaman dengan ayah sebelum Sarah meminta izin untuk pergi. Rutin salam yang kita pelajari di Kursus Keluarga Bahagia semasa Sarah kecil dahulu rupa-rupanya memberi kesan kepada teman-teman Sarah. Hawa dan Saleha yang nampak dari jauh menyatakan bahawa, mereka hanya memeluk ibu dan bapa mereka dalam sambutan-sambutan tertentu. Bukan setiap masa seperti kita. Mereka bertambah terkejut apabila Sarah menceritakan bahawa, bukan sahaja Sarah memeluk bahu ayah malah Sarah juga mencium dahi ayah dan kemudian membisikkan ucapan “Sarah sayang ayah” di telinga ayah. Tambah manis apabila ayah juga akan membalas ucapan sayang tersebut dengan “Ayah sayang Sarah”.

Sarah jelaskan pada mereka bahawa kasih sayang dalam keluarga sebenarnya perlu diusahakan. Ianya takkan datang secara tiba-tiba. Usaha yang dimaksudkan termasuklah usaha untuk menyayangi, menghormati dan mendoakan sesama ahli keluarga. Rasulullah pun menyeru agar umatnya mengucapkan sayang kepada saudara yang kita sayangi.

Hawa dan Saleha memberitahu pada Sarah di Twitter semalam. Mereka telah dua kali berjaya mengucapkan sayang pada ibu bapa mereka. Mereka juga menerangkan pada ibu bapa mereka tentang kepentingan menyeru dan mengucapkan kasih sayang sesama ahli keluarga seperti yang Sarah terangkan pada mereka. Seronok juga projek menyubur sahara gersang ni, ayah. Rasa puas bila nampak hasil keindahannya. Terima kasih ibu dan ayah.. sayang ibu ayah!

-Sarah-

Ayah..

Najlah belum punya cerita tentang mengubah sahara gersang orang lain. Bagi Najlah, sahara gersang yang Najlah cuba suburkan ini amat penting sebelum Najlah boleh melangkah mengesani orang lain pula.

Kisah Najlah berkisar kisah Najlah keluar bersama Fizah dan kawan-kawan sekolah rendahnya. Walaupun Najlah sebenarnya tahu Fizah agak liar apabila bersama kawan-kawannya, Najlah yakin bahawa Najlah telah diajar oleh ibu dan ayah untuk berpegang pada prinsip dan jati diri Islam.Walau bagaimanapun, keyakinan najlah pada kekuatan diri sendiri akhirnya Allah uji dengan kejadian hari ini. Fizah keluar bersama 3 teman perempuan dan 4 teman lelakinya. Rupa-rupanya mereka telah memasang-masangkan masing-masing buat teman sepanjang masa yang akan diluangkan.

Pada awalnya, Najlah cuba untuk mengawal keadaan dengan menjaga pergaulan dengan teman-teman lelaki Fizah tetapi Najlah tidak cukup dominan seorang diri di situ. Fizah menyokong segala cadangan-cadangan yang langsung tak berasaskan Islam daripada kawan-kawannya. Sewaktu makan mereka saling ketawa dan bertepuk tampar sesama sendiri. Najlah akhirnya mengajak Fizah ke suatu tempat untuk memberitahunya bahawa apa yang dibuatnya itu salah. Najlah juga menyatakan bahawa Najlah tidak akan berkompromi langsung dengan segala perbuatan maksiat yang sebenarnya mendekati zina.

Fizah menyatakan bahawa dia tahu benar semua itu salah, tetapi untuk diterima oleh rakan-rakannya itu dia harus menuruti budaya pergaulan bersama teman-temannya. Najlah menerangkan padanya tentang jatidiri yang harus dipertahankan. Jatidiri melambangkan tingginya maruah. Dia menyatakan lagi bahawa dia tahu tentang semua yang Najlah sebutkan, tetapi bukan sekarang waktunya sekiranya dia ingin menjelaskan prinsip dan jati dirinya. Jelas dengan keengganannya untuk memisahkan diri dengan jahiliah, Najlah menyatakan bahawa Najlah ingin pulang. 

Sepanjang perjalanan Najlah berasa amat lega kerana masih diselamatkan Allah. Insiden ini membuatkan Najlah sedar bahawa betapa pentingnya jiwa kita untuk terus subur dengan iman supaya setiap godaan jahiliah itu dapat dinilai dengan paksi Islam sebenar. Najlah yakin bahawa Najlah telah memberi sentuhan emas pada jiwa Najlah sendiri hari ini. Terima kasih ibu dan ayah kerana telah mendidik Najlah dan kakak, Sarah dengan didikan agama yang sempurna!

-Najlah-

6 Disember 2002

Kisah-kisah wanita bijaksana dalam hidupku telah membuatkan aku juga teruja untuk menjadi jejaka bijaksana. Aku tahu, aku juga telah berjaya mengubah sebuah sahara menjadi tanah subur apabila aku telah mengizinkan isteriku membenarkan satu lagi syurga untuk bersama-sama berada di dalam mahligai kami. Kalau dulu hanya ada dua syurga, kini kami diberkati dengan tiga syurga!

“Tak perlu tinggi sangat, nanti susah pula opah nak capai,” pesan Salman kepada anak-anak gadisnya yang sedang menyusun pakaian nenek mereka, Latifah di dalam almari baharu yang dibeli oleh ayah dan ibu mereka.

Tingkat bawah rumah mereka mempunyai sebuah bilik dan bilik air yang mudah dihuni oleh ibu mertuanya, Latifah. Sewaktu rumah diubah suai dahulu, Salman mengambil kira akan kemudahan ibu mertuanya yang sekali-sekala datang menumpang. Mempunyai lima orang anak, Latifah menyusun jadual supaya dia dapat merasa tinggal di rumah setiap anak-anaknya secara bergilir-gilir. Minggu ini di rumah Zainal, minggu depan di rumah Suhaila, minggu berikutnya giliran Zakaria, Yusuf dan akhirnya, Fatimah.

“Mak, harap mak selesa dengan bilik ini ye. Ini yang mampu Salman dan Fatimah beri pada mak.” Salman mengucapkan kepada ibu mertuanya yang sedang memerhati bilik yang baru diubah suai itu.

“Cantiknya.. mak ada rak ubatan sendiri, almari baju sendiri dan katil sendiri?” Latifah mengagumi apa yang telah dilakukan oleh anak dan menantu sulungnya itu.

Di rumah anak-anak yang lain dia terpaksa membiarkan baju-bajunya di dalam beg, tetapi di rumah mereka, Latifah boleh mengemas pakaiannya ke dalam almari. Ubat-ubatannya juga boleh disusun supaya mudah dicari dan diambil, tidak perlu lagi diletakkan dalam beg-beg berzip yang pelbagai. Paling penting sekali, Latifah kini mempunyai bilik sendiri, tidak lagi perlu menumpang bilik cucu-cucunya atau tidur di ruang tamu seperti di rumah anak-anaknya yang lain.

“Emak seperti berada di rumah semula, Fatimah. Sudah lama mak tak merasa begini tenang.” Latifah mengesat air matanya yang mula menitis perlahan membasahi wajah yang sudah dimamah usia. Fatimah dan Salman berasa bersyukur kerana apa yang diusahkan mereka dapat menggemnbirakan hati Latifah.

“Mak nak duduk sini lama-lama pun tak apa. Kalau terus duduk pun boleh juga. Kami semua tak kisah. Malah kami suka.” Salman bersuara. Menambah lagi jumlah air mata yang berguguran. Latifah benar-benar terharu dengan layanan menantu sulungnya. Anak-anaknya yang lain pun belum bersedia menerima kehadirannya sebegitu rupa.

Mereka kemudian membiarkan ibu dan nenek mereka berehat di dalam bilik. Fatimah menghadiahkan senyuman tercantik buat suaminya yang tersayang. Entah bagaimana harus diungkapkan rasa terima kasih pada suaminya yang tidak kisah untuk membenarkan ibunya tinggal bersama mereka.

Apabila ditanya tentang apa yang membuatkan Salman tidak kisah membiarkan emak tinggal bersama mereka, dengan mudah Salman menjawab, “Apa salahnya membenarkan satu lagi syurga untuk berada bersama kita. Kalau dulu hidup kita berkat dengan adanya dua syurga, apatah lagi saat datangnya yang ketiga ini.”

“Apa dia syurga pertama, kedua dan ketiga yang abang maksudkan?” Fatimah tidak menyembunyikan langsung kenaifannya di hadapan suaminya.

“Sebagai ibu, Fatimah adalah syurga untuk anak-anak kita manakala abang sebagai suami adalah syurga bagi seorang isteri. Emak pula adalah syurga untuk kita, anak-anaknya. Jadi jumlah kesemuanya adalah tiga syurga.” Salman menerangkan istilah tiga syurga yang dimaksudkan.

“Betul tak?” Salman bertanya sambil mencuit isterinya yang tak putus merenungnya daripada tadi.

“Betul.. Fatimah setuju benar. Terima kasih, abang,” ucap Fatimah ikhlas. Sering sahaja Fatimah kagum dengan keluhuran budi suaminya.

“Sama-sama. Abang hanya ingin menyuburkan sahara yang gersang, supaya bertambahlah satu lagi tanah yang indah dan subur.” Salman membuat kesimpulan.

Aku berharap agar aku juga layak digelar si bijaksana yang menyuburkan sahara yang gersang menjadi tanah yang indah dan subur.Amin..

-Salman-

…..

Pelbagai catatan projek lain yang dicatat oleh Salman. Ternyata sebulan itu merupakan sebulan yang paling bermakna buat keluarga tersebut. Sebulan yang penuh dengan inspirasi, sebulan yang membangkitkan motivasi dan jatidiri. Kisah sebulan itu harus dijadikan teladan kehidupan seluruh manusia yang sering sahaja terlupa akan betapa berharganya nilai diri mereka sebagai khalifah di atas bumi ini.

“Ha! Buat apa tu Hazim?”, sapa satu suara garau dari belakang. Lekas-lekas dia menyeka baki air mata yang masih ada di bibir matanya. Hazim kini bertugas sebagai kontraktor di tapak runtuhan rumah-rumah kerajaan yang dibiarkan terbengkalai sejak 12 tahun lalu. Kawasan inilah yang menjadi tapak perumahan pegawai-pegawai kerajaan sebelum semuanya berpindah ke Putrajaya.

“Siapa Salman?” Hazim membalas persoalan pak cik Kadir dengan persoalan lain yang bermain difikirannya dari tadi.

“Ouh. Allahyarham Datuk Salman. Inilah tapak rumahnya. Dia dan isterinya terbunuh dalam satu kejadian letupan yang dipercayai akibat kebocoran gas rumah jirannya 12 tahun lalu. Malan 28 Disember 2000 yang memilukan,” jawab Pak Kadir.

Masih terbayang wajah pilu Najlah dan Sarah yang terkejut melihat rumahnya hancur diranap api tanpa ada sesiapa yang sempat menyelamatkan diri.

“12 tahun lalu? Bermakna, mereka tak sempat pergi bercuti ke tempat istimewa seperti yang dirancang.” Hazim berkira-kira sendiri.

“Apa dia, Hazim?” Pak Kadir tidak mendengar butir percakapan Hazim yang mengomel sendirian.

“Emm.. apa yang terjadi pada anak-anak mereka, Sarah, Najlah dan Maryam?”, Hazim sekali lagi tidak menjawab persoalan Pak Kadir, tetapi bertanya lagi kepada Pak Kadir yang bekerja di situ sewaktu kejadian. Maryam turut terkorban. Sarah dan Najlah terselamat. Doktor Sarah kini sedang menghabiskan kursus specialist di United Kingdom manakala Dr. Najlah pula bertugas sebagai pakar motivasi. Kedua-duanya dulu dijaga oleh ibu saudara mereka sebelum kedua-duanya menemui pasangan hidup masing-masing.

“Dr Najlah yang selalu ada di televisyen tu ke?”, Hazim cuba memastikan.

Pak Kadir mengangguk.“Memang bukan calang-calang mereka tu. Saling tak tumpah hebatnya seperti arwah Datuk Salman,” ujarnya.

..

28 Disember 2000

“Ibu, ayah.. Kakak dan Najlah menyudahkan projek terakhir sentuhan Raja Midas kita sebelum kita bercuti. Kami menghantar seorang adik yang meminta sedekah di atas nama sebuah maahad tahfiz ke rumah anak-anak yatim setelah kami mendapat tahu bahawa sebenarnya dia di bawah sindiket pemerdagangan orang yang berselindung di sebalik nama maahad tahfiz. Terima kasih, ibu dan ayah. Kalian buatkan kami mengenal erti kehidupan. Hidup kami terasa cukup bermakna dengan memberi” Sarah menghantar teks pesanan ringkas kepada ayah dan ibunya.

Salman dan Fatimah yang berada di rumah baharu sahaja selesai makan malam seusai maghrib , tersenyum membaca mesej yang dihantar oleh anak-anak gadis mereka.

“Alhamdulillah.. rasanya perancangan kita berjaya, abang. Semoga tarbiah intensif sebulan ini mampu membuatkan mereka ingat bahawa betapa bernilainya kudrat mereka andai digunakan dengan baik,” Fatimah mengungkap harapan yang tak putus.

“Ok, kakak dan Najlah lulus. Boleh pergi melancong. Sebelum balik jangan lupa ambil pasport dan tiket penerbangan di rumah mak ngah ya. Ibu dan ayah nak bawa Maryam honeymoon ke tempat lain.” Salman bergurau menghantar pesanan ringkas kepada Sarah. Sebenarnya tiket untuk Salman, isterinya dan Maryam belum dapat dibeli. Sebagai motivasi buat Sarah dan Najlah, Fatimah menggesa Salman membelikan tiket mereka berdua sahaja dahulu.

Sarah dan Najlah tertawa membaca mesej ayah mereka yang gemar bergurau. Sampai di rumah mak ngah, mereka tidak sabar melihat tiket penerbangan ke negara mana yang dijanjikan ayah. Mak Ngah menyerahkan bungkusan berisi pakej umrah dan ziarah istimewa melalui Jordan dan Mesir. Dengan nota kecil tulisan tangan ibu “Semoga jadi insan berguna di dunia dan akhirat. Semoga hadiah ke rumah Allah ini dapat mengubat apa sahaja penyakit yang mungkin bersarang di hati anak-anak ibu yang ibu sayangi. Salam sayang daripada ibu dan ayah.”

Ternyata hadiah ke rumah Allah merupakan penutup yang cukup indah setelah sebulan jiwa mereka basah menyemai erti hidup sebagai khalifah Allah.

“Dah dapat. Terima kasih ayah dan ibu. Kami dalam perjalanan pulang” Sarah menghantar teks pesanan ringkas kepada ayahnya.

Message pending

-Wanita yang bijaksana adalah wanita yang mampu mengubah sahara yang gersang menjadi tanah yang subur dan indah: ‘Aidh Al-Qarni-

[Siti Balqis Binti Syed Mohamad Noor]

Nota: Cerpen ini merupakan hasil karya peserta Pertandingan Menulis Cerpen anjuran Beliawanis PEMBINA 2013.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s