PELANGI TUJUH WARNA

image

Empangannya pecah. Jiwa punah. Hancur berkecai perasaan ini. Masih bergema suara keras Ayah.

“Kenapa Haura’ susah sangat nak dengan kata Ayah dan Ummi? Belum cukup lagikah didikan agama yang Ayah dan Ummi beri? Haura’ dah besar, dah boleh berfikir dengan matang. Dosa Haura’ bukan lagi menjadi tanggungan Ayah dan Ummi. Tudung tu labuhkanlah. Pakaian tu carilah yang sopan dipakai. Jadi macam kakak-kakak kamu tu, pakai tudung labuh. Pakaian pun tenang mata memandang. Ayah malu dapat anak macam Haura’. Berubahlah. Ayah teringin sangat nak lihat anak bongsu Ayah ni taat dalam beragama. Nak tunggu Ayah meninggal dahulu ke baru Haura’ nak berubah?”

Haura’ tertampar. Hatinya panas mendengar tembakan bertalu-talu dari ayahnya. Dia berani bersuara.

“Ayah ada pernah tanya Haura’ kenapa Haura’ jadi begini? Pernah Ayah luangkan masa bersama Haura’ dan dengar masalah Haura’? Ayah sibuk pergi bekerja, tarbiyah diri. Tapi bila Allah uji Ayah dapat anak macam Haura’ ni, dengan mudah Ayah salahkan Haura’ sepenuhnya. Ini kah yang Ayah belajar dalam usrah? Ini kah yang Ayah dapat dalam daurah? Ayah terlalu bangga dengan kakak-kakak dan pinggirkan Haura’. Ada pernah Ayah beri peluang, hulurkan tangan untuk bantu anak ayah yang tak solehah ini untuk jadi lebih solehah? Tak ada kan? Kalau beginilah pejuang agama mendidik anaknya yang diuji, sememangnya inilah antara fitnah yang dibawa oleh pejuang agama itu sendiri!”

Haura’ menghempaskan pintu biliknya. Mutiara jernih mengalir deras umpama air terjun yang tak pernah berhenti mengalirkan airnya. Cuti semester yang diniatkan untuk merapatkan jurang antara dirinya dan ahli keluarga seumpama khayalan yang takkan tercapai. Bukan maksud dirinya untuk menjadi anak derhaka, namun itulah hakikat sebenar yang menjadi satu batu penghalang untuk dia berubah. Dia memerlukan bimbingan dan sokongan keluarga. Namun dengan mudah keluarganya meminggirkan dirinya yang sedang bertatih untuk berubah. Kadang tatih itu perlukan tempat untuk berpaut saat terjatuh. Tempat paut itu tiada. Sikap dirinya yang tidak sesolehah dua orang kakaknya itu menjadi batu penghalang Ayah dan Umminya melebarkan kasih sayang mereka. Dirinya seolah-olah menjadi seorang pendosa yang tidak boleh diampunkan lagi. Sisa-sisa kekesalan terbit dari jiwanya. Belaian dunia yang memanggil-manggilnya penuh mesra membuatkan dia terfana dengan dunia.

Haura’ mengimbas helaian jahiliyyah dirinya dahulu. Semakin banyak helaian diari jahiliyyah yang pernah dilakukan, semakin deras air matanya mengalir. Tiba-tiba bergema satu suara yang pernah membisikkan kepadanya.

Dia. Yang dirindui.

“Haura’, sekiranya hati berkeinginan untuk meninggalkan jahiliyyah itu, sambutlah permintaannya dengan penuh pengharapan walaupun tidak bersedia. Itu adalah penggera keimanan diri yang menunjukkan Allah merinduimu. Jangan pernah kau putus asa untuk mencuci karat jahiliyyah yang ada. Kerana aku dahulu juga sepertimu. Bahkan lebih teruk dari itu. Aku harap kau dapat temui indahnya tujuh warna pelangi yang aku rasai kini.”

Suara Darwisyah yang mengetuk pintu hatinya. Darwisyah An-Nur. Sebaris nama seindah tuannya. Perkataan yang keluar di antara dua bibirnya tenang didengar manusia. Gerak lakunya sopan dan lembut bak sutera. Lembut luaran tidak menggambarkan kekentalan jiwanya yang patuh kepada perintah Tuhannya.

Pertama kali mereka bertemu sewaktu mereka mendaftarkan diri sebagai pelajar di Universiti Malaya Nilampuri. Aturan Allah yang sangat indah memberi ibrah yang jelas untuk menjentik jiwa Haura’ supaya kembali kepada Ilahi. Mereka berdua mendapat jurusan yang sama, iaitu Asasi Pengajian Islam dengan Sains. Sejak awal perkenalan mereka, Haura’ tertarik dengan peribadi luhur Darwisyah. Darwisyah seorang wanita yang senang bergaul dengan sesiapa jua meski baru bersua. Kebesaran jiwanya menyebabkan dia mampu mencari bahagia dalam setiap belukar kesusahan yang ditemui dalam perjalanan hidupnya. Susunan Allah itu begitu teliti agar setiap hambaNya dapat menjalani kehidupan ini dengan keimanan dan ketaqwaan. Mereka ditempatkan di bilik yang sama. Di situ perjalanan Haura’ kembali kepada fitrah bermula. Kata-kata Darwisyah seringkali menjentik kamar hatinya. Luka jiwanya dek tajamnya karat dosa yang mencengkam seakan-akan semakin terubat. Ketenangan itu secara perlahan hadir menyapanya tanpa disedari. Darwisyah An-Nur. Benar-benar membawa cahaya dalam dirinya.

“Ya Allah, jadikan tangisan aku ini Kau redhai dengan rahmat dan kasih sayangMU..” doa kudus dari hati yang tulus mencari kekuatan untuk kembali ke jalanNya.

Akhirnya Haura’ melelapkan mata dengan bersisa tangisan duka.

***********

Haura’ merupakan puteri bongsu kepada Ustaz Majid dan Dr Amirah. Keluarganya telah diacu dengan santunan indah tarbiah sejak dari kecil. Namun Haura’ sebaliknya. Dia tidak pernah merasa nikmat tarbiah itu. Tarbiah yang ditanam sejak kecil oleh kedua ibu bapanya tidak dapat dituai dengan baik. Dia tidak mengerti bagaimana untuk hidup dengan tarbiah. Usrah, daurah, rehlah, semua baginya adalah satu aktiviti yang menyekat jiwa remajanya untuk berhibur. Akibat tersalah memilih kawan, Haura’ menjadi mangsa kecelaruan identiti. Sifat remaja yang tidak ditunjang dengan keimanan menjadi sebati dalam hidupnya. Bergaul dengan remaja yang kegersangan iman membuatkan benih tarbiah yang ditabur dan dibaja dengan penuh kasih sayang oleh ayah dan umminya semakin kontang. Namun perjalanan hidupnya yang telah Allah aturkan terindah itu dilaluinya dengan sabar meskipun sakit untuk ditempuh. Bumi tarbiah yang dijejak itu, sedikit sebanyak memberinya aspirasi untuk melakukan perubahan diri ke arah lebih diredhai.

Bumi di mana telah melahirkan ramai ulamak dan umara’ yang mampu memberikan jasa untuk agama, bangsa, dan tanah air tercinta. Jejak kaki pertama ke Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Nilampuri itu telah memberinya seribu erti keindahan tarbiah yang selama ini dia siakan begitu sahaja. Haura’ bertekad untuk membuktikan bahawa dia mampu untuk menjadi hamba yang taat kepadaNya dan menjadi anak yang solehah kepada kedua ibu bapanya. Namun dia keliru jalan manakah yang perlu diikuti. Dia masih samar-samar mencari cahaya yang selama ini diabaikan.

Allah itu Maha Mendengar. Dia hamparkan kasih sayangNya kepada sesiapa yang mencari cahayaNya itu dengan jalan yang tak disangka-sangka. Kehadiran Darwisyah dalam hidup Haura’ menjadi tuntunan hidupnya untuk dia kembali ke pangkuanNya. Baru dia mengerti sukma kalimah sahabat yang sentiasa disebut-disebut oleh umminya. Seringkali ummi menasihatinya untuk mencari sahabat yang boleh membimbingnya ke jalan yang lurus. Namun nasihat itu diabaikan sama sekali dan dia menyangka teman-teman yang dia buang masa bersama itu adalah teman sejatinya. Mimpi sama sekali. Sejak dia menyambung pelajarannya dia APIUM Nilampuri, Kelantan, tiada seorangpun teman-teman yang bersamanya dahulu bertanya khabar. Baru dia mengerti sahabat untuk dunia dan sahabat untuk akhirat. Haura’ berazam untuk menguatkan langkah hatinya meninggalkan ajakan jahiliyah yang seringkali membelenggu dirinya. Kadang dia tewas, seringkali dia terjatuh. Bukan mudah untuk meninggalkan jahiliyyah yang pernah bertakhta di hatinya. Namun dengan perlahan dan santunan kasihNya Haura’ membulatkan tekad untuk meninggalkan segala perkara yang menghitamkan hatinya.

Darwisyah menjadi contoh ikutannya. Seringkali mereka membaca alquran bersama sementara menunggu azan Subuh. Sebelum pergi ke kelas pagi mereka saling mengingati untuk melakukan solat dhuha dahulu. Alangkah indahnya bersahabat yang sudi berpegangan untuk kek syurgaNYA. Haura’ antara insan yang memilih untuk memperkenankan permintaan jiwanya yang kegersangan iman agar segera mencari jernihnya air ketaqwaan yang mampu menyuburkan kembali benih yakin pada Tuhan yang selama ini tertanam dalam jiwa.

Cuti semester itu banyak dihabiskan di dalam bilik. Tiada apa yang mampu membahagiakan hatinya sejak Haura’ bertengkar dengan ayah. Pertengkaran antara Haura’ dan ayahnya itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada Ustaz Majid. Memang benar, selama dia mengikuti tarbiyah, dia mengakui bahawa dirinya culas untuk memberi kasih sayang yang lebih kepada Haura’ yang masih kabur akan keindahan tarbiah. Keadaan Haura’ yang selalu memberontak itu membuatkan dia melaksanakan keputusan yang hanya berlandaskan nafsu untuk tidak menerangkan kepada puteri bongsunya itu dengan penuh kasih sayang. Apa yang dilakukan selama ini hanyalah lontaran perli dan kemarahan yang menyala. Kejahilan anaknya itu dahulu sedikit sebanyak menconteng arang di mukanya selaku insan yang mengikuti perjuangan tarbiyah ini. Hal ini padanya tidak patut berlarutan, dan harus diselesaikan segera.

“Ummi, apa pendapat ummi tentang kejadian dua hari lepas?” Ustaz Majid memulakan perbualannya dengan isteri tersayang. Dr. Amirah, seorang isteri dan ibu yang mithali. Dia menjadi tempat Ustaz Majid untuk meminta pandangan dan idea serta berkongsi segala masalah yang dihadapinya. Kehadiran Dr Amirah bukan sekadar melengkapkan sebahagian daripada imannya, tetapi juga menjadi pembimbing untuknya mengecapi nikmat tarbiah dalam keluarga yang penuh mawaddah dan rahmah.

Dr. Amirah tersenyum. Senyuman Dr Amirah itu menjadi pengubat tatkala kelesuan membelenggu dirinya.

“Ummi rasa ada benarnya apa yang Haura’ katakan itu, Ayah. Mungkin selama ini Ayah terlalu berkeras dengan puteri bongsu kita itu. Ayah kena faham, remaja zaman sekarang ini, mereka memerlukan empati untuk membentuk jati diri. Rahmat dan hidayah Allah itu adalah bentuk kasih sayangNya. Jadi, bagaimana untuk kita semaikan kasih sayang Allah dalam diri Haura’ itu sekiranya kita berkeras dengannya? Sedangkan kasih sayang Allah itu kan lembut. Ummi juga yang salah, Ayah. Ummi sudah lama mahu menerangkan pada Ayah tentang hal ini, baru hari ini Ummi tergerak untuk memberitahu Ayah. Bukan bermaksud selama ini Ayah tidak menjadi bapa yang baik, tetapi mungkin salah kita bersama kerana tidak memberi perhatian lebih kepada anak kita yang diuji lebih oleh Allah dalam mencorakkan keunikan iman di hati. Mungkin Allah mahu menguji sejauhmana kita dapat mempraktikan penghayatan tarbiah yang sebenarnya dalam diri dan keluarga kita. Benar, kita selalu hadir dalam usrah, daurah, kuliah. Namun rahmat Allah yang Maha Pengasih mengurniakan anak seperti Haura’ itu, agar Allah mahu melihat sejauhmana kita dapat mencorakkan jiwanya dengan penuh kasih sayang agar kompas hidupnya kembali bertunjangkan keyakinan dan keimanan kepada Allah yang Maha Esa. Mungkin itu yang selama ini kita tidak mengambil peduli, Ayah.”

Ustaz Majid terdiam. Kata-kata isterinya itu sungguh menyentuh kalbu. Nasihat yang dicorak oleh isterinya itu lembut dan begitu halus, tetapi amat terkesan dalam hati. Dia menekupkan muka dengan kedua tapak tangannya. Dr Amirah memegang lembut tangan suami yang disayangi dan menggenggam erat sambil berkata,

“Ayah, masih belum terlambat untuk kita melakukan perubahan ini. Masih belum terlambat untuk kita mengirimkan nama anak-anak kita dalam setiap doa yang dipohon. Masih belum terlambat untuk kita mencorakkannya dengan penuh kasih sayang yang sepatutnya dia terima. Moga usaha kita ini Allah ganjari dengan limpahan cahaya iman yang akan menusuk dalam sanubarinya. Janji Allah itu pasti. InsyaAllah, Haura’ boleh berubah bahkan menjadi lebih baik daripada sebelum ini.”

Dr. Amirah memberi kata-kata semangat kepada suaminya. Dia melemparkan senyuman dengan harapan ketenangan itu dapat menyapa hati lelaki yang sudi bersamanya sehingga ke syurga. Dalam diam dia berdoa agar Allah memberinya ruang untuk menjadi ibu dan isteri yang solehah serta mampu membawa keluarganya mengecapi kehidupan indah dengan rahmat dan limpahan keampunan di dunia dan di akhirat sana. Masa yang diluangkan bersama suaminya itu dimanfaatkan untuk bermuhasabah diri atas gerak kerja dan perancangan bagaimana kedua-dua hati itu berusaha untuk mencorakkan generasi pewarisnya untuk mengenal perjuangan ini. Hatinya berdoa agar anaknya, Haura’ diberi kesempatan untuk menghargai nikmat tarbiah itu

Harapan seorang ibu. Takkan pernah Allah sia-siakan walau sedetik berlalu.

****************

Telefon bimbit Haura’ menjerit memberitahu hadirnya mesej baru. Dia tersenyum sendiri.

“Assalamualaikum, si comot! Apa khabar iman? Harapnya sentiasa ada kekuatan untuk menstabilkan momentum ibadah yang ada. Hujan hasil mendungnya awan yang hanya kelabu warna itu, akan Allah berikan indahnya tujuh warna pelangi. Bukan satu, tetapi TUJUH. Itulah rahmat dan kasih sayang Allah. Setiap kesusahan itu, akan Dia kurniakan banyak kerahmatan dan kasih sayang yang tersimpan buat insan yang berfikir”. – Darwisyah-

Haura’ terkesima. Darwisyah seolah-olah mengerti akan hatinya yang sedang hujan lebat.

“Waalaikumsalam wahai si cantik. Alhamdulillah sehat sahaja.Subhanallah..terima kasih sahabat. Seperti tahu menduga hati ini bergelojak bagai badai laut menerpa kapal yang menanti untuk karam..” Haura’ membalas.

“Hanya aku harapkan pergantungan kau dengan Dia itu semakin utuh. Aku hanya mampu membantumu sekadar mampu. Selebihnya yang memegang hatimu adalah Allah, Haura’. Allah yang menggoncang hatimu, Allah juga yang akan membelai lembut supaya karat dosa yang pernah tersemat dalam kalbu itu akan segera hilang dan ketenangan akan muncul selepas itu.. moga Allah sentiasa melindungimu, sahabat. Assalamualaikum..”

“Waalaikumsalam..”

Haura’ tersenyum gembira. Masalah yang dihadapinya selama ini dengan rela dia menceritakan segalanya kepada Darwisyah. Darwisyah banyak membantunya untuk mengukuhkan iman di dada. Doanya sentiasa bertasbih agar persahabatannya dengan Darwisyah berkekalan hingga ke syurga.

“Haura’, tolong ummi boleh?” Dr. Amirah memanggil Haura’ dari luar bilik. Haura’ segera menyambut panggilan ummi kesayangannya. Ummi berbeza dengan Ayah. Ummi seorang yang tenang dan penuh kasih sayang. Sekiranya dia dimarahi oleh Ayah pasti Haura’ akan mengadu kepada Ummi. Pelukan dan belaian serta kata-kata nasihat yang meniti di bibir Ummi cukup mencairkan kerasnya jiwa dek karat maksiat yang ada. Walau berbagai-bagai masalah timbul, tetapi Ummi tidak pernah memarahinya. Ummi hanya melemparkan senyuman dan sering berkata, “ Carilah hikmah di sebalik semua ini. Allah tidak mentakdirkan sesuatu itu dengan sia-sia.” Kini baru Haura’ menemui hikmah di sebalik semua ini.

“Apa yang Haura’ fikir tu.. termenung jauh nampak. Ummi yang ada dekat ni pun Haura’ rindu ke?” Usik Dr. Amirah.

Haura’ memberi segaris senyuman. Ada-ada sahaja cara Ummi menghiburkan hatinya. Haura’ segera ke sinki untuk membasuh pinggan mangkuk yang ada. Dapur dikemas rapi oleh Ummi. Ummi selalu mengajarnya untuk menjaga kekemasan dan kebersihan kerana Islam itu mementingkan aspek kebersihan.

Ummi kata dalam kitab Fiqh, tajuk pertama ialah Taharah, iaitu kebersihan. Tidak hairanlah rumah mereka sentiasa menjadi bual mulut rakan-rakan Ummi kerana kekemasan dan kebersihan serta ketelitian Ummi mengemas dan mendekorasi rumah serta halamannya agar tenang dilihat dan sedia menerima tetamu tak kira masa.

Ummi berdiri di sebelahnya untuk mengelap pinggan yang telah dibasuh. Haura’ seperti biasa membasuh pinggan itu sehingga tiada lagi pinggan kotor di dalam sinki. Tiba-tiba Ummi bersuara.

“Haura’, cuba lihat pelangi itu.” Ummi menunjukkan pelangi yang kelihatan melalui tingkap yang berada di hadapan mereka. Haura’ mengangguk perlahan.

“Kenapa dengan pelangi itu, Ummi?”

Ummi mengoyak senyuman.

“Hujan sangat lebat sepanjang hari ini. Namun dengan rahmat Allah, bukan sia-sia Dia menciptakan hujan pada waktu manusia memerlukan panasnya mentari. Dia ingin menghadiahkan sang pelangi buat manusia yang berfikir. Begitu juga dengan kehidupan kita, Haura’. Tangisan, kesusahan dan dugaan yang Allah aturkan untuk kita, akan Dia kurniakan penghujung yang bahagia selagimana kita kekal taat dan menghadapinya dengan sabar dan redha. Cuma kadangkala ramai hambaNYA pada waktu ini tidak menggunakan akal untuk menelusuri hikmah yang tersembunyi. Ummi minta maaf seandainya selama ini ummi tak mampu mendidik Haura’ dengan penuh kasih sayang seperti yang Haura’ inginkan. Ummi yakin anak ummi seorang ini mampu jadi lebih baik. Sejak Haura’ sambung pengajian di Kelantan , Ummi lihat banyak perubahan Haura’ yang baik-baik. Ummi bangga dengan Haura’. Harapnya perubahan Haura’ ini dapat memberi kesan yang baik pada Haura’ dan juga iman di hati yang menjadi satu mutiara berharga buat insane bergelar hamba yang taat kepadaNya.”

Mata Ummi berkaca. Haura’ memandang Ummi sayu. Tangan Ummi Haura’ genggam kemas. Tangan itu. Tangan yang membelai sejak dia dilahirkan di dunia. Tangan yang membesarkan Haura’ dan adik-beradik dengan penuh kasih sayang. Tangan yang penuh dengan pengorbanan. Haura’ teringat kata-kata Ustazah Rohana tentang tuntutan anak soleh kepada kedua ibu bapa, iaitu mendoakan mereka.

“Kedua tangan mereka yang berjasa itu banyak menghulur sangat kau memerlukan bantuan, menginginkan satu keperluan, dan bersedia mendakapmu saat kau dalam tangisan. Dan tangan mereka jualah yang tak lekang menadah kepada Tuhan agar dikurniakan anak cerdik pandai dan soleh seperti kalian. Oleh itu anak-anak, jangan lupa untuk mendoakan kedua orang tuamu, ya. Selagi mereka berada di sisimu, seringlah kau membantu mereka. Ikatlah hatimu dengan hati mereka dalam mencari kekuatan dalam kehidupan ini. Supaya satu hari nanti saat mereka sudah menutup mata, ikatan hati antara kamu dan mereka takkan putus, bahkan bertambah dalam doa. Doa kalianlah akan menjadi lampu yang bercahaya terang dalam kubur mereka. Saat itulah mereka akan merasai nikmatnya mendapatkan anak-anak yang hebat dan pandai seperti kalian semua.”

Haura’ membawa Umminya menuju ke anjung di halaman rumah mereka. Pinggan sudah tersusun rapi di para segera ditinggalkan. Anjung halaman rumah, tempat itu menjadi detik tumpahnya air mata Haura’ setiap kali dirinya berhadapan dengan masalah. Di situ jualah manik air yang tumpah dari kelopak matanya segera diseka oleh lembut tangan Ummi. Di situlah dakapan hangat Ummi memberinya ketenangan saat dia kesempitan. Dan waktu ini, dia amat memerlukan belaian Ummi setelah lama tidak dirasainya kerana menuntut ilmu jauh di pantai timur sedang keluarganya berada di Kuala Lumpur. Segera kepalanya yang sesak dengan masalah itu dibaringkan di atas riba Ummi. Ummi hanya tersenyum. Faham benar perangai dan sikap puteri bongsunya . Haura’ anak yang kuat memberontak, tetapi mempunyai hati yang lembut dan mudah tersentuh. Sebab itulah saat Ayahnya memarahi Haura’, dirinya selaku ibu tidak pernah menambahkan bebanan kemarahan itu dalam jiwa Haura’. Dia tahu, saat itu Haura’ memerlukan belaian empati dan kasih sayang.

Peranannya kini bermula.

Menjentik hati yang keliru pulang menuju kepadaNya.

Haura’ menangis sepuas-puasnya dalam dakapan Ummi. Dalam esakan itu Haura’ mengakui kesalahannya kerana sering mengingkari pesan Ayah dan Ummi.

“Haura’ minta maaf, Ummi. Haura’ tak mampu menjadi sebaik kakak-kakak. Haura’ tahu Haura’ seorang anak yang selalu menconteng arang di muka Ayah dan Ummi. Namun Haura’ dalam usaha untuk berubah, Ummi. Kawan Haura’ Darwisyah sentiasa bimbing Haura’ untuk berubah. Dia seorang yang baik. Haura’ harap masih ada masa untuk tunjukkan perubahan yang baik ini agar Ayah bangga dan bahagia. Haura’ hanya mahu menjadi anak solehah untuk Ayah dan Ummi. Cukuplah banyak luka yang Haura’ telah buat dalam hati Ayah dan Ummi. Apa yang Haura’ harapkan ialah doa Ummi dan Ayah supaya Haura’ mampu dan diberi kekuatan untuk terus berubah menjadi anak yang baik dan hamba yang taat pada Allah.”

Air mata Ummi menitis di atas pipi Haura’. Terharu. Hidayah yang didoakan untuk anaknya siang malam menjadi satu realiti di hadapannya. Betapa Allah Maha Melindungi hamba yang benar-benar ingin pulang ke pangkuanNya. Hidayah bukan datang bergolek, tetapi memerlukan taufik iaitu usaha untuk mendapat hasil hidayah yang manis untuk dirasa, dan takkan dapat melepaskannya setelah benar-benar ia terbit dalam jiwa. Dengan esakan yang ditahan, Dr Amirah mengucapkan tahmid dan tasbih kepada Allah dalam hati. Dia mengusap lembut kepala Haura’ dan menyeka air mata yang mengalir di pipi Haura’.

“Anakku, hidayah terindah saat ini adalah melihatmu kembali menatap indahnya pelangi. Seperti yang Ummi beritahu tadi, pelangi itu hanya mampu ditatap dengan penuh penghayatan dan keindahan buat sesiapa yang sabar dan berfikir. Hujan yang kau lihat hanyalah titisan air yang turun dari awan jatuh ke bumi, Allah gantikan dengan pelangi yang bukan hanya satu warnanya, bahkan tujuh warna yang ceria, dengan harapan mata yang menatap pelangi itu akan terlintas di hatinya keagungan dan ketaatan pada Yang Esa. Mungkin selama ini hidup Haura’ hanya penuh dengan mendung dan beratnya awan. Satu saat awan sangat padat dan berat dengan segala masalah yang bertamu di jiwa, Hujan itu diciptakan agar dapat mengurangkan beban awan yang mengandungkan beratnya air. Begitu juga indahnya air mata, seperti hujan. Air mata itu menjadi pengubat dan terapi bagi minda di saat kepala dipenuhi dengan pelbagai masalah yang menekan jiwa. Air mata ciptaan Tuhan itu mampu member ketenangan setelah ia dilepaskan. Akhirnya ketenangan yang Haura’ akan rasai nanti adalah saat indahnya kita sama menatap pelangi.”

Haura’ bangkit dari pangkuan Ummi. Haura’ menyeka air matanya yang bersisa. Dia melihat langit.

“Ummi, lihat itu. Pelangi!”

Pelangi.

Pelangi yang paling indah dapat Haura’ tatap dalam hidupnya.

Pelangi saat hidayah menerpa dalam jiwa. Pelangi yang sama ditatap bersama Ummi dengan penuh keimanan dan kehambaan kepada yang Esa. Tadabbur alam paling mengasyikkan setelah hadirnya bermacam dugaan dan cabaran yang menghiasi perjalanan hidup insan bernama Haura’.

Bahu Haura’ dibelai lembut. Dia mengenal belaian itu. Belaian yang selama ini dirindui. Belaian seorang Ayah.

Ya, ayah yang dirindui.

Ayah merenung kedua anak mata Haura’. Matanya berkaca-kaca.

“Ayah dengar dan perhati segala perbualan Haura’ dan Ummi. Ayah minta maaf, selama ini Ayah tidak menghargai nikmat terindah yang telah Allah anugerahkan kepada Ayah dan Ummi, iaitu Haura’. Nama Haura’ dan kakak-kakak sering terbit dalam doa kami. Maafkan Ayah seandainya kemarahan terhadap Haura’ selama ini hanyalah berpandukan nafsu. Namun apa yang Ayah harapkan hanyalah satu. Ayah dan Ummi mahu melihat anak-anak semua menjadi solehah kerana anak-anak inilah harta paling berharga untuk kami di sana..”

Haura’ bersalam dengan ayah. Mereka saling berpelukan. Ummi menatap langit yang dihiasi pelangi tujuh warna dengan penuh kesyukuran. Sungguh, saat setiap kesusahan yang Allah aturkan dalam perjalanan hambaNya, akan Dia kurniakan jalan keluar. Bukan satu, tetapi banyak caranya buat insan yang berfikir. Hujan yang membawa gelapnya kelabu awan, akhirnya di penghujung jalan Allah sediakan tujuh warna pelangi yang berseri. Sesungguhnya pelangi tujuh warna itu member pengertian abadi, ibrah mentadabbur alam yang paling agung dalam hidup Haura’, saat Allah member jalan dan peluang yang sangat luas untuk dia kembali menyucikan fitrah yang berdaki sambil diiringi oleh doa dan sokongan keluarganya.

Pelangi tujuh warna. Takkan pernah pudah saat cahaya dibiaskan sewajarnya. Kerana Allah Maha Mengetahui, pelangi itu bermanfaat untuk manusia yang berfikir dalam keimanan dan keyakinan yang jitu saat pulang menjadi hamba yang setia di sisiNya..

 

 

Nota: Cerpen ini merupakan karya yang dihantar sempenan Pertandingan Menulis Cerpen anjuran Beliawanis PEMBINA pada tahun 2013

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s