NASIHAT TAKWA BUAT BAKAL PASANGAN BAHAGIA

image

Musim cuti sekolah datang lagi. Bagi pelajar dan guru inilah masa untuk berehat sambil mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga. Doa saya, semoga masa bercuti yang diberikan dimanfaatkan benar – benar untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan kerana inilah rahsia utama membaiki umat hari ini melalui kasih sayang antara ahli keluarga.

Keseronokan musim cuti sekolah bukan hanya kepada para pelajar dan guru sahaja bahkan untuk mereka yang akan mendirikan rumah tangga. Musim cuti sekolah merupakan waktu pilihan untuk mengadakan majlis pernikahan dan walimahtul urus. Kini debaran semakin memuncak, masa yang dinantikan semakin hampir. Fasa baru dalam kehidupan yang benar – benar berbeza daripada alam bujang. Memperkatakan tentang perkara ini sungguh mengujakan bagi diri saya kerana kenangan sewaktu mendirikan rumah tangga pasti terimbau kembali.

“Banyakkan beristighfar ukhti”, itu pesanan pendek seorang akhowat (saudara perempuan) kepada saya. Mudah nasihatnya tetapi begitu terkesan di hati saya. Ketika menanti hari dilafazkan mitsaqan ghaliza (perjanjian yang kukuh) berbaur rasa hati. Kadang keyakinan yang hadir untuk menamatkan zaman bujang ini dan kadangkala keraguan menyinggah menyangkal rasa untuk membina baitul muslim.

“Kemudian syaitan membisikkan fikiran jahat (waswas) kepadanya, dengan berkata,”Hai Adam, mahukah saya tunjukkan kepada kamu pohon khuldi (kekekalan) dan kerajaan yang tidak akan binasa?”                                                                                                                                                  (Thaha: 120)

Was-was itu memang daripada syaitan maka ubatnya ialah dengan istighfar. Membina baitul muslim bermaksud menjauhkan umat manusia daripada mendekati zina dan saat itu hilanglah keampuhan belitan iblis apabila seorang lelaki melafazkan lafaz nikah. Disebabkan hal itu, sepanjang detik sebelum pernikahan ini pasti syaitan mencari ruang dan peluang untuk membina keraguan kepada calon suami isteri agar pernikahan yang ingin dicapai tidak berhasil.

Buat kedua –dua calon pasangan pengantin;

Singgah bertamu dagang Pak Mustfar,
Di tengah Bandar menjual rotan,
Zikirkan lidahmu dengan istighfar,
Moga terhindar daripada keraguan.

Batang meranti singgahan merpati,
Tanahnya rekah akar mencelah,
Biarpun nanti bersatu hati,
Sebelum bernikah perhati muamalah.

Hingga ke saat ini setelah tiga tahun lebih melayari bahtera rumah tangga, alhamdulilah tidak timbul sebarang penyesalan terhadap majlis pernikahan dan walimatul urus yang diadakan buat kami pasangan suami isteri. Bukan mahu mendabik dada, namun ingin berkongsi rasa kesyukuran dengan pembaca apabila setiap langkah menuju ke gerbang rumah tangga dijaga tertib dan rapi dengan syariat dan takwa. Pastinya sudah tepu tip dan rahsia untuk mengadakan majlis perkahwinan yang meriah tetapi penuh barakah dikongsikan buat calon mempelai dan saya pula tidak ada yang terlalu istimewa untuk dihadiahkan kepada anda bakal pengantin yang sedang menanti detik bahagia. Cukuplah hanya pesanan TAKWA menjadi lampu suluh dalam setiap persiapan, komunikasi bersama tunang, pakaian pengantin mahupun adat istiadat perkahwinan. Inilah pengalaman saya dalam proses membina rumah tangga.

Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka’ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar:
“Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri?
Jawab Umar, “Ya”.
Tanya Ubai lagi, “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”
Jawab Umar, “Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati”. Balas Ubai, “Itulah yang dikatakan taqwa”.

Hasilnya nanti cukup LUMAYAN!

Alhamdulilah, biarpun tidak mengenali sang suami sebelumnya, Allah pasti mendekatkan hati sehingga rasa begitu mengenalinya. Andai nanti bertingkah gigi dan lidah, Allah hadir melimpahkan sakinah, mawaddah dan rahmah sehingga hati begitu senang memohon kemaafan dan memaafkan hasil menyulam takwa sepanjang proses mendirikan rumah tangga.

Untuk lelaki yang akan menjadi calon suami, imam dan ayah kepada cahaya mata
kalian;

Siapapun anda di masa silam,
Bukan seorang imam berdiri memimpin jemaah,
Bukan seorang Al-Hafiz penghafaz kalam suci Quran,
Bukan ulama fakih hadis, hukum dan syariah,
Hanya seorang insan yang kadangkala berpayah dalam menjadi hamba kepada Tuhan.

Cukuplah itu alasan yang ditinggalkan tatkala lafaz sakinah anda ikrarkan
Kerana kini di depan terbentang tanggungan yang anda perlu jawabkan di akhirat!

Belajar dan berazamlah anda akan menjadi imam,pemimpin dan ulama yang akan menakhoda rumah tangga hingga ke syurga.

Kepada wanita calon isteri, ibu dan bidadari di syurga hayatilah pesanan Umamah binti al -Harith kepada anak perempuannya Umm ‘Iyas sewaktu ia dikahwinkan;

“Wahai puteriku, aku ingin memberitahumu 10 perkara sebagai pedoman dan panduanmu dalam melayari alam berumah tangga nanti iaitu jalinkan hubungan dengan suamimu penuh ketaatan, perhatikan tempat menjadi kesenangannya dan jangan sampai dia melihat kepada sesuatu yang buruk atau tercium sesuatu yang busuk. Hendaklah kamu sentiasa membanggakannya kerana ini akan membuatkannya bertambah kasih padamu. Benarkanlah segala pendapat dan sikapnya nescaya dia akan bersikap lembut terhadapmu. Kamu hendaklah menguruskan hal ehwal rumah tangga dengan sempurna dan baik. Sentiasalah memelihara diri, keluarga dan kehormatannya. Simpankan segala rahsianya dengan baik, jangan kamu sesekali membantah suruhannya kerana ini akan melukakan hatinya. Jagalah waktu makannya dan waktu beristirahat kerana apabila perut lapar akan membuatkan darah cepat naik. Begitulah juga dengan tidur yang tidak cukup akan menyebabkan keletihan. Andainya suamimu nanti sedang bergembira, janganlah kamu menunjukkan kesedihan pula, tetapi kamu hendaklah pandai menyesuaikan keadaan dan bijak mengikut suasana hatinya. Kamu hendaklah sentiasa menghiasi dirimu selalu supaya suamimu nanti berasa senang apabila menatap wajahmu. Jadikanlah dirimu sebagai amah kepadanya. Nescaya nanti suami akan menjadi penolong pula pada dirimu”

Selamat Melangkah ke Gerbang Bercinta hingga ke Syurga!

[Nur Atiqah Azis]

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s