DESTINASI CINTA

image
Kredit

 

Beberapa orang urus setia sibuk keluar masuk dewan. Seorang lelaki sedang berjengket menampal kertas putih bersaiz A4 di dinding luar. Tertera di sana “TEMPAT BERKUMPUL SISWA”. Kelihatan juga para pelajar mula berbaris di pintu utama Dewan Kolej UNITI untuk mengambil tempat masing-masing .

“Khairani Bt Ahmad.!” Seorang wanita lengkap berkot memanggil nama Khairani. Di lehernya tergantung tag urus setia. Khairani mendongakkan kepalanya. Saiz badan Khairani yang agak kecil itu menyukarkannya untuk melihat urus setia yang memanggil namanya sebentar tadi. Lantas gadis berusia 20 tahun itu mencelah siswi yang lain untuk mengambil tempat di hadapan.

“Khairani, tempat awak di sini ya. Seterusnya, Zakuan B. Ramli.” Urus setia itu terus memanggil nama pelajar yang akan duduk bersebelahan dengan Khairani. Seorang lelaki berbadan tegap mendekati kerusi di sebelah Khairani. Kemudian dengan penuh sopan lelaki itu mengambil tempatnya. Sempat juga Khairani menjeling sebentar ke arah lelaki tersebut.

“Emmm… kenapalah kerusi kami ni dekat sangat. Astaghfirullah.” Khairani berbisik sendirian. Dipegang bucu kerusinya lalu menarik sedikit ke sisi sebelah kiri. Khairani menghembus nafas lega. Dia agak tidak selesa untuk duduk hampir dengan lelaki tersebut. Walaupun mereka merupakan rakan sekuliah, namun batas agama membuatkan muslimah yang cantik bertudung labuh ini segan dan malu berada berhampiran dengan mana-mana ajnabi.

Umat Islam harus cemerlang 

Hari ini mesti lebih baik dari semalam

Jangan buang masa

Siapa kata kita tidak boleh 

Kita ada ALLAH MAHA KUASA 

Kita punya kuasa tenaga 

Umat Islam sentiasa boleh.! 

Umat Islam sentiasa boleh..!!

Lagu “Menuju Wawasan” dendangan kumpulan UNIC rancak bergema dalam ruang dewan. Khairani menggerak-gerakkan jari telunjuknya mengikut tempo lagu tersebut. Matanya ligat memerhatikan para siswa yang masih berdiri mencari tempat. Dia leka sebentar. Matanya terpaku pada jam bersaiz besar di sisi kanan pentas. Jarum jam tepat menunjukkan 9 pagi.

Namun ruang dewan masih ada yang lompong.

“Mungkin ada yang tidak dapat hadir Majlis Kecemerlangan Kolej kali ini.” Mata Khairani terus leka memerhatikan gelagat hadirin yang lain. Dialihkan redup matanya itu keluar dewan. Pepohon hijau melambai-lambai sungguh mendamaikan. Langit luas terbentang mengingatkan Khairani kepada KEBESARAN SANG PENCIPTAnya.

“Subhana Allah…” itulah kata-kata yang terpacul dari bibirnya setiap kali merenung tanda-tanda kekuasaan ALLAH SWT itu.

Lamunan gadis kelahiran Johor itu terhenti apabila tuan pengerusi majlis meminta para hadirin berdiri memberi hormat kepada para VIP. Khairani terus berdiri, kemudian membetul-betulkan kain kurungnya berwarna blue black yang agak senget mungkin kerana tertarik semasa dia mengalihkan kedudukannya tadi. Kelihatan Tuan CEO Kolej UNITI melangkah masuk ke pintu utama dewan. Lelaki yang berusia 50an, berbaju batik dan bercermin mata itu diapit lagi dua orang pegawai. Segak dan berkarisma gayanya. Senyumnya terukir di bibir sambil mengangguk-anggukkan sedikit kepalanya ke arah para siswa yang berada di dalam dewan.

“Hadirin yang dikasihi sekalian, seterusnya anugerah kecemerlangan kepada pelajar-pelajar Program Pengajian Islam.”

Khairani bersiap sedia untuk naik ke pentas kerana namanya berada di senarai teratas.

“Dipersilakan, saudari Khairani Bt Ahmad dengan PNGKnya 4.00” Dewan mula gemuruh dengan tepukan para hadirin. Ada juga beberapa orang hadirin yang berdiri sebagai tanda penghargaan. Khairani berhati-hati menyusun langkah. Pandangannya agak terganggu dengan lensa kamera yang tidak henti-henti menyimbah cahaya. Dia menarik senyuman di hadapan Tuan CEO Kolej UNITI.

Namun hatinya gemuruh. Dia ingin segera turun dari atas pentas tersebut.

Khairani menarik nafas lega setelah kakinya menjejak semula ke lantai dewan. Hatinya risau ketika berada di atas pentas sana kerana diri sang gadis ini sebenarnya sangat tidak selesa apabila menjadi perhatian. Baginya, cukuplah dia dengan kesederhanaannya itu.

“Seterusnya, saudara Zakuan Bin Ramli dengan PNGKnya 4.00”

“Dipersilakan pula, saudara Fauzul Adzim dengan PNGKnya 3.89”

Mereka itulah rakan-rakan sekuliah Khairani. Kejayaan mereka sangat membanggakan kerana bidang Pengajian Islam di kolej itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibawa. Kebanyakan pelajar akan menarik diri sebelum menghabiskan semester pertama lagi, kerana semua subjek diajar dalam bahasa Arab. Malahan kitab-kitab yang digunakan juga diimport dari negara-negara Timur Tengah seperti Jordan, Mesir, Damsyik dan banyak lagi.

Khairani mengambil semula tempat duduknya. Dilihat masih ramai rakan sepengajian yang berlainan bidang dengannya sedang menunggu giliran naik untuk menerima anugerah. Hatinya berbisik syukur kerana masih ramai yang mendapat anugerah dekan walaupun syarat anugerah telah dinaikkan kepada 3.70 ke atas.

“Assalamualaikum. Abah apa khabar? Ani dah dapat keputusan percubaan SPM, bah…” Dengan tenang dan sopan, Khairani bersuara di corong telefon.

Dimasukkan lagi seketul syiling 50 sen ke mulut telefon awam itu.

“Wa’alaikumusalam wbt. Ye..dapat berapa Ani?” Nada suara abah Khairani seakan tidak sabar. Pertanyaan khabarnya juga langsung tidak dijawab.

“Ani dapat 6A…3B… dan lagi satu….”

“Lagi satu…?” Nada abah Khairani lembut namun kata-kata itu bagai mendesak Khairani menjawab dengan segera.

“Lagi satu..Add Math Ani dapat..D bah…”

“Laaa, gagal Ani.”

Khairani diam seribu bahasa. Matanya mula berkaca. Ditahan kuat. Tidak sanggup membiarkan ia tumpah.

“Eh,  Ani jangan menangis. Nah cakap dengan ibu ni.” Abah Khairani memujuk lembut. Dia bagai dapat membaca reaksi anaknya, walaupun sekadar berbual di corong telefon tanpa bertentang empat mata. Segera diserahkan ganggang telefon kepada ibu Khairani.

“Ani…tak apa. Ibu faham. Add Math tu memang susahkan.” Ibunya pula memujuk. Khairani tidak lagi dapat menahan keperitan hatinya itu. Dia rasa bersalah kerana telah mengecewakan kedua ibu bapanya. Linangan air mata mula bercucuran membasahi pipi Khairani.

“Maafkan Ani bu…”

Khairani melangkah lesu ke dorm. Bilik yang memuatkan 16 orang pelajar perempuan itu riuh dengan senda gurau rakan-rakan sebiliknya. Namun, Khairani tetap tidak mampu untuk mengukir senyum. Hatinya masih pilu mengenangkan ibu bapanya di kampung. Dia memanjat tangga katil double-deckernya dan terus melabuhkan tubuh. Lantas ditenung kipas dinding yang ligat berputar. Khairani menutup wajahnya dengan bantal. Gelap.

Selama ini dia sentiasa mendapat keputusan yang cemerlang di dalam setiap peperiksaan. Malah namanya sentiasa menjadi sebutan guru-guru di sekolah. Masakan tidak, saban tahun anugerah kecemerlangan sering licin dibolotnya. Khairani jauh meninggalkan rakan-rakan sekelasnya yang lain. Kadang-kadang, timbul juga rasa riak di hati. Tetapi, apa yang paling menyayatkan, gadis yang pintar ini jarang menyembah sujud di tikar sembahyang. Al-Quran pula telah lama lupus daripada lisannya.

“Allah..” tiba-tiba nama agung itu melintas di bibir Khairani. Hatinya sayu. Dia sedar apa yang telah dilalaikannya selama ini.

“Astaghfirullah, ampuni aku ya Allah….”

Khairani bergegas menyarung selipar dan berlari anak menuju ke masjid sekolah. Di situlah warga Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang dan masyarakat sekitar Bandar Tasik Puteri berkumpul setiap minggu untuk menunaikan Solat Jumaat. Hatinya bagai terpanggil-panggil nama agung sang PENCIPTAnya. Allah, Allah…

Relung hati gadis ini sayu. Rindu. Dan gadis ini juga tahu, tiada lagi tempat yang lebih mengingatkan dia kepada TUHAN melainkan di rumah-NYA. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: Apabila seseorang muslim berwuduk,  maka akan keluar dosa-dosanya daripada pendengarannya (telinganya), matanya, tangannya dan daripada kedua kakinya. Apabila ia duduk menanti solat, ia duduk dalam keampunan (diampunkan) dosa-dosanya”. (H/R. Ahmad)

Diputar kepala paip. Lengan baju disinsing. Air membasahi anggota wuduk Khairani. Sejuk dan segar. Hati Khairani mula merasai ketenangan. Air itu bukan sahaja membasuh anggotanya malah air wuduk tersebut bagai menyusup ke hati mencuci karat-karat yang menghitam selama ini.

“Allah…huakbar..”

Suasana masjid di waktu petang seperti itu sepi. Kelihatan kelibat seorang gadis lengkap bertelekung sedang khusyuk tunduk menghadap Rabbnya.

Usai membaca al-Fatihah dan surah al-Kafirun, Khairani sekali lagi takbir untuk rukuk. Dibengkokkan tubuhnya 90 darjah menghadap kiblat. Terasa urat-urat di belakang lututnya seperti tertarik-tarik. Lenguh. Khairani menahan pedih. Dia cuba melentur semula sendi-sendinya yang telah lama tidak tunduk menghadap Illahi. Air matanya berlinangan mengenang semula kesombongannya terhadap TUHAN selama ini.

“Assalamualaikum warahmatullah…” Selesai memberi salam kedua, Khairani membawa ekor matanya merenung keindahan hiasan masjid. Cahaya yang menembusi hiasan kristal yang berwarna-warni di syiling masjid cukup indah dan menawan. Hatinya tenang, tidak secelaru seperti tadi. Bunga-bunga ketenangan mula berputik.

Ketenangan yang selama ini didambakan oleh setiap hamba seperti Khairani. Kesibukan mengejar kecemerlangan dunia ditambah dengan beban sebagai pelajar aliran sains tulen sekolah yang berkaliber ini. Benar-benar membuat Khairani penat dan lelah. Gadis remaja berusia 17 tahun ini mula sedar, makin dikejar dunia, makin bercelaru langkahnya. Makin kucar-kacir hatinya. Makin jauh ketenangan terbang meninggalkannya.

Dicapai sebuah tafsir al-Quran yang tersusun rapi di rak kecil masjid. Kemudian Khairani memandang sekeliling mencari tempat yang sesuai untuk bertadabbur.

Lantas kawasan teduh di bawah pokok kayu yang rimbun menjadi pilihannya. Angin lembut membelai-belai pipinya yang berwarna sawo matang. Khairani bersila, lalu mula membuka tafsir al-Quran berkulit biru itu. Tangannya menyelak-nyelak tafsir itu secara rawak. Tiba-tiba tangannya terhenti di halaman 577..

“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.

AKU bersumpah dengan hari kiamat.

Dan AKU bersumpah demi jiwa yang selalu menyesali (dirinya sendiri)

Apakah manusia mengira bahawa KAMI tidak akan mengumpul kembali tulang-belulangnya..?”

Khairani tersentap. Persoalan itu bagai tertuju buat dirinya.

“Bahkan KAMI mampu menyusun (kembali) jari-jemarinya dengan sempurna.

Tetapi manusia hendak membuat maksiat terus-menerus.”

Khairani tertunduk. Dadanya mula berombak. Gadis itu meneruskan pembacaannya. Sehinggalah tiba di ayat…

“Tidak! Bahkan kamu mencintai kehidupan dunia, dan mengabaikan kehidupan akhirat.”

Khairani kembali tersentap. Matanya berkaca.

Tidak! Apabila (nyawa) telah sampai kekerongkong, dan dikatakan kepadanya, “siapa yang dapat menyembuhkan?”

Dan dia yakin bahawa itulah waktu perpisahnya (dengan dunia),

dan bertaut betis (kiri) dengan betis (kanan),

kepada TUHANmulah pada hari itu kamu dihalau”

Khairani menarik nafas panjang. Dadanya makin berombak. Ekor matanya tertuju ke potongan ayat seterusnya.

“Kerana dia (dahulu) tidak mahu membenarkan (Al-Quran dan Rasul) dan tidak mahu melaksanakan solat,”

Terpaku mata Khairani di ayat itu. Jantungnya makin berdenyut kencang. Secara tidak sedar, tangannya mengenggam keras tafsir itu. Tidak lagi mampu untuk Khairani menahan air matanya daripada tumpah. Bagaikan tidak terdaya untuk dia meneruskan pembacaan. Di saat itu dia merasakan bagai TUHAN benar-benar sedang berbicara dengannya. Dia malu. Terbayang dirinya yang selama ini culas dalam melaksanakan solat fardu. Sungguh malas dan berat anggotanya untuk sujud kepada TUHAN. Walaupun kewajipan itu sekadar 5 kali sehari dan tidak sampai 10 minit bagi satu-satu waktu. Khairani segera mengekang air matanya yang mula laju menyimbah bumi.

“Tetapi justru dia mendustakan (Rasul) dan berpaling (daripada kebenaran),

kemudian dia pergi kepada keluarganya dengan sombong.

Celakalah kamu! Maka celakalah!”

“Astaghfirullah…!” Khairani beristighfar panjang di dalam hati. Dia terkejut dengan ayat yang menunjukkan kedahsyatan kemurkaan Allah SWT. Dia meneruskan pembacaan….

“Sekali lagi celakalah kamu (manusia)! Maka celakalah!

Apakah manusia mengira, dia akan dibiarkan begitu saja (tanpa pertanggungjawaban)..?”

Bagaikan halilintar menyambar tubuh Khairani. Seluruh anggotanya menggeletar ketakutan. Tangisannya makin kuat. Kedengaran bagai bunyi desiran periuk yang sedang menggelegak. Bunyi itu semakin lama semakin kuat kedengaran. Khairani menangis sambil merangkul kedua lututnya. Tubuhnya tidak henti-henti menggeletar. Tiba-tiba, sebatang tubuh merapati Khairani lalu memeluk gadis itu dari arah belakang.

“Khaira…kenapa ni?” 

Suara itu menyapa lembut. Khairani masih tidak mampu menghentikan tangisannya. Suara itu cukup dikenalinya. Shazwin Hassan. Juga pelajar di sekolah tersebut tetapi mengambil aliran sains agama. Dia pelajar harapan sekolah. Masakan tidak, Shazwin bukan sahaja hebat dari segi akademik malah dia juga hebat dalam kokurikulum terutamanya debat dan pidato. Hampir-hampir Shazwin mewakili sekolah ke pertandingan pidato peringkat antarabangsa di PWTC tetapi pada hari pertandingan itu dia ditakdirkan menghidap demam campak.

“Khaira…janganlah macam ni. Awak buat saya risau tau. Kenapa ni Khaira…?”

Shazwin menarik lembut tangan Khairani. Dia ingin merungkai rangkulan tubuh Khairani dari lutut sahabat baiknya itu. Khairani tetap tidak ingin melepaskan tangan. Dia terus merangkul lututnya sambil menangis hiba. Shazwin mengusap kepala Khairani. Matanya turut berkaca. Hatinya pilu melihat sahabatnya menangis seperti itu. Direnung temannya yang sedang membisu seribu bahasa. Hatinya pedih. Shazwin meletakkan tangan kirinya di bahu Khairani dan melempar pandangannya ke arah matahari yang makin menyorokkan diri. Sunyi. Angin menyapa lembut tudung labuh dua orang sahabat ini. Mereka kekal dengan keadaan begitu sehinggalah matahari menghilangkan diri di balik bukit.

Malam itu, setelah selesai solat Isyak di masjid, Khairani dan Shazwin beriringan berdua berjalan menuju ke kelas. Prep di waktu malam merupakan satu kewajipan bagi para pelajar SEPINTAR. Di waktu itulah para pelajar menggunakan masa mereka untuk menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru-guru dan membuat ulang kaji. Ada juga segelintir pelajar yang menggunakan masa itu untuk berborak-borak kosong dan bergurau senda sesama mereka. Menghilangkan tension katanya. Masakan tidak, setiap hari pelajar-pelajar tingkatan 5 ini diasak dengan beratus-ratus soalan peperiksaan SPM. Sama ada soalan daripada tahun-tahun yang sebelumnya ataupun soalan-soalan target yang bersumberkan daripada sekolah berasrama penuh lain.

Namun demi mencapai target kecemerlangan sekolah, mereka gagahkan juga langkah di bumi SEPINTAR ini. Di tambah pula dengan para pendidik yang sangat memahami para pelajarnya. Makin membuaklah rasa sayang mereka kepada sekolah dan pelajar-pelajar tingkatan 5 ini juga sedar bahawa nama baik sekolah berada di pundak mereka.

Sedang Khairani leka menyiapkan soalan kertas 3 subjek Fizik, muncul kelibat Shazwin di hadapannya. Dua sahabat ini mengukir senyum di bibir masing-masing.

“Mengantuklah Khaira,” gadis setinggi 5 kaki ini sanggup berjalan menapak ke kelas sahabatnya itu walaupun kelas mereka berlainan tingkat. Begitulah kebiasaannya setiap kali kelas prep.

“Awak dah siap ke soalan Cikgu Zairien ni? Esok kena hantar tau.” Khaira menaikkan keningnya. Ditatap wajah sahabat baiknya yang berbentuk bujur itu. Cukup ayu. Dibaluti tudung labuh berwarna merah jambu muda.

“Saya dah siapkan dah petang tadi. Sedang ambil angin tiba-tiba dengar suara orang merengek-rengek bawah pokok. Ingatkan jelmaan apalah petang-petang tu.” Shazwin menguntum senyum. Manis mukanya. Khairani tertunduk malu. Shazwin menunggu-nunggu sahabatnya itu menceritakan apa yang berlaku. Namun hampa. Khairani tetap diam. Tangannya kembali menulis jawapan Fizik tadi.

“Khaira..! Saya ada satu lagu nak bagi awak dengar tau.” Shazwin menepuk meja. Khairani terkejut. Shazwin mencapai tangan sahabatnya itu lantas duduk menyangkung di tepi kerusi kayu Khairani. Shazwin menggenggam erat tangan lembut sahabatnya itu.

“Dengar ya sahabat. Saya nyanyikan lagu ni khusus buat Khaira,” kedua-duanya menguntum senyum. Hubungan mereka nampak sangat rapat. Tangan Khairani terus di gengam erat. Shazwin menutup matanya lalu dengan penuh penghayatan, gadis itu mula menyanyi….

Menyingkap tirai hati 
Mengintai keampunan
Di halaman subur, rahmat MU TUHAN

Tiap jejak yang bertapak 
Debu kejahilan
Akan ku jirus dengan madu KEIMANAN

Tak ternilai air mata dengan permata
Yang bisa memadamkan api neraka

Andai benar mengalir dari nasuha nurani
Takkan berpaling pada palsu duniawi

Destinasi cinta yang ku cari
Sebenarnya terlalu hampir 
Hanya kabur kerana dosa di dalam hati

Telah ku redah daerah cinta 
Yang lahir dari wadah yang alpa
Tiada tenang ku temui hanya kecewa menyelubungi

Gelintar segenap maya 
Dambakan sebutir hakikat 

Untuk ku semai menjadi sepohon makrifat
Moga dapat ku berteduh di rendang kasih MU

Namun ranjaunya tidak akan sunyi
Selagi denyut nadi belum berhenti
Durjana syaitan kan cuba menodai
Segumpal darah
Bernama hati

Lestarikan wadi kalbu ku oh TUHAN ku
Leraikan aku dari pautan nafsu

Biarpun sukar bagi ku melamar redha MU
Namun masih ku mengharap ampunan MU

Wahai TUHAN ku…ya ALLAH… 

“Sedap ta…” belum sempat Shazwin menghabiskan ayatnya, dia terkelu melihat butir-butir jernih membasahi pipi Khairani. Shazwin tersentap. Lantas dia memeluk erat tubuh sahabat baiknya itu. Air mata turut tumpah dari takungan mata sang gadis itu. Hayatilah ayat-ayat cinta ALLAH SWT ini wahai sahabatku sayang: “Jangan kamu berputus asa daripada pertolongan Allah, sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat (atau pertolongan) Allah melainkan orang-orang kafir”(Surah Yusuf: Ayat 87).

“Awin…sa..saya nak jadi ba..baik macam awak. Awak..ajar saya boleh..?” Tersedu sedan Khaira bersuara.

“Khaira, janganlah macam ini. Kita sama-sama berubah jadi lebih baik ya. Lebih baik di mata ALLAH.”

“Lebih baik di mata ALLAH..?” Khairani mengerutkan dahi. Pipinya masih basah dengan air mata.

“Ya, menjadi insan yang lebih baik dan lebih hebat di mata Allah..!” Lantang Shazwin bersuara. Dia mahu sahabat yang disayanginya itu bangun. Bangun daripada kegagalan. Orang yang hebat bukanlah mereka yang tidak pernah melakukan kesilapan, tetapi hakikatnya mereka yang hebat adalah orang yang pernah tersilap langkah namun kembali bangkit memperbaiki diri. Lantas terus maju menuju sinar kejayaan yang pasti.

Selama ini Khairani tidak pernah terfikir untuk menjadi insan yang hebat di mata ALLAH SWT. Apa yang dia tahu, belajar bersungguh-sungguh, dapat anugerah dan seterusnya hati berbunga-bunga apabila menjadi sebutan di sekolah. Apa yang ada dengan pandangan ALLAH..? Mengapa insan sehebat Shazwin lebih mengutamakan pandangan ALLAH SWT daripada pandangan manusia..? Hari ini Khairani belajar sesuatu yang baru dalam kamus hidupnya. Pandangan ALLAH…

………………………………………….

Sekeping kad berwarna merah hati bercorak bunga mawar tertampal indah di pintu almari Khairani. Hatinya tersenyum gembira. Terpancar kebahagiaan di wajahnya. Tidak syak lagi, mesti kad itu hasil buatan tangan sahabat baiknya, Shazwin. Gadis yang berasal dari Subang itu bukan sahaja mahir berpidato dan debat, malah dia kreatif membuat kraf tangan dan dia juga sangat suka menyanyi. Ramai yang sayang padanya. Khairani tidak pernah melihat Shazwin meninggalkan solat malam setiap kali Khairani menumpang tidur di biliknya. Rasa kagum terhadap sahabatnya itu makin menebal. Bijaknya Shazwin menyeimbangkan urusan dunia dan akhirat.

“Kalau kita jaga hak ALLAH, ALLAH akan jaga hak kita.”

Kata-kata sahabatnya itu sering berbisik di hati kecil Khairani. Khairani bertekad mahu berubah. Dia rasa menyesal jika dia tidak dapat berubah sedangkan kini dia sedang berada dalam lingkungan manusia-manusia yang soleh solehah. Dia juga pelik bagaimana ALLAH SWT boleh mencampakkan dirinya ke sekolah agama seperti itu. Sedangkan dia tidak mengambil subjek arab dalam peperiksaan PMR nya yang lalu. Itulah pencaturan ALLAH SWT. Dan yang pasti, hidupnya benar-benar berubah sejak menuntut di sekolah itu bermula dari tingkatan 4 sehingga kini.

Minggu itu merupakan minggu balik bermalam. Setiap dua minggu, pihak asrama akan memberi peluang kepada para pelajar SEPINTAR untuk pulang ke rumah. Beg pakaian Khairani penuh diisi dengan buku rujukan dan latih tubi. Banyak kerja sekolah yang perlu disiapkan. Hatinya melonjak gembira. Dia tidak sabar untuk bertemu abah dan ibunya di kampung. Setelah siap berkemas, Khairani terus menyarung baju batik sekolah berwarna merah hati. Sungguh ayu. Ditambah pula dengan tudung labuh berwarna putih. Khairani membetul-betulkan tudungnya di hadapan cermin dorm.

“Ya Allah, telah ENGKAU cantikkan zahirku, maka cantikkanlah pula akhlak ku ya Allah.” Khairani tidak lupa untuk memanjatkan doa ketika melihat cermin. Sunnah nabi. Khairani tidak mahu luarannya tampak solehah namun dalamannya hancur. Dia mahu menjadi yang hebat dan baik di mata ALLAH SWT.

…………………………………..

“Ani…” terdengar suara garau abah Khairani memanggil dari ruang tamu.

“Ya bah, Ani ada di bilik ni.” Khairani pantas menyahut panggilan abahnya.

“Ani buat apa dalam bilik ni..? dari pagi abah tengok Ani terperuk je dalam bilik?” Pak Ahmad menyelak daun pintu bilik anak gadisnya itu. Kelihatan Khairani sedang tekun membuat kerja sekolah di atas katil sambil duduk bersila.

Pak Ahmad melangkah menuju sisi katil Khairani.

“Tak buat apa pun bah…Ni Ani buat latih tubi sikit.” Khairani menunjukkan buku kerja yang sedang disiapkannya. Halaman itu penuh dengan angka dan formula matematik.

“Baguslah tu. Abah nak keluar ni. Nah ambil duit belanja kamu. Takut tak sempat abah nak bagi kamu balik asrama nanti.” Pak Ahmad menghulurkan sekeping wang kertas bernilai RM50 kepada anaknya. Lantas Khairani menyalam dan mencium tangan abahnya itu. Kemudian Khairani menyambung semula kerja dengan menekan-nekan butang kalkulator sainstifiknya. Pak Ahmad masih belum berganjak dari sisi katil anaknya itu. Dia merenung Khairani. Hatinya tiba-tiba berbisik simpati. Lantas tangannya menarik buku latih tubi itu kemudian terus menutupnya. Khairani mendongak ke atas memandang tepat wajah tua abahnya itu. Dia kehairanan. Lantas Pak Ahmad bersuara,

“Ani…Abah tak kisah anak abah dapat berapa dalam peperiksaan. Abah betul tak kisah. Yang penting abah tahu anak abah dah buat yang terbaik. Kalau Ani tak boleh bawa subjek Add Math tu tak apa, buat sajalah apa yang Ani mampu. Abah percaya pada anak-anak abah.” Pak Ahmad menyuntik kata-kata semangat buat anak ke-3 nya itu. Dia tahu, Khairani pasti tertekan mengenangkan peperiksaan besar SPM yang hanya tinggal dua bulan sahaja lagi.

Khairani terdiam. Fikirannya melayang. Dia cukup tersentuh dengan kata-kata abahnya itu. Kini semangatnya untuk terus berusaha semakin membara. Dia bertambah yakin pada dirinya. Dia tahu dia mampu, hanya perlu membaiki kesilapannya yang lalu dan mengoptimumkan usahanya pada saat ini. Dan yang paling penting, meletakkan ALLAH yang nombor satu. InsyaAllah kejayaan pasti menjadi miliknya.

“Terima kasih abah…” 

“Terima kasih ya ALLAH…”

…………………………………………….

“Kak,.. Ani takutlah nak ambil result. Esok-esok sajalah kita ambil.”

“Eh, apa kau cakap ni Ani..! Semua orang excited nak ambil result, kau pula takut-takut. Exam dah lama habis, sekarang ambil kertas result je pun. Aduhai, itu pun nak takut. Apalah engkau ni..”

Kakak sulung Ani membentak.

Lantas dipakai tali pinggang keledar ke tubuhnya. Kemudian kereta Produa Kembara berwarna kelabu itu terus memecut laju.

Sudah lebih 3 bulan Khairani meninggalkan laman sekolah. Cuti yang agak panjang membuatkan bibit-bibit rindu lahir di benak gadis itu. Terbayang wajah-wajah rakan seperjuangan sewaktu peperiksaan SPM yang lalu. Kenangan manis dan pahit sepanjang menuntut ilmu di situ menambahkan kematangan dalam diri Khairani.

Dia masih ingat bagaimana dia dan rakan-rakan berhempas pulas membuat latih tubi pada sebulan sebelum peperiksaan sebenar. Juga masih segar dalam ingatan Khairani, kesungguhan rakan-rakannya yang mengambil aliran sains agama. Dia kagum melihat mereka. Masakan tidak, Khairani hanya perlu memberi fokus pada 10 subjek sahaja, sedangkan mereka perlu fokus pada 12 subjek. Lebih menakutkan, subjek yang mereka pelajari dalam bahasa Arab. Al-Quran Sunnah, Bahasa Arab Tinggi… Allah memang hebatlah mereka ini.

“Aku yang 10 subjek ni pun terkontang-kanting. Allah, agaknya macam manalah Add Math aku ni…”

Khairani sendiri melayan perasaan. Bayangan Ustazah Ayuni hadir dalam lamunannya. Guru subjek Matematik Tambahannya itu cukup terkenal dengan sifat keibuan.

“Ustazah, tolonglah saya ustazah. Lagi satu markah je untuk kertas add math saya ni lulus. Tolonglah ustazah..” Khairani membuat memek muka simpati dihadapan Ustazah Ayuni. Ustazah kesayangan semua pelajar di sekolah berasrama itu.

“Khairani… Saya bukan tidak mahu menolong kamu. Kamu memang pelajar yang baik dan rajin. Tapi jika saya tambah markah kamu sekarang, ia tidak adil bagi kawan-kawan kamu yang lain. Mungkin peperiksaan percubaan ini bukan rezeki kamu. Jadikan kegagalan kamu ini sebagai pembakar semangat untuk kamu lakukan yang lebih baik pada peperiksaan sebenar SPM nanti. Berusaha dan berdoalah pada ALLAH SWT. Ustazah yakin kamu mampu, Khairani.”

Lembut tetapi tegas ingatan daripada Ustazah Ayuni. Dia tidak mahu anak didiknya sekadar cemerlang dalam akademik tetapi yang lebih penting adalah cemerlang urusan akhiratnya.

Begitulah kelainan yang ada pada para pendidik di bumi SEPINTAR. Mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu malah mereka mendidik dan mentarbiah setiap pelajar mereka. Mereka tidak mahu anak didik mereka sekadar mengenal blood plasma, Charles Law, Boyse Law, infinti dan sebagainya, tetapi mereka ingin anak didik mereka itu kenal kepada KUASA AGUNG yang menciptakan sekalian alam ini. Para pendidik ini mahu mereka tahu asal dan tujuan penciptaan mereka di bumi ALLAH SWT. Khairani memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada ALLAH SWT kerana telah mencampakkan dirinya yang selama ini jahil tentang agama ke bumi tarbiah, bumi SEPINTAR.

“Khaira..! Saya dapat 12A1..!” Shazwin menerpa ke arah sahabat baiknya itu. Dipeluk erat tubuh Khairani. Mereka melonjak gembira.

“Alhamdulillah..! Tahniah Win! Tahniah!”

“Khaira..?”

“Saya belum ambil result lagi.”

“Cepatlah pergi ambil. Jom saya temankan.” Shazwin menarik tangan Khairani. Mereka berlari anak menuju ke arah kaunter pejabat.

“Malu la Win.. mesti tak sehebat awak.” Khairani tunduk. Perlahan dia berbisik di sebelah Shazwin.

“Ish awak ni. Yang penting usaha. ALLAH SWT tak pandang hasil, DIA pandang usaha kita. Kan sahabat..?” pandai Shazwin menyusun kata. Mereka saling berpandangan dan menguntum senyuman. Tangan mereka tetap erat berpegangan.

“SubhanaAllah, tahniah Khaira..! Hebatnya awak dapat straight A1 juga.”

Shazwin tidak mampu menahan diri dari berteriak gembira.

Khairani meletakkan kertas keputusannya di atas kaunter pejabat lantas meluruhkan segala sendinya sujud menyembah bumi. Dahinya ditekan ke lantai. Sejuk. Hati gadis ini sayu. Tiada apa yang dapat dilafazkan selain kalimah syukur kepada ILLAHI dan sujud syukur sebagai bukti penghambaan insan pada TUHANnya yang MAHA PEMURAH lagi MAHA MENGASIHANI. Butir-butir jernih air mata kegembiraan mula mengalir di pipi dua sahabat ini. Tiba-tiba terlintas sepotong ayat suci al Quran di fikiran Khairani…

“Barang siapa bertakwa kepada ALLAH

nescaya DIA akan membukakan jalan keluar baginya.

Dan DIA memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.

Dan barang siapa bertawakal kepada ALLAH,

nescaya ALLAH mencukupkan keperluannya.”

(Al Baqarah: 2-3) 

Sungguh benar janji MU itu ya ALLAH..

Terima kasih ya ALLAH…Terima kasih…

Telah ku temu Destinasi Cinta ku..

 

[Sharifah Abdul Samad]

Nota: Cerpen ini merupakan karya peserta Pertandingan Menulis Cerpen anjuran Beliawanis PEMBINA tahun 2013

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s