BIARKAN AKU PERGI…

image

Aku membuang pandangan ke arah tasik. Cahaya matahari yang mencarak membuatkan tasik di taman ini seakan bergemerlapan bagaikan berlian. Hembusan angin petang, sedikit menyejukkan. Hati aku kalut. Celaru.

Setelah dua tahun di perantauan, aku bahagia tak terkira. Tapi hari ini, kepala aku melayang, serabut, runsing. Badan aku menggigil. Alunan muzik orkestra kegemaranku seakan hilang tenggelam bersama kerunsingan. Aku memandang telefon bimbitku. Sengaja aku letak pada mod silent. Tidak ingin aku diganggu dalam waktu begini.

Mesej itu aku buka semula. Mesej yang mampu menggugat dan mengkalutkan jiwa.

“Awak. Saya sayangkan awak. Saya masih perlukan awak. Jangan tinggalkan saya. Saya cintakan awak. Kita dah lama couple. Saya serius nak kahwin dengan awak!”

Aku hanya mampu memandang. Setiap patah bait ayat itu aku pandang. Astaghfirullah hal ‘azim.

****

Aku yang dahulu. Seorang rebellious yang cuba melawan hukum manusia. Seorang yang pelik di sekolah, seorang yang tiada ramai manusia bergelar sahabat. Walaupun aku berada di sekolah agama, namun tak pernah sedetik aku menghayati tarbiahnya, tak sekali aku terima nasihat-nasihat mereka. Dan saat itu aku mulai jatuh hati dengan seorang lelaki. Pada tika itu, aku beranggapan dialah satu-satunya manusia yang mampu memahami aku, menerima aku.

Bagi topup RM5 pun boleh cair meleleh beb.

Pada ketika itu, dialah duniaku. Bahagianya bersama, tenggelam dengan rasa “cinta” tanpa aku sedar syaitan seronok bermaharajalela, menghasut aku agar terus lalai dan leka.

Emak dan abah. Bukan mereka tidak pernah menegah. Sudah selalu kena marah. Namun jiwa remaja aku memberontak.

“Dah orang sayang dia. Orang happy dengan dia. Takkan itu pun salah?” bentak aku pada emak.

Tanpa aku sedar, “cinta” itu telah mengguris hati emak dan abah. Kerana lelaki yang tidak halal lagi, aku telah menjadi seorang penderhaka.

Dunia aku, aku belakangkan untuk “bahagia” bersama cinta. Hatta berjuta manusia yang datang menegur, aku endahkan. Aku masih teguh untuk tidak meninggalkan dia.

Namun aku silap. Aku lupa akan kalimat kun fa yakun-Nya.

Masa berputar dan aku telah selamat menyambung pelajaranku di kolej matrikulasi. Namun suasana yang begitu jauh dari sekolah agama membuatkan aku kosong, ibarat manusia tak bernyawa. Hatta kata-kata cinta dia juga tidak mampu menggembirakan aku. Aku mula mencari, makanan rohani pembasah jiwa.

Suatu petang selepas asar di surau kolej… “Eh awak student Cik Ainul kan?” tanya suara itu.

“Saya Miss Nasirah, pensyarah Matematik. Meh la duduk sini” aku bingkas bangun bersama bulatan itu.

“Hari ini kita nak tadabbur surah An-Naba’………..” itulah titik permulaan antara aku dan tarbiah.

Semakin lama aku hidup bersama usrah, aku semakin bahagia. Semakin bahagia mengenal Pencipta yang tidak putus memberikan aku rahmat dan nikmat dalam kehidupan. Namun, aku tidak pernah berhenti bermesej bersama dia.

Facebook? Whatsapp? Dia sentiasa berada bersama aku. Aku tahu, Miss Nasirah menghidu hubunganku. Suatu petang di tepi pantai, dengan nada tenang Miss Nasirah mengalunkan kata;

“Orang yang ikut usrah tapi masih couple, tu maknanya Allah tak ketuk lagi hati dia..”

“Kalau kita dah letak hati kita nak masuk usrah, nak belajar berubah, nak berhijrah, nak buat kerja dakwah untuk Allah, tapi kat belakang tarbiah kita masih bercouple, ber’crush’, tidak menjaga ikhtilat, itu tandanya kita sedang bermain-main dengan Allah”

Kata kata itu menghentak jiwa aku.

Aku seorang manusia yang bersemangat. Dan saat aku mulai jatuh cinta dengan usrah, jatuh cinta dalam mengenal agama, bersemangat untuk buat kerja dakwah, aku masih menipu diri aku sendiri.

Aku punya seseorang yang tidak halal bagi aku, di dalam hati. Sedang aku tahu ia haram tetapi kenapa aku tegar melakukannya?

Sebab aku leka. Aku leka dengan keasyikan yang aku rasakan bahagia walhal itu syaitan yang sedang membisikkan hasutannya.

Aku datang usrah tapi tidak serius. Sekadar mahu mengisi waktu yang ada. Aku seorang yang kotor. Hina. Allah bagi aku macam macam nikmat, tapi aku masih tidak serius untuk kembali pada jalanNya!

“Wa la taqrabu zinna” firman Allah dalam surah Al-Israa ayat 32.

Aku kaku. Ibarat rasa dilanggar lori. Berkecamuk. Keliru. Sakit. Pedih.

Saat itu aku mainkan semula segala kenangan manis, kenangan bersama, segala budinya kepada aku.

“You could always keep it as a secret. Senyap jelah, buat macam tak ada apa apa. Couple je pun. Bukan berzina!”

” Then again, memanglah semuanya manis. Memang banyak budi dia. Tapi kau nak ke melemaskan diri dalam dosa sepanjang masa? Kalau kat akhirat nanti buku amalan kau dapat tangan kiri, kau tak menyesal ke?”

Perdebatan itu bermain di kepala ku sepanjang malam. Aku menangis. Aku berkecamuk. Aku pedih dan keliru. Tapi keputusan ku muktamad.

” Salam. Have you ever wondered tak sepanjang masa kita bercinta ni, kita sebenarnya sedang tenggelam dalam dosa? Awak pernah terfikir tak pengakhiran kita?

“Wa laa taqrabbu zinna” Al-Israa 32.

Kita sama sama tahu benda benda ni salah tapi, kenapa kita buat ya?

Saya minta maaf. Terima kasih atas segalanya. Tapi saya perlu pergi. Cukuplah saya hipokrit dengan manusia. Saya sangat takut untuk hipokrit dengan Allah.

Ini yang terbaik. Assalamualaikum”

Butang send ditekan. Lantas terus aku block dia disegenap ruang yang mampu dia mencari aku. Aku kembali menangis.

Awal-awal tu memang parah, payah. Rindu, rasa tak bermaya. Susah, perit. Buka Facebook rasa nak stalk, terasa suaranya terngiang-ngiang. Seksanya!

“Biarlah susah, tapi inilah yang terbaik untuk kau di dunia dan akhirat, Zureen” getus hati aku.

Dan akhirnya setelah aku menginfakkan diri dalam tarbiah, aku mengenal Allah dan Islam, aku rasa lega, tenang, bebas. Tak rasa bersalah, tak rasa bingung kecamuk. Aku rasa lain. Rasa tenang yang tiada terungkap.

Alhamdulillah.

****

Kejadian dua tahun lalu itu bermain di fikiranku. Terik mentari semakin kelam. Aku merenung langit. Lukisan alam ini sememangnya tidak pernah mengecewakan aku.

Dua tahun, aku hidup tanpa dia. Aku berjanji takkan mencari dia, takkan kembali pada jahiliyah. Kenapa sekarang aku goyah?

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? “ [Al-Ankabut:2]

Ya. Aku sepatutnya lebih sedar. Allah uji manusia pada titik kelemahannya dengan ujian yang mampu manusia itu pikul. Dan ini dugaan aku. Diuji dengan janji aku pada diri sendiri.

Tarbiah. Tarbiah ini aku analogikan sebagai lampu spotlight yang terang menderang, disuluhkan untuk aku dalam terowong yang hitam penuh kegelapan. Hadirnya spotlight itu membantu aku berjalan, mengatur langkah ke hadapan. Mencari jalan keluar daripada kegelapan.

Spotlight itu datang secara percuma, tanpa di minta. Dan kerana sesuatu yang aku pasti haram, sanggup aku tinggalkan spotlight itu dan kembali pada kegelapan?

Lantas aku terus mencapai telefon bimbit. Jari jemari aku seakan menari di atas papan kekunci, kesan semangat yang telah kembali pada diri.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali.”

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan” [An-Nur:30]

Hakikatnya apa yang kita buat dulu salah. Silap. Kita hidup dalam dosa. Kita nak teruskan hidup begitu atau kita nak mencari ruang dengan sisa umur yang ada untuk kembali padaNya?  I guess, not. BIARKAN AKU PERGI!”

Butang send aku tekan. Terus aku block nombor baharu yang dia gunakan untuk mencari aku semula.

Hakikatnya, perubahan itu tidak akan menjanjikan perubahan yang sekelip mata, manusia itu memerlukan mujahadah dan kekuatan untuk terus bergerak ke arah kebaikan. Berusahalah walaupun payah kerana pastinya akan ada ganjaran Allah selitkan buat kita.

“Zureen, padiaa hang dok melangut depan tasik tu, tak nak kejar bas balik ke, ana masak hari ni!” kata Hana’ sambil menggoncang bahuku.

“Just thinking saja la enti. Jom la kita balik. Masak sedap-sedap tau Hana’.”

Senyuman kerang aku lemparkan padanya.

Sungguh aku lebih bahagia, apabila aku tidak lagi dihantui dengan noda dosa hasil perbuatan couple dan berikhtilat.

Sungguh aku bersyukur atas kurnian-Nya.

***

Moga kisah ini menjadi pencetus inspirasi. Rekaan semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup mahupun mati.

 

[Amalina Annuar]

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s