SANG LEBAH INSPIRASI AKTIVIS ISLAM

image

Benarlah sesungguhnya tiada sesuatu yang dirancang atau diciptakan oleh Allah taala tanpa sebab ataupun sebagai sesuatu perkara yang sia-sia. Satu ilmu yang menarik dan sebagai salah satu kebesaran Allah adalah serangga kecil yang berterbangan iaitu lebah, tampak kecil peranannya dalam ekosistem kehidupan.

Namun jangan kita lupa yang bahawa nama salah satu surah dalam kalam Allah, al-Quran al-karim adalah an-Nahl yang membawa maksud lebah. Mulianya lebah terpilih dan diangkat sebagai surah yang ke 16 dalam al-Furqan. Pastinya sesuatu yang baik dan harus dijadikan qudwah bagi orang-orang yang berfikir. Allah Taala menciptakan sekalian makhluk dengan penuh hikmah untuk menjadi tauladan dan tamsilan dalam hidup manusia. Kita diseru agar menggunakan akal untuk berfikir bagi yang mahu mengambil pelajaran.

Allah SWT telah berfirman :

“(Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.” [An-Nahl : 69]

Sebagaimana yang kita ketahui, lebah adalah serangga comel yang hanya hinggap di tempat-tempat terpilih sahaja. Ia hanya akan mendatangi bunga-bunga atau buah-buahan serta tempat-tempat bersih yang mengandungi bahan madu atau nektar. Sihat bukan? Kemudiannya lebah akan menghasilkan madu yang banyak khasiatnya. Sebagaimana disebut dalam ayat 69 di atas.

Subhanallah,  ternyata lebah memakan sesuatu yang baik lalu menghasilkan sesuatu yang baik dan bermanfaat, malah merupakan salah satu makanan sunnah Rasulullah saw.

Apa yang boleh kita kaitkan adalah aktivis Islam jadilah seperti lebah, carilah ilmu dan pengetahuan yang baik untuk dihadam dan dikuasai lalu menjadikan ia manfaat kepada orang lain dan hidupan lain. Ketinggian ilmu yang bermanfaat harus dimiliki oleh setiap aktivis Islam  sebagai daie dan peneraju arus mahasiswa dan belia yang beragenda.

Selain itu, dengan ilmu jualah kita sebagai muslim dapat menjadi rujukan utama kepada masyarakat dalam apa jua hal-hal seperti agama, ekonomi, politik dan sebagainya agar bersih daripada anasir pemikiran yang palsu.

Persoalan pemakanan lebah yang bersih ini juga boleh dijadikan pedoman kepada kita semua sebagaimana disebut dalam al-Quran.

Allah SWT berfirman:

“Hai manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu.” [Al-Baqarah: 168]

Pemakanan yang bersih dan halal adalah faktor utama dalam kemenjadian sesuatu ilmu dan wajib di ambil serius oleh setiap muslim khususnya aktivis PEMBINA sebagaimana  kata-kata Imam Al-Ghazali :

“ Ibadah dan pengetahuan sambil memakan makanan yang haram adalah seperti konstruksi pada kotoran”.

Keduanya, serangga istimewa ini membuat sarangnya dipohon atau dahan pokok kebiasaannya. Juga disebut dalam surah an-nahl ayat 68, Allah Taala berfirman:

“ Dan Tuhanmu telah memberi ilham kepada lebah: hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-gunung dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan yang didirikan oleh manusia.”

Allahu Allah, lebah membuat sarangnya di dahan pokok tanpa merosakkan atau mematahkan dahan tersebut tidak seperti tumbuhan parasit yang mematikan. Malah lebah tidak sedikit pun membinasakan pokok atau mana-mana tempat yang dibuat sarangnya. Lihatlah, interaksi lebah dengan tumbuhan(pokok),saling bergantungan dengan baik dengan ketaatan terhadap perintah Allah Taala.

Tuntasnya, dalam menjadi daie yang hebat, penggerak Islam perlulah mewujudkan interaksi antara manusia dan alam dengan baik tanpa merosakkan atau menyebabkan persengketaan.

Bukan itu sahaja, sifat mahmudah dan saling menghormati antara satu sama lain merupakan satu ramuan utama dalam proses perjalanan dakwah lantas menghidupkan iman sesama muslim serta menjadi sesuatu yang dikagumi oleh orang-orang bukan Islam.

Hal ini kerana, insan yang bergelar pemimpin dan peneraju akan sentiasa disenangi oleh manusia dan hidupan sekelilingnya.

“ Sifat utama pemimpin ialah beradab dan mulia hati” (Imam Al-Ghazali)

Aktivis Islam yang berjiwa pemimpin dan mulia pastinya mempamerkan akhlak dan contoh yang terbaik laksana lebah yang hanya mengeluarkan sesuatu yang baik daripada sumber yang baik. Segala yang keluar dari seorang pemimpin yang benar adalah kebaikan. Hatinya jauh dari prasangka buruk, lidahnya tidak mengeluarkan kata-kata kecuali yang baik, perilakunya tidak mengsengsarakan orang lain melainkan membahagiakan, hartanya bermanfaat bagi yang memerlukan.

Seterusnya, sifat lebah ini bekerja secara jama’i dan tunduk pada satu pimpinan. Lebah selalu hidup dalam koloni besar, tidak pula menyendiri. Mereka bekerja secara kolektif, dan masing-masing mempunyai tugas sendiri dan akhirnya kembali ke sarang untuk berkongsi hasil pencarian. Itulah seharusnya sikap orang-orang beriman. Pendukung Islam perlu bekerja secara bersama-sama untuk menggapai matlamat menegakkan islam di bumi. Kejayaan dalam mencapai matlamat juga berfaktorkan ketaatan kita kepada pemimpin dan syura.

Sebagaimana firman Allah Taala :

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.” [Ash-Shaff: 4]

Tidaklah kuat sesuatu kumpulan itu melainkan bergabung tenaga dan idea yang membina. Seperti kuatnya seikat lidi berbanding sebatang lidi dan sebagaimana afdalnya solat berjemaah berbanding solat bersendirian. Fikir-fikirkanlah.

Tamsilan yang terakhir dan penting untuk para aktivis adalah sifat lebah yang tidak pernah melukai kecuali apabila diganggu. Lebah tidak pernah memulakan serangan. Ia akan menyerang hanya apabila sarangnya  diganggu atau terancam. Lebah akan menyengat musuhnya walaupun selepas melakukan sengatan ia akan mati.

Begitulah jua sifat yang harus ada pada setiap jiwa yang bergelar daie . Mutakhir kini, Islam yang kita sayangi banyak dipermainkan dan diperkotak-katikkan sewenang-wenangnya oleh manusia yang bertuhankan akal.

Islam umpama sarang kita, manakala kita adalah lebah-lebah yang sensitif dan berjiwa melindungi untuk mempertahankan kesucian islam. Sifat yang berani mempertahankan agama dan cakna dengan isu semasa serta bertindak walaupun pada akhirnya kita bergadai nyawa. Tidak usah gusar kerana segalanya akan kembali kepada Allah yang Maha Esa jua.

Karya oleh : Siti Nurlaila Suhana bt Abdul Latif
Akademi Tokoh Beliawanis

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s