MUJAHID KECIL BERJIWA SYUHADA’

image
Kredit

Petang Sabtu, 14 Januari 2005
Cahaya mentari terik memancar seperti biasa. Debu-debu halus berterbangan ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Aisyah duduk termenung di atas bangku kayu di hadapan rumahnya. Sudah hampir 8 bulan, Ummar pergi tanpa khabar berita setelah nekad menyertai barisan perjuangan tentera Hamas.

Sihatkah dia?
Apakah makin kurus?
Atau….
Masihkah dia hidup?
Seandainya dia mati, mengapa tidak diberitakan?

Satu-persatu persoalan dilontarkan kepada dirinya sendiri. Namun, tiada jawapan yang mampu diberi pada pertanyaannya sendiri itu. Hampir sahaja air mata seorang isteri itu gugur membasahi bumi. Namun, sempat dia beristighfar dan bermunajat pada Allah. Mudah-mudahan suaminya selamat.
Aisyah masih lagi ingat bagaimana Ummar menceritakan tentang nenek moyang mereka yang diusir dari Deir Yasin. Pembantaian besar-besaran sehingga ramai yang mati kebuluran dan dibunuh secara kejam. Kaum Yahudi sememangnya tidak pernah mempunyai perikemanusiaan. Kem Bourj al-Barajneh antara saksi utama kekejaman Yahudi pada saat itu. Mayat saudara mereka bergelimpangan. Hari-hari yang berlalu hanya ditemani kegelapan dan bau busuk serta khemah usang yang kotor. Sememangnya mereka seratus peratus terdedah kepada penghujung yang sama iaitu pasti mendepani ajal, seperti hakikat manusia yang lainnya. Cuma bezanya adalah cara kematian itu!

Sekatan bantuan makanan dan perubatan membiarkan setiap detik yang mereka tempuh dibasahi tangisan dan air mata. Sehinggalah Februari 1957, jiwa mereka sudah tidak lagi mampu menahan penderitaan yang tragis itu. Rayuan dibuat kepada ketua agama Sunni Lubnan agar fatwa yang membolehkan mereka menyuapkan daging saudara mereka yang telah terkorban ke mulut. Sungguh, mereka sedang berperang antara aqidah dan nafsu untuk terus hidup saat itu.

Begitu juga dengan pembunuhan besar-besaran el-Zatar atau lebih dikenali sebagai Sabra Shatila. Setiap tubuh yang bernafas diragut nyawanya tanpa ihsan hingga tiada yang bersisa.

Saat itu juga, Aisyah terkenangkan lantunan kisah tokoh terulung Sallehuddin al-Ayubi yang dikongsikan oleh Ummar usai Solat Maghrib. Malam itu, mereka hanyut dengan kekaguman serta keharuan pada perjuangan lelaki muda berjiwa pahlawan itu. Palestin yang sebelum ini telah jatuh ke tangan pasukan tentera Inggeris dalam Perang Salib yang menyebabkan lebih 70 000 orang mati dibunuh di dalam Masjid al-Aqsa.

Pemerintahan Salibiyah setelah peristiwa itu sungguh mencatat sejarah hitam lagi kelam dalam riwayat hidup mereka. Sehinggalah kedatangan permata dari Ar-Rahim, Allah Yang Maha Pengasih, Sallehuddin al-Ayubi berjaya membebaskan kota Palestin selepas 91 tahun negara itu diperintah tanpa perikemanusiaan.

Dia bangun, menjenguk jam di dinding dari muka pintu. Sudah pukul 6.00 petang. Fattah al-qadri, anak sulungnya yang baru menginjak 9 tahun masih belum pulang. Aisyah benar-benar khuatir akan keselamatannya. Dia terpaksa melepaskan Fattah untuk menjaga kedai barang perhiasan mereka yang merupakan kedai tinggalan keluarga suaminya. Tambahan pula, sekolah telah ditutup apabila menjadi sasaran peluru berpandu tentera zionis. Adakalanya, dia gundah memikirkan masa depan anak-anaknya.

Pandangan dilontarkan ke arah Amsyar Rauhillah yang sedang bermain dengan Ghafur. Teman seusianya yang tinggal bertentangan dengan rumah mereka. Bulan hadapan, genaplah umur mereka 6 tahun.Terkenang kembali saat manis ketika awal pernikahannya dengan Ummar. Pernikahan yang diatur oleh keluarga itu tidak menafikan hakikat bahawa cinta selepas pernikahan itu sungguh indah dan mengasyikkan. Malah, diredhai dan diberkati oleh Allah.

“Subhanallah…”

Ummar tertunduk malu. Aisyah apatah lagi. Mukanya mulai merona merah. Pertama kali bertentangan mata. Pertama kali juga Ummar melihat wajah Aisyah yang selama ini disembunyikan di balik niqabnya. Biarpun Ummar mempunyai hak untuk melihat Aisyah sewaktu keluarganya datang meminang Aisyah, namun Ummar menolak. Dia khuatir seandainya perkara itu berlaku, hatinya akan mula berbelah bagi sekiranya Aisyah itu tidak cantik. Seandainya Aisyah itu cantik pula, dia tidak mahu bayangan wajah Aisyah mengganggu kekhusyukan solatnya. Dia tidak mahu merindui insan yang belum sah menjadi miliknya!

“Yang aku cari hanyalah agama, namun nyata Allah memberiku lebih dari itu.”

Ummar mendongakkan wajah Aisyah dengan lembut. Mata mereka saling berpandangan. Satu kucupan lembut singgah di dahi Aisyah. Buat kali pertamanya. Kuntuman mawar cinta mula mekar di hati mereka. Subur. Indahnya pernikahan kerana Allah. Hari demi hari yang berlalu penuh dengan kasih sayang dan kebahagiaan. Biarpun setiap detik yang berdetak umpama satu perhitungan antara hidup dan mati kerana serangan dari tentera zionis terlaknat tidak akan pernah dapat dijangka. Kehadiran Fattah dan Amsyar nyata menambah seri kehidupan mereka. Dua orang putera yang suatu hari nanti diharapkan dapat menjadi pembela agama. Pemimpin bagi umat islam.

Namun, nyata cinta itu menuntut pengorbanan. Kerana Allah yang meminjamkan rasa cinta dan makhluk yang dicintai lebih berhak untuk mengambilnya semula. Justeru, Aisyah reda atas pemergian Ummar bagi meraih gelaran syuhada.

* * * * * * * *

Jalan di sekitar bandar Gaza saat ini lengang. Sememangnya setelah pukul 6.00 petang, rakyat Palestin tidak dibenarkan untuk keluar berlegar di sekitar bandar. Dari jauh, kelihatan seorang kanak-kanak berusia lingkungan 12 tahun berlari menuju ke arah sebuah tembok berdekatan sebuah gereja. Di tangannya terdapat sebotol spray cat berwarna merah. Dia menekan punat spray tersebut lantas menulis perkataan Palestin di tembok itu. Belum sempat dia menghabiskan tulisannya, tiba-tiba muncul sekumpulan tentera zionis dari segenap arah. Senjata M16 tegalas di bahu mereka. Mereka berlari mengejar kanak-kanak itu.

Panik! Kanak-kanak itu lantas mengatur langkah untuk berlari menyelamatkan diri. Botol catnya dicampak ke tepi jalan. Namun, kudratnya tidak mungkin mampu menandingi kepantasan lelaki dewasa itu. Seorang tentera menarik rambutnya sehingga tubuhnya terhenyak ke belakang. Kasar! Kanak-kanak itu menangis, merayu.. minta dilepaskan. Tubuhnya menggigil ketakutan.
Kedengaran salah seorang tentera menyatakan sesuatu kepada rakan-rakannya dalam bahasa Ibrani. Lalu dua orang tentera yang memegang tangan kanak-kanak itu menarik kedua tangannya dari arah yang bertentangan.

“Allah!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!! Arghhhhhhhhhhhh!!!!!!!”

Jeritan kanak-kanak itu jelas kelihatan. Menarik perhatian untuk penduduk berdekatan menjenguk dari tingkap rumah. Namun, tiada siapa yang berani untuk keluar. Apatah lagi untuk menyelamatkan kanak-kanak itu. Langit ibarat beremosi dengan kekejaman tentera laknatullah itu. Awan hitam di kaki langit berarak murka menjadikan langit kelam. Namun, perubahan cuaca itu tidak sedikit pun merubah fikiran manusia iblis itu!

Seorang ibu yang sedang mendukung anaknya menangis dari birai jendela rumahnya. Berdoa kepada Allah agar kanak-kanak itu dilepaskan. Dia sudah dapat menjangka kesudahan yang bakal berlaku.
Tirai jendelanya ditarik, tidak sanggup untuk terus menyaksikan kekejaman kumpulan binatang‟ itu. Dia duduk di kerusi sambil menepuk-nepuk anaknya yang sedang menangis. Sedang dia juga sarat dengan tangisan.

Jeritan kanak-kanak itu masih kedengaran. Sayu.

Tiba-tiba tentera tadi menjerit sambil mengangkat senjatanya. Muncung M16 itu diacukan pada kepala kanak-kanak itu yang sudah dibasahi peluh. Tepat mengenai dahi bersihnya. Dadanya turun naik. Dengan tenang dan tanpa ragu, dua das tembakan dilepaskan tepat di dahi kanak-kanak itu sebelum dia jatuh tersungkur menyembah bumi.

“wa..lid….um…mi….”
“Allah……………………..”

Bibirnya bersuara lemah. Nyawa-nyawa ikan. Matanya pejam celik, masih cuba bertahan. Dadanya berombak sangat perlahan. Darah merah, segar membasahi jalan. Mengalir deras. Namun, jantungnya masih berdenyut biarpun sebegitu lemah. Kuatnya semangat seorang wira kecil!

Wanita tadi berteriak kuat di dalam rumahnya. Suasana hiba dengan irama melankolik tangisan penduduk Ghazah.

“Di mana Ummar Al-Farouk?”
“ Di mana saudara seaqidah kami yang mengaku muslim..? “
“Kalian membiarkan bulat-bulat penindasan yang dilakukan ke atas kami?” “
Mengapa kalian berdiam diri?” “
Apakah Masjid Al-Aqsa yang kami pertahankan bukan kiblat pertama bagimu juga?”

Di luar, kumpulan tentera seramai tujuh orang itu terus-terusan menyepak sekujur tubuh kecil yang terkulai lemah itu. Darah terus berpancuran keluar dari mulutnya.
Matanya berbayang wajah walidnya, yang juga seorang syuhada. Walidnya menghulurkan tangan padanya, dan dia menyambut tangan walidnya. Dia dibawa pergi. Jauh. Jauh dari dunia yang tidak berperikemanusiaan.

Namun, mereka masih belum puas. Dua orang tentera memegang kaki kanak-kanak kecil yang sudah tidak bernyawa itu. Menyeretnya mengelilingi bandar Ghazah untuk menakut-nakutkan penduduk. Kononnya sebagai satu pengajaran bagi mereka sekiranya bertindak menentang tentera zionis. Ya, satu penentangan yang sangat mereka khuatiri. Keberanian kanak-kanak itu untuk menyuarakan kebebasan, pastinya membahayakan mereka suatu hari nanti sekiranya dia dibiarkan untuk terus hidup.

* * * * * * * *

Kisah pembunuhan kejam kanak-kanak yang berusia 12 tahun semalam sampai ke telinga Aisyah. Saat mendengarnya dari jirannya Sa‟adah, isteri Hassan yang ditemuinya di pasar pagi tadi hampir membuatkan dia jatuh terduduk. Terbayang wajah anak-anaknya yang sedang membesar. Tambahan pula, dia amat mengenali kanak-kanak itu. Dialah adalah Raouff Abdel. Sahabat baik anaknya Fattah! Mujurlah dia menyuruh Fattah menjaga kedai saat itu. Pernah beberapa kali Fattah menyuarakan hasratnya untuk menjadi seorang pejuang. Dia juga ingin menjadi seorang syuhada yang berjuang mempertahankan tanah airnya.

“Eee, geram Fattah melihat pasukan tentera orang-orang Yahudi itu ummi.”
“Kalau ikutkan hati Fattahlah, Fattah tembak setiap seorang dengan peluru berpandu.”
“Fattah benci mereka. Kenapa kita suka mengganggu ketenteraman kita ummi.”
Luah Fattah pada suatu hari dulu usai makan malam.
“Eleh, abang ni. Kalau Amsyarlah. Tak payah guna senjata canggih-canggih.”

Amsyar tersenyum sedikit bangga. Aisyah dan Fatteh mengerutkan dahi, memandang tepat ke arah Amsyar penuh persoalan.

“Habis tu, Amsyar nak guna apa? Nak guna ummi ye?”
“Ummi akan tumbuk muka mereka sampai mereka lembik.”
“Haa, kalau mereka nak cederakan anak ummi… ummi peluk kamu berdua kuat-kuat. Ummi akan jadi perisai…”

Usik Aisyah.

Namun, itulah sebenarnya hakikat yang mungkin akan berlaku sekiranya anak-anaknya diancam bahaya. Nyawanya rela dipertaruhkan demi mempertahankan mereka. Memastikan keselamatan mereka. Ah, kasih seorang ibu. Mampukah terbayar dengan nyawa dan darah? Amsyar menggeleng.
Tangan kecilnya mengusap wajah Aisyah.

“Bukan… Amsyar takkan biarkan mereka cederakan ummi. dan abang…”
“Amsyar akan lastik mereka dengan batu.”

Ujarnya penuh yakin.

“Bila abi balik nanti, abi mesti bangga dengan Amsyar.”

Aisyah memeluk erat tubuh Amsyar sebelum menarik Fattah untuk turut berada dalam dakapan hangatnya. Air matanya menderas, turut membasahi pipi kedua anak-anaknya itu.

Sememangnya, suaminya pernah menceritakan tentang seorang mujahid kecil yang bergelar syuhada. Beliau syahid ditembak oleh tentera zionis dengan
mengunakan kereta kebal. Ketika itu, pasukan tentera yang dilaknat Allah itu sedang membuat rondaan dan beliau dengan beraninya berdiri menghalang laluan kereta kebal itu sambil membaling batu ke arah mereka. Tentera yang berjalan kaki, berlari menyelamatkan diri. Ketakutan. Takut pada susuk kecil berusia 10 tahun itu, kerana di tangannya ada beberapa ketul batu yang merupakan racun mereka. Beliaulah Faris Aulad. Syuhada kecil pertama di bumi Palestin.

Kisah susuk kecil yang membawa haruman syurga di pusaranya itu mengagumkan Aisyah. Namun, dia masih belum bersedia untuk kehilangan Fattah dan Amsyar. Belum masanya. Mungkin…

Sebaik Fattah tiba di rumah dengan ditemani Hassan, Aisyah lantas memeluk erat tubuh Fattah. Mata Fattah merah. Seperti baru sahaja selesai menangis. Malahan, esaknya masih bersisa. Dia memandang ke arah Hassan.

Rupa-rupanya Fattah baru sahaja mendapat khabar tentang Raouff apabila Naufal dan Imran singgah di kedainya tengahari tadi.
Saat itu dia berada di kedai yang tidak jauh dari tempat kejadian. Malah, dia juga terdengar bunyi teriakan dan tembakan itu. Namun, Hassan telah menariknya masuk ke dalam kedai lantas menutup pintu kedai.
Apabila suasana reda, Hassan membawanya pulang melalui jalan belakang. Justeru, Fattah kecewa kerana tidak dapat menyelamatkan sahabat baiknya itu. Dia tidak dapat menerima takdir sehinggalah Hassan memujuknya agar mendoakan kesejahteraan Raouff yang pergi sebagai seorang syuhada.

* * * * * * * *

Sejak dari peristiwa tragis yang menimpa Raouff itu, Aisyah tidak lagi membenarkan Fattah ke kedai. Mungkin mulai esok, dia sendiri yang akan menjaga kedai. Fattah dan Amsyar. Terpaksalah dia menebalkan muka, meminta bantuan Sa‟adah untuk membantunya menjaga mereka berdua.
Berkali-kali dia berfikir sebelum berbincang hal berkenaan dengan Sa‟adah dan Hassan.

“Maafkan saya kak, abang… terpaksa menyusahkan keluarga kakak dan abang.”
“Saya pun dah buntu sekarang ni. Kalau dibiarkan sahaja kedai tu, sayang pula.”
“Lagipun, saya tak mahulah bergantung harap pada upah yang kakak dan abang bagi untuk menguli roti sahaja”
“Saya faham, kita masing-masing kurang berkemampuan”.

Aisyah merendah diri. Dia tunduk tidak mendongak. Hanya sesekali wajahnya diangkat ketika berbicara dengan kedua suami isteri yang telah banyak membantunya itu.

“Janganlah kamu bimbang Aisyah. Biarlah aku sahaja yang menjaga kedaimu itu.”
“Lagipun, Ummar telah mengamanahkan aku untuk menjagamu dan anak-anak.”
“Tak apalah abang. Lagipun kedai rotimu tidak jauh dari kedai saya.”

Sa‟adah hanya membisu. Dia sungguh kasihan dengan Aisyah. Tambahan pula, anak-anaknya masih kecil. Dan dia juga tidak keberatan untuk menjaga Fattah dan Amsyar. Dapatlah dia melepaskan rindu kepada anak tunggalnya Khalid yang dilepaskannya pergi untuk menjadi seorang pejuang bersama Ummar.

“Ada khabar dari Baitul Maqdis?” Aisyah memecah kesunyian.

Hassan menggeleng. Sudah sekian lama anaknya tidak mengirim khabar berita. Kali terakhir dia mendengar khabar tentang Khalid dan Ummar adalah melalui rakannya Khalid yang kebetulan ke Baitul Maqdis untuk urusan keluarga pada penghujung Julai tahun lalu. Di sana dia terserempak dengan Khalid. Tetapi tidak dengan Ummar.
Aisyah merundukkan wajahnya. Tangisnya baru bermula sewaktu Sa‟adah mendekati dan memeluk tubuhnya. Matanya kini beralih kepada Fattah dan Amsyar yang sedang leka menyusun bongkah kayu membentuk sebuah bangunan, permainan Khalid ketika masih kecil dahulu. Naluri keibuannya turut menangis mengenangkan nasib anaknya itu.
Malam itu, Aisyah bertafakur lama di atas sejadahnya. Dalam sujudnya yang terakhir, dia memohon pada Allah agar memberikan yang terbaik buat keluarganya. Seandainya suaminya telah menghadap-Nya, dan itu lebih baik baginya, dia memohon agar Allah menganugerahkan dia biar secangkir kekuatan untuk menyiram gurun hatinya yang kian gersang. Tiba-tiba…

BOOOOOOMMMMMMMM!!!
KEDEBOOOOOOMMMMMM!!!

Atap rumahnya mula menghujankan serpihan batu dan pasir. Bergegar. Aisyah bertakbir beberapa kali sebelum merangkak menuju ke bilik kedua anaknya. Serangan dilakukan bertubi-tubi oleh pihak ketenteraan Israel, sedang penduduk tidak mampu membalas serangan tersebut. Kelihatan kedua mereka sedang berlindung di bawah katil. Amsyar menangis sambil memekup telinganya. Nama abinya disebut berkali-kali. Aisyah lantas mendapatkan mereka. Dipeluknya erat. Mereka menggigil ketakutan dalam kegelapan. Terdengar bunyi teriakan dari luar.

Deruman pesawat Unmen Aircraft berlegar di ruang udara. Sesekali sinaran sportlight dari pesawat itu menembusi lohong-lohong halus dari atap rumah. Dan sesekali juga terdengar bunyi runtuhan batu kerikil di lantai rumah mereka. Langit yang gelap dipenuhi dengan asap berwarna merah saga. Bunyi bingit penduduk yang bertempiaran lari masih lagi kedengaran. Berselang-seli dengan bunyi tembakan yang menggerunkan. Mereka berada dalam kedaaan yang sangat gawat. Namun, ke mana harus mereka larikan diri? Mungkin di luar itu jauh lebih berbahaya.

Jam hampir menunjukkan pukul 6.00 pagi waktu tempatan. Sepatutnya , azan Subuh telah lama berkumandang dari Masjid Al-Hadi Wannur. Suasana telah mulai reda. Aisyah bangun dari tempat persembunyian. Fattah dan Amsyar memandang umminya. Minta tidak ditinggalkan. Mereka masih dalam ketakutan.

Aisyah memberi isyarat untuk mereka tunggu di situ. Dia megibas-ngibas debu di bajunya. Disarung jilbab di kepala dan menjenguk ke luar rumah. Menyelusuri jalan kelihatan beberapa orang berlari di sepanjang jalan sambil berteriak. Kurang 200 meter dari rumahnya, kelihatan bangunan di kawasan perumahan itu musnah teruk. Mayat bergelimpangan. Seorang anak perempuan lingkungan 3 tahun, menggoncangkan tubuh ibunya yang terkujur kaku. Dia merengek ketakutan. Memandang sekeliling. Sesekali hidungnya digosok dengan lengan baju yang berlumuran darah itu. Luluh hati Aisyah. Dia cuba mendekati gadis itu. Namun, seorang pemuda mendekati anak kecil itu sebelum mendukungnya dan membawanya pergi. Anak kecil itu meraung. Tangannya cuba untuk menggapai tubuh ibu dan ayahnya yang semakin jauh ditinggalkan. Pemuda itu cuba memujuk sebelum diberikan kepada seorang wanita tempatan yang memakai pakaian lengkap berlogo Persatuan Bulan sabit Merah, yang sedang berusaha membantu anggota yang lain memindahkan mangsa yang terselamat ke dalam van untuk dibawa ke hospital. Di atap van tersebut, berkibar bendera Malaysia dan Aman Palestin. Mereka adalah sukarelawan yang dibawa oleh Aman Palestin, sebuah NGO dari Malaysia yang telah banyak membantu rakyat Palestin terutama dari aspek kesihatan dan bealan makanan.

Aisyah berdiri kaku di tengah-tengah jalan yang dipenuhi mayat. Melebihi 30 orang barangkali. Hampir sahaja dia pitam di situ sebelum seorang sukarelawan wanita mendekatinya dan bertanyakan keadaannya. Aisyah memandangnya dengan titisan air mata dan doa agar kedamaian akan kembali menjadi milik rakyat Palestin.

“Ya Allah, Kau telah memilih kami untuk mendiami kota penuh bersejarah ini. Keturunan kami Kau muliakan dengan gelaran syuhada. Justeru, kami bersyukur lantaran Kau telah memilih kami untuk mempertahankan Masjidil Aqsa.. saksikanlah Wahai Pemberi Kemenagan, kami akan terus berjuang untuk mebebaskan Paletin. Maka redhailah kami dan kaum keluarga kami”

* * * * * * * *

Karya oleh: NUR DALILAHUSNA BT MD SOFRI

Nota:Cerpen ini memenangi tempat pertama dalam pertandingan cerpen anjuran Beliawanis PEMBINA pada tahun 2013.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s